SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Nama Ketua Negara Beragama Islam Mesti Disebut Dalam Khutbah Jumaat

Nama pemimpin negara yang beragama Islam mesti disebut dalam doa khutbah Jumaat kerana Islam merupakan agama yang berkuasa di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan cabaran terbesar terutama dalam keadaan umat yang berpecah belah, yang mungkin mengakibatkan Islam kehilangan kuasanya di negara ini.
"Saya bukan racis yang nak bangkitkan perasaan marah di kalangan umat Islam tetapi ada hak kita yang harus dihormati pihak lain. Penghormatan hanya akan diperoleh apabila kita berkuasa.
"Hari ini walaupun Islam menuntut kita bersaudara tapi kita berpecah, sehingga tahap mungkin hilang kuasa," katanya ketika berucap merasmikan majlis berbuka puasa dan penyampaian Anugerah Sri Cemerlang Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Universiti pada hari Selasa.
Beliau merujuk kepada insiden penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di negeri itu baru-baru ini.
Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim mengingatkan umat Islam agar memikirkan semula tanggungjawab kepada agama, sekalipun tanggungjawab kepada bangsa sudah tidak lagi menjadi keutamaan.
Katanya walaupun jumlah umat Islam di negara ini ramai, tidak mustahil Islam akan kehilangan tempatnya sebagai agama rasmi sekiranya sikap berpecah-belah masih diteruskan.
"Jumlah ramai ini tidak bermakna kalau sudah berpecah belah dan bermusuh antara mereka. Apabila bermusuh, pihak lain berpeluang gunakan permusuhan sesama Islam ini untuk mengutarakan kedudukan mereka, bahkan untuk berkuasa dalam negara.
"Jangan fikir tidak mungkin satu hari nanti khutbah sebut ketua negara bukan Islam kerana mereka telah berkuasa dan kita sudah jadi puak yang kecil, berpecah belah dan tidak berkuasa," katanya.
Beliau berkata sudah ramai umat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan tingkah laku dan cara hidup seperti yang dituntut dalam Al-Quran dan hadis.
Justeru katanya kuasa umat Islam hanya dapat dikekalkan sekiranya umat Islam itu sendiri yang berusaha menyelamatkan agama mereka.
"Berkuasa hari ni tidak bermakna kekal berkuasa di masa depan. Jangan fikir pegangan kita akan terus kekal. Ia akan terhakis juga bila kita sudah miskin dan daif. Islam tak suruh kita berpecah-belah, tapi suruh kita bersaudara. Tanya kepada diri adakah kita benar-benar berpegang kepada ajaran Islam tentng persaudaraan ini," katanya. -- BERNAMA

Pas Selamatkan Guan Eng, Bukan Syariah Islam – Zabariah

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pas tidak perlu dangkal dan terus menyembunyikan kejadian sebenar berhubung penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di dalam doa khutbah solat Jumaat yang berlaku di beberapa masjid di negeri berkenaan, baru-baru ini.
Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Zabariah Wahab menyifatkan tindakan Pas yang menuduh UMNO sengaja mereka-reka cerita membuktikan bahawa Pas cuba menegakkan benang basah di dalam usaha mereka menyelamatkan imej kepimpinan pakatan pembangkang yang semakin tercalar.
“Di mana prinsip perjuangan Pas yang menjadikan agama sebagai paksi mereka, demi untuk menyelamatkan rakan seperjuangan mereka (Dap)? Pas sengaja mengalih pandangan dengan menuduh UMNO sengaja membuat tuduhan sedangkan khatib yang terbabit itu sudah pun mengaku.
“Sebenarnya, Pas cuba menyelamatkan Guan Eng dan kepimpinan (pakatan pembangkang) negeri yang kini kelam kabut kerana banyak menimbul masalah dan menyebabkan rakyat tidak puas terutamanya orang kita (orang Melayu) dengan apa yang berlaku sejak sekarang,” katanya ketika dihubungi UMNO-online, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa yang menuduh UMNO membuat fitnah dan berbohong dengan mendakwa beberapa khatib dan imam di Pulau Pinang menggunakan nama Guan Eng menggantikan nama Seri Paduka.
Menurutnya, Pas Pulau Pinang cuba menyembunyikan kenyataan dengan mengatakan dakwaan itu tidak benar dan belum terbukti sedangkan khatib yang membaca khutbah dan doa itu sudah pun mengaku perbuatannya.
“Saya tak faham dengan Pas ni, apa lagi yang ingin mereka cuba nafikan, khatib yang baca khutbah itu pun dah mengaku, nama dan gambar sudah disiarkan dalam surat khabar, saya tidak hairan jika Pas akan mengatakan semua itu perancangan UMNO.
“Pada bulan yang mulia, saya menyeru kepada orang Pas janganlah berburuk sangka sesama Islam sedangkan perkara itu sudah nyata, terimalah hakikat dengan apa yang berlaku, janganlah untuk menjaga kepentingan politik kita buat fitnah,” katanya.
Zabariah yang juga Adun Bertam, berkata walaupun beliau tidak mendengar butiran khutbah itu kerana tidak mengikuti solat Jumaat tetapi dia ada menerima laporan dan aduan dari orang ramai berhubung kejadian berkenaan.
“Kita orang perempuan tidak pergi sembahyang Jumaat, tapi ada mendengar kejadian ini, pada mulanya saya tidak percaya dengan apa yang berlaku, tetapi apabila ramai yang berjumpa dan mengadu pada saya, benarlah apa yang dikatakan.
“Sebenarnya, Pas negeri cuba menutup kelemahan yang berlaku terhadap wakil mereka di dalam kerajaan negeri, wakil Pas tak buat kerja mereka ini hanya ikut telunjuk Ketua Menteri, sebab itu mereka akan cuba sedaya upaya untuk pertahankan Ketua Menteri Melaka,” katanya.
Menurutnya, ini bukan pertama kali pemimpin Pas negeri cuba mempertahankan apa jua tindakan pemimpin pakatan pembangkang walaupun perkara itu menyentuh kepentingan orang Melayu dan agama Islam di Pulau Pinang. -MediaUMNO

