SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Malang Melayu Kini Bersekongkol, Sokong Dap -Zul

Wakil Rakyat Bebas Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata malang bagi orang Melayu kini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang sanggup bersekongkol dan menyokong perjuangan Dap.
Beliau sehubungan itu menyelar pemimpin Melayu yang sanggup menipu diri sendiri serta para penyokong dengan mendakwa kononnya kerjasama dengan Dap adalah demi dakwah selain untuk mendekatkan parti itu dengan Islam.
“Sepatutnya, apa yang berlaku sekarang cukup menyedarkan bangsa Melayu yang beragama Islam, bahawa mereka sedang bermain dengan api apabila merelakan diri diperkuda oleh kafir harbi ini.
“Mengapakah bangsa yang punya al-Quran sebagai panduan boleh menjadi begitu bodoh? Memang kebodohan itu bukan suatu jenayah, tetapi kebodohan itu akan membawa kemusnahan kepada agama, bangsa dan tanah air sendiri,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com sebagai mengulas tindak-tanduk terkini Dap termasuk cadangan terbaru oleh Tony Pua (Dap-Petaling Jaya Utara) supaya dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah dimansuhkan.
Menurut Zulkifli, Dap langsung tidak mengambil iktibar daripada sejarah hitam Tragedi 13 Mei apabila berterusan menekan dan mempertikaikan hak orang Melayu walaupun perkara itu sudah termaktub di dalam Perlembagaan.
“Laporan Majlis Gerakan Negara (NOC) bertarikh Oktober 1969 menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sebelum 13 Mei 1969. Kenyataan seperti ‘Melayu sudah tidak berkuasa’, ‘ini negeri bukan Melayu punya’, ‘halau Melayu keluar’ akhirnya mencetuskan perasaan marah orang Melayu sehingga berakhir dengan tragedi berdarah.
“Kalau pada tahun 1969, lebih 40 tahun lepas, mereka meraikan kemenangan kecil itu dengan memaki-hamun dan menghina bangsa Melayu, cuba bayangkan apa yang akan Dap lakukan kalau parti itu menguasai kerajaan Persekutuan?” umno-online

Khalid Dicabar Segera Laksanakan Arahan DAP Mansuh Diskaun Bumiputera

Terlanjur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan persetujuan berhubung cadangan DAP yang meminta supaya pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah dimansuhkan, bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Zahid Mat Arip hari ini mencabar beliau melaksanakan segera cadangan berkenaan.
Ini kerana katanya, cadangan berkenaan merupakan “arahan” daripada DAP dan tidak boleh ditangguhkan lagi atau perlu dibincangkan bersama rakan sekutunya, Pas.
“Pas umpama ibarat melukut di tepi gantang, masuk tidak bertambah, dan keluar tidak berkurang. Pada saya, Pas ini tidak relevan pada kaca mata Khalid Ibrahim dan DAP.
“Lagi pun bukankah Khalid merupakan ketua kerajaan negeri dan beliau ada kuasa. Laksanakan segera. Saya cabar kalau dia anak jantan, laksanakan secepat mungkin “arahan” berkenaan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Sambil menyifatkan Menteri Besar itu dan PKR sebagai budak suruhan DAP, bekas pemimpin PKR itu menganggap bantahan Pas Selangor hanyalah seperti “anjing menyalak bukit”.
“PKR dan Pas sebenarnya sudah dirantai DAP. Mereka tak boleh buat apa-apa dan terpaksa ikut telunjuk DAP.
“Ini bukan satu perkara baru sebagai contoh dalam kes penjualan arak, pembukaan ladang babi premis rumah urut dan sebagainya PKR dan Pas hanya jadi “Pak Angguk” dalam pakatan pembangkang”, katanya. - MediaUMNO

Pujuk Rayu Bekas Rakan Bukti Anwar, PKR Makin Terdesak

Tindakan Anwar Ibrahim cuba memujuk semua bekas rakan karibnya untuk menyokong dan bersahabat semula dengannya menunjukkan Anwar dan partinya kini dalam keadaan yang cukup nazak.
Demikian menurut bekas Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin apabila diminta mengulas tindakan terbaru Anwar itu seperti yang didedahkan bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari.
“Rakyat sudah membuka mata. Bukan seorang rakan karibnya yang keluar parti tetapi ramai. Makin lama makin ramai dan ini cukup menggusarkan Anwar hingga terpaksa memujuk semula rakan-rakan lamanya”, kata Fairus.
Tegas beliau lagi tindakan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pembangkang terutama PKR ketika ini sedang bermati-matian menyelamatkan bahtera mereka yang sedang karam teruk.
“Inilah akibatnya jika perjuangan sesebuah parti itu yang hanya untuk mencapai agenda peribadi seseorang.
“Dulu lagi ramai yang bertanya sampai bila PKR boleh bertahan. Nampaknya jawapan tersebut akan diketahui tidak lama lagi”, ujarnya.
Tambah beliau lagi PKR khususnya Anwar akan melakukan pelbagai percubaan untuk memujuk namun beliau yakin mereka yang sudah mengenali siapa Anwar yang sebenarnya tidak akan termakan pujuk rayu tersebut.
Kebanyakan yang mengambil keputusan untuk meninggalkan perjuangan Anwar dan PKR adalah mereka yang terdiri daripada bekas pemimpin tertinggi parti itu termasuk di kalangan rakan karib Anwar sendiri.
Antara mereka adalah Dr Chandra Muzaffar, Anuar Shaari, Zahid Mat Arip, Dr Halili Rahmat, Zainur Zakaria, Datuk Seri Zahrain Hashim, Datuk Nallakarupan, Datuk Salehuddin Hashim, Tan Tee Beng, Mohsin Fadzil, Zulkifli Nordin, Lokman Noor Adam dan ramai lagi. -MediaUMNO

