Renung dan fikirkanlah sejenak. Sesungguhnya hidup matinya Islam di Malaysia hari ini merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam di negara ini tanpa mengira aliran atau ideologi politiknya. Hidup matinya Melayu hari ini juga adalah amanah dan tanggungjawab seluruh umat Melayu tanpa mengira fahaman politik masing-masing. Melayu/Islam sejak kebelakangan ini berada di persimpangan yang amat menggerunkan. Malah mereka duduk dalam satu dilema yang mengerikan.
Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan Ketuanan Melayu makin lama makin terhakis dan akan lenyap di bumi Malaysia? Atau benarkah ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda hari ini?
Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia? Kalau tidak, jenis Melayu yang bagaimanakah yang akan menghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur, apabila Melayu sudah kehilangan kuasa?
Ke manakah akhirnya perlawanan Melayu sesama Melayu ini? Mungkinkah akhirnya ialah Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa Bukan Melayu yang tidak peduli lagi terhadap Melayu?
Andaian ini boleh jadi mungkin, dan boleh jadi tidak. Yang lemah biasanya ditelan oleh yang gagah. Segala-galanya terserah kepada Melayu dan arah tuju serta matlamat perjuangannya.
Perlu diingat, perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancurleburkan rancangan gagasan Malayan Union. Perpaduan Melayulah yang muncul menjadi benteng paling kuat dalam proses menghapuskan keganasan bersenjata komunis. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa, bangsa dan budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.
Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa.
Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan ikatan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja.
Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita memastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca. Justeru, maka perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama.
Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”
Jadi, pokoknya sekarang, biar berlaga ayam di reban, biar menendang kuda di kandang, namun adat wajib dijaga. Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.
Yang nyata, politik ekstremis Pas adalah berbahaya. Politik cauvanis DAP adalah suatu ancaman. Politik ketaksuban individu PKR adalah sesuatu yang sia-sia. Maka pakatan pembangkang bakal mengundang kehancuran Melayu.
Insaflah orang Melayu. Kedudukan Melayu kini di hujung tanduk dan terus diasak serta ditekan.
Pas dan PKR mencapai impak kerana sokongan bukan Melayu. Realitinya gerombolan pembangkang mencapai kejayaan terbesar kerana menggunakan Melayu Pas dan PKR untuk tujuan itu.
Muslihat pakatan pembangkang tercapai dan mereka menggadai maruah bangsa, agama dan tanahair tercinta untuk tujuan itu! Renungkanlah!
SUARA MELAYU di sini SUARA KERAMAT MELAYU

