Karpal Nafi Sendirian Tolak Hukum Hudud dan Penubuhan Negara Islam

Karpal Singh pada hari Isnin menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau bersendirian dalam pendiriannya menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang dicadangkan PAS.
Karpal Singh berkata penasihat DAP Lim Kit Siang juga telah menyatakan pendiriannya bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular dan pengenalan hukum hudud di negara ini dan pewujudan sebuah negara Islam bukan dasar pakatan pembangkang.
"Kenyataan oleh Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menunjukkan bahawa saya bersendirian dalam DAP yang menentang hudud dan negara Islam," katanya dalam kenyataan.
Karpal Singh mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz dua hari lepas bahawa beliau berpendapat kenyataan pemimpin DAP itu yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud dan negara Islam adalah pandangan peribadi beliau.
"Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti," kata Mursyidul Am PAS itu.
Karpal Singh yang menyambut baik kenyataan pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa hukum hudud adalah tidak sesuai dilaksanakan, berkata: " PAS patut menerima hakikat bahawa mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam merupakan langkah sia-sia dan tidak akan dapat dicapai."
"Langkah itu bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dan menurutnya beliau berharap PAS akan mempertimbangkan pendiriannya mengenai hukum hudud dan negara Islam.
-- BERNAMA

Kepimpinan Pas Bisu, Hilang Maruah

KOTA BHARU, 23 Ogos – Bekas Ketua Penerangan Pas Terengganu, Ustaz Omar Khalid menyifatkan kepimpinan Pas sebagai bacul hingga sanggup menjadi ‘syaitan bisu’ berhubung tindakan khatib di Pulau Pinang yang sanggup menyebut nama Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, bagaikan sudah terang lagi bersuluh, tindakan khatib berkenaan yang sanggup berbuat demikian merupakan satu perbuatan yang biadap dan melanggar tuntutan agama.
“Namun apa yang cukup menyedihkan saya, pimpinan Pas seolah-olah merestui tindakan berkenaan selain terdapat beberapa pemimpin Pas lain yang sebelum ini cukup lantang bila mengutuk dan mencerca pemimpin UMNO menjadi kelu dan tidak mampu berkata apa-apa.
“Bagi saya, pemimpin seumpama ini adalah pemimpin yang tidak bermaruah dan pemimpin bertopengkan agama kerana sanggup mengambil tindakan sedemikian rupa walaupun soal agama diperkotak-katikkan sehari ke sehari. Apa nak jadi dengan kepimpinan Pas hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas t indakan khatib yang menyebut nama Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di Pulau Pinang baru-baru ini.
Beberapa pihak termasuk pimpinan UMNO serta NGO dan pimpinan masyarakat serta penduduk setempat melahirkan rasa tidak puas hati dan membantah tindakan khatib berkenaan.
Namun anehnya, Ketua Pemuda Pas, Nasarudin Hassan, berkata pihaknya mempertahan tindakan khatib jemputan, Zakaria Ahmad, yang mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa khutbah Jumaat di beberapa daerah di negeri itu.
Ustaz Omar yang pernah menjawat jawatan Exco Pemuda Pas Terengganu seterusnya berkata, Pas hari ini sebenarnya mengutamakan politik dan bukannya mementingkan ummah.
Ini kerana, katanya, jika mereka memikirkan ummah, merekalah antara orang yang pertama bangkit membantah tindakan khatib berkenaan yang terang-terangan melanggar apa yang dilarang di dalam Islam.
“Politik kepartian dan kuasa menjadi pertimbangan utama perjuangan Pas hari ini dan ini adalah salah satu punca yang menyebabkan saya bertindak mengambil keputusan keluar dari jemaah pada satu ketika dahulu.