Guan Eng Melampau, Biadap, Kurang Ajar Hina Pegawai Kerajaan

PULAU PINANG 20 Julai – Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyerang pegawai kerajaan bukan sahaja disifatkan sebagai biadap tetapi kurang ajar, kata Ketua Pembangkang negeri, Datuk Azhar Ibrahim.
Tegas beliau, perangai buruk Guan Eng itu tidak sepatutnya berlaku atas sifatnya sebagai Ketua Menteri kerana selama ini kelicinan pentadbiran kerajaan negeri adalah disebabkan sokongan, dokongan dan komitmen pegawai kerajaan.
“Nampaknya Guan Eng dah melampau. Dulu dia serang ahli politik sekarang dia serang pegawai kerajaan pula.
“Saya yakin lebih ramai pegawai kerajaan akan sedar dan bangkit selepas ini untuk mempertahankan maruah mereka yang jelas langsung tidak dihargai kerajaan pimpinan DAP”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menyelar Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus dengan pelbagai kenyataan yang menghina peribadi pegawai terbabit.
Guan Eng semalam menggesa Nik Ali segera meletakkan jawatan kerana mendakwa beliau cuba melarikan diri dan menuding jari kepada orang lain berhubung isu curi pasir tanah milik Kerajaan Persekutuan di Balik Pulau.
Perang dingin antara kedua-dua individu itu tercetus apabila Guan Eng mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera diikuti dengan isu perobohan pintu gerbang Taman Botani dan terbaru, isu curi pasir.
Azhar yang juga Setiausaha UMNO Pulau Pinang seterusnya berkata, Guan Eng lupa kerajaan negeri pimpinan beliau akan lumpuh sekiranya pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat tidak memberikan kerjasama dan sokongan kepada pentadbirannya.
“Sebab pegawai kerajaan negeri beri komitmen dan sokonganlah buat dia (Guan Eng) selesa jadi Ketua Menteri hingga bolehkan dia tumpu kerja politik.
“Apa kata kalau semua pegawai kerajaan termasuk pegawai kanan yang dipinjamkan ke kerajan negeri seperti pegawai daerah, pegawai tadbir diplomatik dan lain-lain lagi tak bagi kerjasama…..saya rasa dia (Guan Eng) boleh mampus….apa nak takut gaji mereka bukan dibayar kerajaan negeri”, tegasnya.
Beliau mengingatkan Guan Eng dan pemimpin pakatan pembangkang lain agar tidak memandang pegawai kerajaan seperti sampah kerana tanpa sokongan, dokongan dan komitmen mereka pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang akan jadi huru hara. – MediaUMNO

PKR, Pas`Tukang Angguk’ Di Pulau Pinang


KUALA LUMPUR 19 Julai – Wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas dalam kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang hanya layak dipanggil sebagai ‘Pak Sanggup” atau ‘Tukang Angguk’ terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata pemimpin terbabit tidak berani bersuara kerana kuatir kepentingan mereka akan disekat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan perlu mendapat restunya terlebih dahulu jika mahu membuat sesuatu.
“Wakil PKR dan Pas tiada suara di Pulau Pinang, mereka ini hanya pencukup syarat kepada pakatan pembangkang dan tidak boleh membuat sebarang kenytaan terutama jika ia boleh mengugat kepimpinan kerajaan negeri atau Ketua Menteri.
“Mereka ini semua nak jaga kepentingan sendiri, khuatir dikenakan tindakan jika bercakap atau bersuara bertentangan dengan dengan dasar Guan Eng, mereka itu semua hanya boleh jadi “Pak Sanggup” atau’Tukang Angguk.
“Di Pulau Pinang yang berkuasa Guan Eng dan DAP, sebab itu nasib orang Melayu tidak dipedulikan kerana ia bukan agenda mereka. Siapa nak jadi juara kerana berani jika tidak nanti kena tindakan disiplin atau kemudahan ditarik balik.
“Buktinya pada diri saya, apabila saya tegur Guan Eng. saya dikenakan tindakan disiplin oleh PKR. Saya tegur Guan Eng mengenai pentadbirannya tapi saya kena tindakan parti. Anwar hanya fikir dirinya sahaja untuk jadi Perdana Menteri,’ katanya.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyatakan Pulau Pinang akan menjadi Singapura kedua satu hari nanti berikutan wakil Melayu dalam pakatan pembangkang di negeri berkenaan tidak memperjuang atau mempertahankan nasib Melayu di sana.
Zahrain berkata, walaupun Anwar berasal dari Pulau Pinang namun beliau tidak memperjuangkan nasib orang Melayu di negeri berkenaan hanya menyerahkan kepada kerajaan negeri yang menentukan terhadap apa yang berlaku.
“Anwar hanya pandai bercakap, siapa tak kenal dia, ceramah sana sini cakap perjuangkan nasib orang Melayu tapi orang Melayu di negeri sendiri kena pinggir, yang penting dirinya nak jadi Perdana Menteri, itu cita-cita dia dari dahulu.
Menurutnya, orang Melayu di Pulau Pinang perlu bersatu dan berjuang mempertahankan hak mereka supaya tidak terus terpinggir dengan apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang sekarang dengan merampas tanah hak milik mereka.
Beliau berkata, sejak kebelakangan ini pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan pakatan pembangkang untuk mengusir orang Melayu di Pulau Pinang, alasan yang sinonim diberikan oleh mereka ialah pembangunan untuk merampas tanah hak milik orang Melayu.--MediaUMNO.

