Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memang seorang pengkhianat kerana menyuruh rakan-rakan Yahudinya cuba mempengaruhi Amerika Syarikat supaya mengecam negara Malaysia yang berdaulat.
“Ini bagi kita adalah pengkhianat. Menyuruh orang Yahudi menyerang kita . Gunakan kuasa orang yahudi untuk mempengaruhi Amerika supaya kecam kita. Itu kerja pengkhianat,’’ tegas beliau.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab pertanyaan, label Anwar Pengkhianat yang diulangi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Anwar, pada sidang media selepas berceramah di markas BN Serendah malam tadi. Hampir 1,000 memenuhi markas BN. Hadir sama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Kata Dr Mahathir, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah minta orang asing sokong dan campurtangan dalam urusan negara.
Menurut Dr Mahathir, Anwar sebenarnya sudah membuat perancangan cukup awal , iaitu sebelum menjadi ahli UMNO.
“Dia berkawan dengan banyak orang. Kalau jumpa orang Islam, dia pemimpin Islam. Kalau jumpa dengan orang Yahudi, dia boleh bersikap terbuka dengan mereka. Berjumpa dengan sesiapa pun dia akan sokong supaya apabila dia buat benda yang salah di sini, orang luar ini akan kata dia tak salah,’’ ujar beliau.
“Kawan-kawan Yahudi Anwar di kalangan orang Amerika dikenali sebagai neocon, iaitu orang yang mirip kepada Israel. Mereka hendak Amerika akur kepada kehendak Israel. Inilah kawan baik Anwar . Berjumpa dengan dia selama tiga jam bila masuk hospital kerana sakit semasa dibebas dari penjara,’’ katanya
Dr Mahathir yakin, BN akan menang dalam pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini kerana orang Melayu yang kecewa pada pilihanraya umum 2008, sudah tidak kecewa dan sudah balik menyokong BN.
Pada 2008, situasinya berbeda. Mereka tidak suka kepada personaliti dalam kerajaan dan mengundi pembangkang . Tetapi sekarang Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang baik . Orang Melayu akan sokong BN, walaupun calon itu bukan Melayu,’’ katanya.
Menjawab soalan PKR calonkan Zaid Ibrahim, bukan anak tempatan, Dr Mahathir berkata, kalau ada ramai calon tempatan yang sesuai, elok diberi peluang kerana mereka lebih tahu keadaan tempat mereka.
“Kalau kita bawa orang luar , mereka mungkin tidak faham. Kalau Zaid cakap dalam bahasa Kelantan, dia kecek Kelate, orang sini tak tahu apa pun. Saya dengan tadi, Kamalanathan sangat fasih bahasa Melayu,’’ katanya.
Beliau ibaratkan Zaib sebagai katak kerana dulu dalam UMNO jadi menteri, lepas itu lompat ke pembangkang.
“Kaki belakang dia cukup kuat kerana sekarang dia dapat jadi calon pembangkang. Kita tak sepatutnya pilih atau percaya orang yang suka melompat macam ini. Nasihat saya jangan pilih orang macam itu.
“Nanti dia mabuk entah apa yang dibuatnya. Dia tak berjudi tapi ada kuda lumba. Saya pun ada kuda 30 ekor tapi bukan kuda lumba. Dia mengakui ada kuda lumba tapi dia kata dia tak berjudi, saya tak faham ni,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak pernah “ berubah hati’ tetapi memang sudah membuat keputusan untuk tetap turun membantu Barisan Nasional (BN) berkempen di Hulu Selangor.
Beliau ditanya mengapa tiba-tiba berubah hati dan turun membantu kempen BN .
“Saya tidak pernah berubah hati. Saya mesti sokong BN. Cuma tidak mahu beritahu saya datang. Sebab itu bila ada yang bertanya adakah akan datang berkempen, saya jawap tidak. Sebenarnya sebagai penyokong setia BN, saya pasti datang.’’
Terdahulu ketika berceramah, Dr Mahathir meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor memilih calon BN kerana terbukti BN mampu membawa pembangunan dan perubahan ke kawasan mereka dan seterusnya memantapkan lagi taraf hidup rakyat di sini.
“Negara kita aman dan tenang, walaupun kita telah mencapai banyak kemajuan di kawasan bandar, banyak lagi yang perlu dilakukan di kawasan luar bandar, ” katanya .
Beliau berkata negara telah mencapai kemajuan kerana pemerintahan BN, kerana pemimpin perikatan tersebut bekerja untuk kemajuan negara dan bukan untuk kepentingan individu.
“Bila kita majukan negara semua mendapat faedah dan ini terbukti hanya boleh dilakukan oleh BN,” katanya. -HS.