SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Anwar ibarat Penglipur Lara Kontemporari


Menurut kamus DBP, 'Penglipur' bermaksud penghibur, manakala 'Lara' pula bererti duka atau kesedihan. Daripada gabungan dua perkataan Penglipur Lara, membawa maksud cerita yang menghiburkan orang. Sementara definisi kontemporari secara umumnya bermaksud semasa.
Pada zaman dahulu cerita-cerita rakyat disampaikan oleh tukang cerita. Lazimnya sastera rakyat ini disampaikan melalui pertuturan. Cerita tersebut dituturkan secara individu kepada seorang indivdu yang lain atau sekumpulan individu yang lain. Misalnya seorang datuk akan menuturkan sesuatu cerita kepada seorang bapa, seterusnya dari seorang bapa dituturkan kepada seorang cucu. Justeru, akan berlakulah unsur improvisasi (tokok tambah) dengan memasukkan unsur-unsur dongeng dan mitos agar menjadi menarik. Cerita ini juga disampaikan oleh seorang yang profesional, yang kerjanya "bercerita" kepada anggota masyarakat yang lain.
Dalam masyarakat Melayu, profesion ini dikenali sebagai 'Tok Dalang', 'Tok Selampit', 'Awang Belanga', 'Penglipur Lara" atau lain-lain gelaran lagi mengikut tempat. Si tukang cerita atau Penglipur Lara ini akan bertindak menghafal cerita-cerita tertentu daripada seorang guru, untuk menyampaikan cerita tersebut dengan cara yang menarik kepada orang kampung, bagi menghiburkan mereka.
Namun kini zaman telah berubah. Kerjaya sebagai tukang cerita  atau penglipur lara sudah tidak wujud lagi kerana terdapat pelbagai media moden yang mengambil tempat seorang penglipur lara. Tetapi yang peliknya, di Malaysia muncul pula seorang penglipur lara dalam zaman yang serba moden dan canggih ini. Penglipur lara kontemporari ini tak lain dan tak bukan ialah Pak Syeikh Anwar bin Ibrahim yang berasal dari Ceruk Tokun.
Apa tidaknya, bagaikan seorang Penglipur Lara, realiti yang cuba digambarkan oleh Anwar Ibrahim dengan  memberikan impian dan angan-angan menarik bukan sahaja kepada ahli-ahlinya. malah kepada masyarakat umum bahawa PKR masih tetap kukuh dan menjaga kepentingan rakyat di negara ini sebagaimana yang pernah ditulis dalam manifestonya apabila menjelang pilihan raya. Anwar turut mengangankan impian-impian berlandaskan pangkat, kuasa dan kedudukan sebagai imbuhan dan pemanis dalam ceritanya sedangkan realitinya, sebagaimana yang telah dihamburkan oleh bekas pemimpin kanan dalam PKR sendiri, ia hanyalah untuk kepentingan peribadi.
Dalam hal ini, bukalah minda dan fikirkanlah secara waras apakah yang mampu dilakukan oleh Anwar sebagai Ketua Pembangkang sedangkan selama jawatan tersebut dipegangnya, sumbangan manakah yang boleh dibanggakan – bukan sahaja kepada masayarakat keseluruhan tetapi juga tumpuan kepada ahli PKR sendiri.
Seandainya krisis yang dialami oleh PKR adalah krisis politik sahaja maka tentunya PKR akan mampu untuk memulihkannya namun malangnya ia tidak semudah yang dinyatakan kerana perkara  terjadi disebabkan hakisan kepercayaan daripada ahli-ahlinya termasuk juga pemimpin atasan parti.
Apatah lagi sehingga ke hari ini, Anwar gagal menafikan dan membuat pengakuan secara terbuka berkaitan dengan kesalahan moral dan kes mahkamah yang sering sahaja tertangguh atas pelbagai alasan; secara tidak langsung kegagalan beliau memberikan keyakinan berterusan.
Anwar selaku penglipur lara harus mengakui bahawa rakyat sudah mula bosan dengan retorik politik yang dimainkannya malahan sikapnya yang sering mendominasi pakatan campuran juga telah ditolak oleh rakan sekutunya.
Walaupun Anwar berusaha melancarkan strategi sistem dua parti di negara ini dengan mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai parti gabungan pembangkang yang sah sebagaimana didesak oleh ahlinya, namun Anwar sebenarnya tak mampu menyatukan idelogi-ideologi berlainan parti-parti pembangkang. Buktinya, lihat sahaja kedudukan PAS yang semakin meruncing akibat tersalah canai, yang dikatakan ia juga adalah antara campurtangan dari Anwar.
Selain itu, kejutan demi kejutan bukan hanya berlaku kepada PKR tetapi jelas Anwar semakin terhimpit dengan tindakan berani dan pendedahan bersandarkan bukti beberapa bekas orang kanannya.
Jika sebelum ini, Anwar lantang akan menyaman mana-mana pihak yang didakwanya memfitnah termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin RM 100 juta kerana mendakwanya pengkhianat bangsa – namun ia tidak dilaksanakan. Malahan bekas Timbalan Presiden PKR, Chandra Muzaffar juga pernah menerima saman yang sama dari Anwar ekoran pendedahannya terhadap kepincangan yang berlaku.
Begitu juga dengan bekas ahli Majlis Tertingginya yang sebelum ini dikenali sebagai orang paling rapat dengan Anwar iaitu S. Nallakarupan yang memaklumkan bahawa memang berlaku ketidakadilan dan cengkaman kuasa dari Anwar.
Lantaran itu, jelaslah bahawa penglipur lara akan tetap dengan cerita indahnya kerana tidak mungkin kisah dongeng tersebut menjadi realiti hanya dengan berbekalkan kedangkalan fikiran semata-mata! Maka Anwar sepatut dan sewajarnya dilabelkan dengan Penglipur Lara Kontemporari.