PKR Ranting Permatang Pasir Bubar, Anggota Sertai Umno

BUKIT MERTAJAM, 18 Julai (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Permatang Tinggi di sini dibubarkan selepas kesemua 56 angotanya bertindak keluar parti itu dan menyertai Umno.
Timbalan Ketuanya Ismail Md Ali berkata keputusan itu dibuat mereka selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PKR.
"Kami juga sudah bosan dengan janji-janji manis PKR kerana sehingga hari ini iaitu selepas dua tahun memenangi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk tiada satu (janji) ditunaikan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau sebelum itu menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Ketua Bahagian Bukit Mertajam Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Ismail juga mendakwa Anggota DUN tersebut Tan Hock Leong tidak pernah turun padang bertemu penduduk sejak memenangi kerusi itu.
Sementara itu, Musa berkata tiga lagi ranting PKR di Bukit Mertajam telah menemuinya dan menyatakan hasrat untuk menyertai Umno.
Ia membabitkan kira-kira 300 anggota PKR, katanya yang enggan memberitahu ranting yang terlibat. -- BERNAMA

Najib Mahu Pemimpin Umno Bahagian Sepakat Selesaikan Masalah Dalaman

ALOR SETAR, 15 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pemimpin Umno bahagian terutama di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang supaya sepakat mencari cara menyelesaikan masalah dalaman mereka supaya ia tidak memberi kesan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.
Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berkata pemimpin-pemimpin Umno bahagian tidak boleh terus bertelagah dan mereka perlu berdamai kerana hanya itu formula untuk mengembalikan kekuatan Umno.
Katanya anggota Umno terutama di bahagian-bahagian perlu mengetepikan sikap "kawan makan kawan" dan sebaliknya perlu bersikap "kawan makan lawan", dan jika ia dilakukan, BN boleh kembali merampas kawasan dan negeri yang dikuasai pembangkang.
"Anggota Umno dan penyokong Umno sering tidak menyokong calon sendiri menyebabkan Umno kalah dalam pilihan raya. Jadi, bila pilihan raya, bahagian kenalah pakat pilih calon. (Kita) boleh menang kalau semua berpakat baik-baik. Pilih calon semua sokong," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.
Najib berkata apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin dan anggota Umno terpaksa berhadapan dengan politik dalaman dan sering berbalah menyebabkan banyak puak wujud dalam bahagian.
Najib berkata beliau masih khuatir Umno akan gagal memenangi kembali kerusi dan negeri yang tewas pada pilihan raya lalu jika masalah dalaman di bahagian masih berterusan.
"Saya tak lena tidur jika tahu ada puak-puak dalam bahagian. Semua anggota Umno perlu kembali kepada asas-asas perjuangan dan kembali kepada perjuangan pemimpin Umno terdahulu," katanya.
Beliau berkata anggota Umno perlu menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu sebagai iktibar dan menjadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran.
"Jika tidak mimpi ngeri itu akan berulang. Ia akan menjadi satu igauan jika Umno gagal untuk berkuasa. Perjuangan kita jangan hanya berkisar kepada jawatan dalam parti. Kalau ada harta gunakan harta untuk membela rakyat," katanya.
Beliau berkata jasa Umno bukan hanya kepada orang-orang Melayu tetapi kepada bukan Melayu dan ini sudah terbukti sejak lebih 60 tahun yang lalu menerusi kerjasama Umno dengan parti-parti kaum lain.
Sementara itu, Najib berkata pertimbangan kerajaan sekarang lebih kepada menjadikan ekonomi negara lebih kukuh dan membangunkannya dalam jangka masa panjang.
"Kerana itu apabila kita kurangkan perbelanjaan dalam subsidi, kita gunakan kembali untuk bangunkan masyarakat di luar bandar...elektrik dan air. Kita jimatkan belanja untuk peruntukan kawasan luar bandar," katanya.
Katanya jika kerajaan dan pemimpin Umno menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya, beliau yakin rakyat akan terus dan kembali menyokong Umno dan BN. -- BERNAMA

Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket Terlalu Diberi Muka

Oleh Tarmizi Md. Jam
Dosa fitnah adalah sama dengan memakan daging saudara sendiri. Fitnah mampu menghancurkan masyarakat dan negara. Fitnah adalah dosa besar dan penyebaran fitnah seharusnya dibendung serta penyebarnya diambil tindakan.
Namun, perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Hanya di Malaysialah di mana pembangkang mendapat sepenuh ruang untuk bersuara dan memfitnah semahu-mahunya terhadap kerajaan.
Inilah yang berlaku bila kilang fitnah iaitu akhbar Harakah, Suara KeAdilan dan Roket tetap diterbitkan walaupun permit belum diperbaharui.
Tiada negara sebebas Malaysia tetapi kerajaan Malaysia masih dituduh sebagai menyekat kebebasan bersuara.
Kita tidak faham kenapa Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu berlembut dengan pembangkang sedangkan akhbar-akhbar nyamuk dan tabloid lain dipantau dengan ketat. Sikap ‘double standard’ KDN bila berhadapan dengan pembangkang amatlah menghairankan.
KDN sepatutnya lebih tegas dalam hal ini kerana ianya melibatkan undang-undang percetakan. Tidak wajar undang-undang yang jelas, diketepikan sekadar untuk memperlihatkan keterbukaan kerajaan. Apatah lagi jika subjek yang terlibat ialah akhbar-akhbar yang saban hari kerjanya ialah menyebar fitnah semata-mata.
Percayalah, setelah mendapat kelulusan untuk terus menerbitkan akhbar-akhbar tersebut, perkara pertama yang mereka akan tulis ialah kerajaan menyekat kebebasan akhbar.
Nampaknya, pembangkang di Malaysia sering mendapat kelebihan contohnya Anwar Ibrahim di mana walaupun ketika dipenjara suaranya tetap dibiarkan terdengar melaungkan ‘tiada kebebasan bersuara!’ di akhbar tempatan dan luar negara. Mereka juga bebas mereka-reka cerita di dalam laman web mengikut sesuka hati, berdasarkan fantasi dan imaginasi sendiri demi untuk mendapat sokongan rakyat.
Mengambil tindakan ke atas penyebar fitnah ini tidak sekali-kali menunjukkan yang kerajaan menyalahgunakuasa. Malah kerajaan akan lebih dilihat sebagai tegas serta bertanggungjawab dalam menegakkan undang-undang tanpa mengira bulu atau persepsi masyarakat.
Tindakan KDN membelakangkan undang-undang demi kebebasan pembangkang untuk memfitnah menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah pembangkang berada di atas undang-undang dan tidak tertakluk dengan syarat yang dikenakan ke atas rakyat biasa?
KDN perlu perjelaskan alasan konkrit berkenaan kenapa pembangkang mendapat kelebihan ini sedangkan permit mereka belum pun diperbaharui. Adakah kerana ingin menjaga imej sebagai ‘terbuka’ atau kerana takut kepada pembangkang? -Malaysia-instinct

Bai'ah terbaru PAS - Jika keluar parti pendapatan dianggap haram!

BAI’AH terbaru dalam Pas menghukum ahli-ahlinya yang keluar parti atau menyertai parti dikehendaki meletakkan jawatan dan segala pendapatan wakil itu dan anggota keluarganya akan dianggap “haram”.
Nampak semakin banyak perbuatan yang pelik-pelik diamalkan Pas – parti yang berjuang kononnya atas nama Islam.
Sebelum ini, heboh pasal Pas mengamalkan bai’ah semasa pemilihan calon pilihan raya yang antara lain jatuh cerai talak tiga pada isteri jika wakil rakyat Pas lompat parti.
Kini ada bai’ah baru kepada ahli-ahli atau pemimpin Pas yang dilantik jadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan di bawah kuota parti itu di Selangor.
Menurut Harakahdaily.net, parti itu mendapat 67 kerusi ahli majlis kerajaan tempatan di negeri yang ditadbir bersama dengan PKR dan DAP.
Sebagai tanda sokongan, Pas memberikan tempat kepada ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) apabila empat dari mereka dilantik menjadi ahli majlis di bawah kouta parti itu.
Mereka yang dilantik dan mengangkat sumpah di depan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Ali adalah K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, S. Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).
Antara sumpah atau ikrar mereka adalah mereka akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar ‘ganti rugi’ jika mereka tidak lagi bersama Pas.
Memandangkan ini kali pertama Pas Selangor membuat pelantikan ahli majlis kalangan bukan Islam, sesi angkat sumpah taat setia kepada parti menjadi tumpuan mereka yang menghadiri majlis malam tadi.
Ahli-ahli majlis beragama Islam membacakan bai’ah manakala bukan Islam pula ikrar aku janji.
Mereka juga menandatangani surat letak jawatan sebagai langkah berjaga-jaga jika melompat ke parti lain ataupun tidak lagi menjadi ahli PAS.
Di bawah bai’ah itu, mana-mana ahli Pas yang keluar parti atau menyertai parti lain dikehendaki meletakkan jawatan dan segala pendapatan wakil itu dan anggota keluarganya akan dianggap “haram”.
Ahli-ahli bukan Islam pula dikehendaki meletakkan jawatan dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperolehi ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis. – Agendadaily

PAS, Parti Tergadai Prinsip

Sudah jelas dan nyata. Sudah terang lagi bersuluh. Itulah yang boleh dikatakan mengenai pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai konsep negara Islam Pas seperti yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysia Insiders.
Dalam wawancara tersebut, beliau dilaporkan berkata, mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal menubuhkan negara Islam jika pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan pada masa depan.
Menurutnya lagi, Malaysia adalah sebuah negara sekular berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pas sepatutnya sedar dari dulu lagi apabila mengambil keputusan untuk bekerjasama membentuk pakatan pembangkang. Pendirian DAP yang menolak penubuhan negara Islam sebagaimana dasar perjuangan Pas bukanlah perkara baru. Isu ini telah timbul dalam era 1990-an lagi.
Adakah Pas perlu menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya semata-mata untuk mendapat kuasa politik dan menjadi sebuah kerajaan?. Adakah Pas sedar, penggabungannya dalam pakatan pembangkang sebenarnya telah mengundang 'gundah-gulana' ahli-ahli partinya yang begitu taat dan setia terutama golongan veteran Pas yang sanggup berbuat apa sahaja untuk memenangkan Pas demi menegakkan prinsip dan dasar perjuangan parti itu.
Ternyata penubuhan pakatan pembangkang adalah semata-mata untuk mendapatkan undi. Pada dasarnya Pas tak perlu gusar tentang sokongan. Tanpa menyertai pakatan pembangkang, Pas mampu menerajui sebuah kerajaan mengikut acuannya sendiri.
Dalam perkara ini, Pas nampaknya telah dipergunakan oleh pihak lain semata-mata untuk meraih undi dan sokongan kaum Melayu demi mencapai cita-cita politik mereka untuk menguasai Putrajaya. Tanpa Pas, pakatan pembangkang tidak akan ke mana. PKR kini sudah boleh diumpamakan sebagai 'retak menanti belah.' Isu lompat parti, krisis kepimpinan dan berbagai lagi isu yang menghantui PKR saban hari kedengaran.
Sebelum ini, para pemimpin Pas memberitahu penyokong mereka bahawa DAP sudah menerima dasar perjuangan Pas. Tetapi kini, apa sudah jadi? Bagaimanapun, pendirian Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang berkata dasar Pas tidak pernah berubah dan kerjasama di dalam pakatan pembangkang adalah berkaitan isu yang disepakati seperti rasuah dan penyelewengan kuasa, mungkin menjawab isu sebenar mewujudkan pakatan pembangkang.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Harakahdaily, menyifatkan kenyataan Karpal yang tidak akan berkompromi terhadap penubuhan negara Islam, hanya bersifat peribadi.
Tiada gunanya Pas kekal bekerjasama di dalam pakatan pembangkang semata-mata untuk mendapatkan kuasa sekiranya terpaksa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangannya. Pas harus sedar, kehadirannya di dalam pakatan itu hanyalah satu retorik kepada rakyat mengenai kesepakatan dan kesefahaman, sedangkan hakikatnya ia umpama 'tidur sebantal, mimpi berlainan.'
Pas dan DAP tidak mungkin boleh berkompromi. Jika berkompromi, ini bermaksud DAP menerima dasar perjuangan Pas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan jika sebaliknya, itu bermaksud Pas menerima konsep negara sekular yang ternyata bertentangan dengan prinsip perjuangannya. Atas kesedaran inilah, Pas sewajarnya keluar dari pakatan pembangkang. -Malaysia Instinct

Penipuan DiBongkar, YB Pembangkang Kepanasan

Akibat tak tahan pedih telinga dan tak sanggup berdepan kebenaran, ramai ahli parlimen pembangkang khususnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih untuk tidak berada di dalam Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin membahaskan Rang Undang-Undang Mahkamah Rendah (Pindaan) 2010 di sini, Rabu.
Sama ada mereka bertindak angkat kaki keluar dewan atau memilih untuk bersantai di ruang rehat lobi parlimen ternyata mereka tidak sanggup mendengar pembongkaran satu demi satu pembohongan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN yang didedahkan Zulkifli Nordin.
Antara Ahli Parlimen dari PKR yang tiada dalam dewan ketika itu ialah YB Azmin Ali, YB Tian Chua, YB Gobalakrishnan, YB Saifuddin Nasution, YB Nurul Izzah dan beberapa lagi ahli parlimen PKR yang sebelum inu cukup lantang bersuara mengenengahkan pelbagai isu.
Malah di kalangan ahli parlimen Pas yang sentiasa lantang mempertahankan Anwar Ibrahim juga turut tidak kelihatan seperti YB Mahfuz Omar, YB Dr Hatta Ramli dan YB Kamaruddin Jaafar.
YB Khalid Samad pun hanya mampu duduk seketika sebelum angkat punggung meninggalkan dewan tersebut.
Ternyata ruang yang diberikan kepada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu untuk berbahas telah membongkarkan segala-galanya berhubung pelbagai pembohongan pembangkang yang digunakan mereka untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dalam pendedahan itu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mengakui bahawa beliau pernah melakukan bermacam pembohongan semasa menyertai pembangkang dalam strategi untuk menumbangkan kerajaan BN.
“Saya terpaksa akui sememangnya itu strategi, dan saya sendiri pernah terlibat,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sama ada tindakan pembangkang menyerang kehakiman, polis, istana dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tuduhan merupakan strategi pembangkang bagi melumpuhkan kerajaan BN.
“Memang mana-mana pembangkang pun tugasnya nak jatuhkan kerajaan, nak ambil alih kerajaan. Cara itu yang tak kena, yang kita persoal ialah etika. Takkan sampai kita hancurkan nama orang, rosakkan peribadi orang.
“Saya akui memang itu disuruh tetapi akhirnya kita sedar, benda ini tak betul dan perlu diperbetulkan sebab yang nak jawab depan Allah. Saya akui memang itu strategi sebenarnya,” tambahnya.
Zulkifli sebelum itu berkata, beliau disuruh menggunakan strategi tersebut sejak zaman reformasi pada tahun 1998.
“Contoh, saya buat cerita mengenai kena racun arsenik. Saya antara orang terdepan yang bawa isu arsenik,” katanya merujuk kepada dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi racun tersebut semasa dalam tahanan ketika itu. – MediaUMNO

Suara Keadilan: Jumpa di mahkamah…kata PM disambut tepukan gemuruh peneroka

Felda akan teruskan saman terhadap akhbar PKR Suara Keadilan setelah tamat tempoh seminggu notis tuntut maaf dan gantirugi RM200 juta hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umum demikian dalam ucapannya di Hari Felda di Trolak pagi Rabu.
Beliau telah mengulas dengan panjang lebar mengenai isu dakwaan berkenaan di depan lebih 10,000 peneroka yang hadir di majlis itu.
Perdana Menteri berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap telah membuat tuduhan liar yang tidak berasas serta melakukan satu dusta.
"Tak bankrap...bukan Suara Keadilan yang tentukan," katanya sambil disambut dengan teriakan peneroka yang melaung supaya Felda meneruskan saman.
"Hari ini suara perhimpunan hendak kita teruskan...kita jumpa di mahkamah," katanya sekali lagi disusuli tepukan gemuruh.
Najib menegaskan Felda telah membuat pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat dan merupakan sebuah institusi yang berjaya tetapi dituduh bangkrap oleh mereka yang sebenarnya bankrap idea, moral dan prinsip perjuangan.
Najib berkata Felda kini mempunyai wang tunai sebanyak RM1.3 bilion dan ini tidak termasuk wang yang terdapat dalam beberapa anak syarikatnya.
"Nak kata apa bankrap...Felda sahaja ada RM1.3 bilion tunai. Felda labur dalam saham dan membelinya pada harga RM844 juta, hari ini dah naik lima kali ganda. Boleh kata kita bankrap?," katanya.
Perdana Menteri, saham-saham yang dibeli Felda adalah daripada syarikat besar seperti MISC dan Maybank yang tersenarai di Bursa Malaysia dan jika dijual sekarang boleh memperoleh RM4.6 bilion.
Menurutnya, ladang-ladang yang dimiliki Felda jika dijual dengan nilai konservatif ladang komersial adalah berharga RM10 bilion.
Beliau menjelaskan Felda merancang pembangunan untuk jangka panjang dan telah membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan Kanada bagi menembusi pasaran global dalam usaha meningkatkan pemasaran produk di peringkat antarabangsa yang akan membantu meningkatkan lagi harga sawit.
Katanya Felda juga telah membelanjakan RM2.4 bilion untuk tanaman semula.
"Kalau pokok dah tua mana nak keluar buah (sawit) atau susu (getah)," katanya.
Mengenai projek pembinaan Menara Felda yang baru, beliau berkata tanah yang dibeli bagi projek itu kini kalau dijual pun sudah mendapat untung yang banyak.
"Kita kalau nak buat bangunan tak kan nak buat di Kampung Keramat atau Kampung Baru (di Kuala Lumpur)...kita buat di sebelah Menara Berkembar Petronas," katanya.
Najib sekali lagi menarik perhatian hadirin apabila bertanya sama ada seseorang yang bankrap boleh membayar zakat.
"Kalau bankrap boleh tak bayar zakat tak wajib bayar zakat...Felda membayar zakat RM26 juta tahun lepas kepada kerajaan-kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau berkata mereka yang menuduh Felda bankrap sebenarnya bankrap idealisme dan moral.
Katanya wakil rakyat mereka pun tinggalkan parti, setiausaha agung pun tinggalkan parti kerana parti itu bankrap prinsip dan perjuangan.
Perdana Menteri kemudian merasmikan MRSM Felda serta mengiystiharkan nama baru MRSM termoden dan tercanggih yang bernilai RM120 juta sebagai MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak.- Agenda Daily

Fatwa, Ceramah Pas Selalu Bercanggah Islam – Shafie

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal menyelar tindakan Pas Johor yang membuat laporan polis terhadap beliau ekoran ucapannya yang mengatakan Pas parti ajaran sesat.
Katanya, itu bukan perkara baru malahan sebelum ini pelbagai fatwa telah ditimbulkan oleh Pas untuk menarik perhatian dan mengelirukan masyarakat.
“Bila kita (UMNO) adakan persahabatan dengan MCA dan MIC dia kata kita kafir, mereka kata undi Pas akan masuk syurga dan macam-macam fatwa lagi yang mereka keluarkan dalam ceramah-ceramah termasuk di pilihan raya kecil,” katanya kepada UMNO online semasa ditemui di lobi Parlimen, di sini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata bahawa beliau hanya memetik semula ungkapan yang pernah diucapkan oleh para pemimpin Pas sendiri.
“Pas kata macam-macam pada kita, tuduh kita Israel dan sebagainya. Bila kata (tuduh) kita tak apa tapi bila kata mereka tak boleh pula,” katanya.
Menurut beliau lagi, kemungkinan parti yang bertopengkan Islam itu tergugat dengan keadaan sekarang hinggakan cuba mencari populariti.
Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sentral Johor Bahru itu diketuai oleh ketua penerangan Pas Johor Mazlan Aliman, yang meminta Shafie memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau. Sekiranya tindakan tersebut tidak dibuat maka PAS Johor akan mengarahkan ahlinya di negeri itu untuk membuat laporan polis secara bersiri. – MediaUMNO

Pemimpin Pembangkang Harus Jawap Pendirian Anwar Dengan Yahudi

Pemimpin pembangkang terutamanya parti yang kononnya memperjuangkan Islam seperti PAS harus memberi jawapan mereka setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sanggup tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata inilah dilemma yang dihadapi parti-parti pembangkang yang telah mengangkat Anwar, penasihat Parti Keadlian Rakyat (PKR) sebagai pemimpin utama mereka.
"Terserah kepada rakyat untuk memilih siapa yang sesuai, siapa yang sebenarnya harus dipilih sebagai pemimpin yang tulen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sepetang Mengemping Bersama Masyarakat Kampung Gagu di sini.
Beliau berkata Anwar adalah sesumpah di kampung di mana beliau boleh menukar warnanya mengikut suasana harian.
"Kalau sesumpah misalnya hinggap di pokok kelapa maka warna badannya berubah mengikut kulit batang kelapa, jadi Anwar saya lihat pun begitu," katanya.
Di Kuala Lumpur, beliau menghentam Zionis dan Israel tetapi apabila di Washington minggu lalu, Anwar melutut kepada pemimpin Zionis dan memohon maaf seolah-olah beliau menghendaki dirinya itu disayangi Israel dan Zionis.
"Jadi masyarakat khususnya dalam parti PKR dan juga parti-parti sekutunya harus bertanya pada diri sendiri jika mahukan seorang pemimpin yang teguh dan cekal perangainya atau seseorang yang main kelentong dengan prinsip perjuangan," katanya.
Terserahlah kepada rakyat untuk memilih pemimpin di kalangan mereka dan sekarang rakyat sudah boleh nilaikan siapa pemimpin yang tulen, katanya.
Anwar baru-baru ini berkunjung ke Washington dan lawatannya itu dilaporkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.
Diehl dalam tulisannya yang berjudul Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan bahawa pemimpin PKR itu meluangkan masa untuk memberi penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.
Penjelasan itu diberikan selepas beliau bimbang dengan sokongan barat selepas meniup semangat anti Yahudi di Malaysia dengan bertujuan untuk memburukkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno. -- BERNAMA

Anwar Ahli Politik “Sesumpah” Paling Hebat Pernah Muncul

UMPAMA “ayam kokok berderai-derai tapi ekor penuh tahi”. Mungkin ini bidalan paling sesuai buat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindak tanduknya di Amerika Syarikat seperti yang dilaporkan dalam akhbar Washington Post.
Artikel yang diterbitkan Isnin lalu itu berkata Anwar memberitahu kawan-kawannya di Amerika Syarikat bahawa beliau menyesal menggunakan istilah seperti ‘pencerobohan Zionis’.
“(Beliau) menghabiskan banyak masa memberi penjelasan kepada teman-teman lama, termasuk pengerusi jawatankuasa halehwal luar negara Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi,” tulis Jackson Diehl dalam artikel bertajuk ‘Flirting with zealotry in Malaysia’.
Diehl merupakan timbalan pengarang untuk halaman pengarang The Washington Post.
Anwar juga dipetik berkata beliau menyesal menggunakan istilah ‘pencerobohan Zionis’ dan menegaskan yang beliau harus lebih berhati-hati menggunakan istilah tersebut, jangan sampai menyebabkan timbul salah faham.
Laporan akhbar The Washington Post ini sebenarnya memaparkan sekali lagi wajah sebenar yang disifatkan ramai pihak sebagai pemimpin yang cukup licik “bermuka-muka”. Malah ada yang melabelkan Anwar sebagai ahli politik “sesumpah” paling hebat yang pernah ada di negara ini.
Apa tidaknya ramai masih tidak akan melupakan bagaimana gelagat Anwar ketika membangkitkan isu APCO di Parlimen yang menuduh kerajaan khususnya UMNO bersekongkol dengan Yahudi. Lagaknya bagai “Hero”, betapa dialah manusia yang paling benci kepada Yahudi di dalam negara ini.
Begitu juga sewaktu seluruh dunia mengecam kekejaman Israel ke atas Flotilla keamanan Gaza, Anwar mengepalai perarakan mengecam rejim zionis seolah-olah dia amat bencikan Zionis.
“Ini membuktikan Anwar bukan Pro Yahudi. Dia berani serang Yahudi dan dedahkan isu APCO yang jelas UMNO/BN lah yang ada hubungan dengan Yahudi”, begitulah nada sorak penyokong parti pembangkang dalam hampir semua laman web pro pembangkang.
Namun lagak sorak itu umpama meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri apabila media di Amerika Syarikat mendedahkan gelagat sebenar Anwar Ibrahim berhubung prinsip sebenarnya terhadap Yahudi.
Ramai di kalangan pemimpin pembangkang mula garu kepala, tak kurang juga ada pemimpin pembangkang yang berserban, berkopiah terkebil-kebil mencari dalil atau fatwa untuk mempertahankan gelagat Anwar tersebut.
Maka tidak hairanlah apabila Ketua Dewan Ulama Pas sendiri, Datuk Harun Taib mahu Anwar menyatakan pendiriannya berhubung laporan akhbar Washington Post itu.
“Saya tidak mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatakan pendirian peribadinya dengan Yahudi, saya desak dia nyatakan pendirian berhubung laporan Washington Post itu,” tegas Datuk Harun Taib.
Begitulah nada berlapik Ketua Dewan Ulama Pas yang pada hakikatnya turut meragui tindak tanduk Anwar Ibrahim itu.
Kalau Ketua Dewan Ulama Pas iaitu sekutu rapat Anwar sendiri pun meragui maka tidak hairanlah rakyat di negara ini juga makin berbelah bagi dengan gaya politik Anwar yang “berubah-ubah”.
Bagi golongan akademik pula menyifatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terjerat dalam perangkap yang dibuatnya sendiri sehingga terpaksa memohon maaf kepada sekutu Yahudi di Amerika.
Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin memberitahu tindakan Anwar memohon maaf ekoran terdesak setelah taktik yang digunakannya tidak menjadi.
“Anwar memang putar belit. Dia sudah kehilangan modal untuk menyerang pemimpin tertinggi kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pelbagai isu yang ditimbulkannya ternyata makan diri,” katanya.
Bagi ahli politik yang sudah lama mengenali Anwar pula gelagat Anwar di Amerika Syarikat baru-baru ini bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang terkenal dengan sifat lidah bercabang.
“Bila berjumpa orang India, dia adalah seorang pejuang masyarakat India, berjumpa orang Cina, beliau adalah hero masyarakat Cina dan bila berjumpa orang Islam, beliau adalah pejuang Islam.
“Apabila beliau berucap di Parlimen mempertikaikan pelantikan APCO Worldwide, beliau seolah-olah menjadi juara rakyat Malaysia keseluruhannya dengan mengutuk APCO sebagai penceroboh zionis,” katanya.
Mengimbas kembali kata-kata rakan lamanya seperti Datuk S. Nallakarupan, Anwar bagi Datuk Nalla sanggup melakukan apa saja demi survival peribadi termasuk “menikam belakang” rakan baiknya.
Datuk Nalla yang merupakan rakan permainan tennis dan sudah mengenali Anwar lebih 30 tahun pernah berkata Anwar adalah pemimpin yang cukup pandai berbelit-belit.
“Saya cukup kenal Anwar. Dia pandai berlakon. Dia boleh buat apa saja untuk kepentingan diri sendiri”. Begitulah kata Datuk Nalla berkenaan Anwar Ibrahim.
Manakala bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mohon maaf kepada rakan-rakan Zionis dan sekutunya di Barat demi menjaga kepentingan politiknya dan memastikan cita-cita peribadi menjadi Perdana Menteri tercapai.
Kata beliau lagi selepas mengutuk Israel dengan pelbagai istilah ketika berucap kepada ramai di Malaysia, Anwar merasakan pengaruhnya di Amerika Syarikat dan Barat terjejas.
Sehubungan dengan itu, katanya, Anwar perlu memperbaiki hubungannya dan memastikan sokongan daripada Barat berterusan untuk perjuangannya menjadi Perdana Menteri.
“Dia memang tokoh politik yang mempolitikkan isu. Politik dua alam, sebab itu cakapnya tak serupa bikin dan berjuang semata-mata untuk politik kepentingannya.
“Kepentingan negara tidak penting untuk dipertahankan, kepentingan beliau ialah politik dia”, katanya.
Begitulah wajah sebenar Anwar Ibrahim yang mempunyai pelbagai wajah yang boleh berubah mengikut waktu dan kepentingan.
Hakikatnya ramai yang percaya lambat laun wajah-wajah lakonan Anwar selama ini akan memakan diri sendiri.
Anwar boleh menipu orang dalam masa-masa tertentu namun dia tidak akan boleh menipu semua orang sepanjang masa. Hanya masa yang akan menentukan…tungggguuu!!! – MediaUMNO

Hubungan Anwar Dengan Tokoh Yahudi Terbukti Intim – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 1 Julai. – Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Washington bagi menjernihkan hubungan dengan beberapa tokoh Yahudi di sana baru-baru ini jelas membuktikan bahawa hubungan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan kumpulan tersebut memang intim, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau seterusnya meminta rakyat menilai dan membuat pertimbangan sendiri mengenai perjuangan sebenar Ketua Pembangkang itu.
“Jelas terbukti, jadi kita harus buat pertimbangan apakah sebenar politik Anwar ini, untuk apa dia berjuang,”
Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas satu laporan akhbar Washington Post Isnin lepas yang mengatakan bahawa Anwar berada di Washington selama beberapa hari minggu lepas untuk memberitahu rakan-rakannya di Amerika bahawa beliau kesal kerana menggunakan istilah seperti “pencerobohan zionis”.
Akhbar itu juga menyebut bahawa Anwar menyertai satu tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika di Kuala Lumpur baru-baru ini di mana sehelai bendera Israel dibakar, dan beliau juga membuat sindiran pedas mengenai firma perhubungan awam yang berpejabat di Washington menurutnya “dikuasai Yahudi” Apco Worldwide, yang digunakan khidmatnya oleh kerajaan Malaysia.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Anwar tanpa segan silu ke negara itu untuk memohon maaf di atas kesilapan beliau kerana khuatir ia mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakan-rakannya itu.
“Sebab itu bila dia rasa dia sudah lakukan kesilapan, dia buat kenyataan itu dia cukup bimbang kalau-kalau sahabat dia yang ada di sana akan bukan sahaja tidak puas hati mungkin akan marah,” katanya.
“Kita tahu di sini bahawa jelas hubungan yang rapat antara Anwar dengan kumpulan-kumpulan yang dikatakan pro-zionis atau pro-Yahudi itu, terserah pada rakyat untuk buat pertimbangan apakah sebenar Anwar Ibrahim itu,” tambahnya. – Bernama