“Nampak jelas, mereka sanggup menjunjung Dap daripada menjunjung kitab suci Al-Quran. Masya Allah.
“Apakah mereka lupa kepada kata-kata Imam As-Syafie yang mana menyatakan bahawa orang yang tahu dan arif dalam soal agama, tetapi dia tidak buat maka dia akan diazab oleh Allah sebelum daripada penyembah berhala.
“Jadi kepada pemimpin-pemimpin Pas khususnya Nasarudin Tantawi, renung-renungkan kata-kata berkenaan demi kepentingan ummah dan bukannya kuasa semata-mata. Jangan jadi manusia bertopengkan agama,” katanya. -MediaUMNO

Sebut Guan Eng Dalam Doa Jumaat Implikasi Besar – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 20 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta polis dan Majlis Agama Islam Negeri menyiasat dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar kerana perkara itu mempunyai implikasi besar.
“Saya mahukan perkara itu dikaji, diteliti dan jika benar kejadian itu berlaku, maka tindakan tertentu oleh pihak tertentu mesti diambil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang sebagai berkata ada masjid di Pulau Pinang dikesan berbuat demikian pada solat Jumaat minggu lepas.
Muhyiddin berkata bahawa pada masa ini, beliau tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya apabila membaca akhbar.
“Saya pun (hanya) baca dalam akhbar, saya tidak mendapat laporan daripada mana-mana pihak tertentu, sama ada kenyataan itu tepat atau tidak. Adakah ia memang dibuat secara betul, dikatakan dibuat di masjid, saya pun kurang tahu.
“Adakah ia dibuat atas kehendak dia atau atas arahan daripada pihak tertentu. Saya percaya ini suatu perkara yang mempunyai implikasi besar,” katanya.
Mengulas mengenai manifesto DAP untuk mengambil alih Putrajaya, Muhyiddin berkata terserah kepada rakyat untuk menilai setiap perancangan yang dilakukan oleh parti pembangkang.
“Rakyat boleh menilai sama ada ia munasabah atau gimik semata-mata,” katanya.
Beliau berkata ini kerana ada sebahagian daripada apa yang mereka janjikan dalam pilihan raya lepas tidak tertunai kerana ia mempunyai implikasi yang besar daripada segi kewangan. – BERNAMA

Melayu Perlu Sedar Agenda Pakatan Pembangkang

UMNO Selangor  meminta semua orang Melayu dan umat Islam  supaya sedar akan matlamat sebenar pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menghapuskan hak orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, kesedaran di kalangan golongan itu amat penting bagi memastikan hak orang Melayu serta bumiputera lain termasuk Islam, terus dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Katanya, kewujudan ‘perlembagaan baru’ yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menunjukkan bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak berhasrat untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan menegakkan Islam di negara ini.
“Orang Melayu tidak seharusnya lupa bahawa mereka telah dijajah dan dinafikan hak selama 446 tahun bermula sejak zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511.
“Kini adakah orang Melayu sudah puas dengan kemerdekaan yang dinikmati sejak 1957 sehingga mahu bersekongkol dan membiarkan pihak lain mewujudkan ‘perlembagaan baru’ yang jelas mengenepi hak bumiputera dan kedudukan Islam?
“Perlembagaan baru ini sebenarnya membuktikan agenda serta rancangan sebenar pakatan pembangkang dalam usaha mereka menduduki tampuk pentadbiran di negeri-negeri dan juga negara ini,”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Harussani, Ahad lalu mengenai kewujudan ‘perlembagaan baru’ yang dirangka oleh pihak-pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan sekarang.
Menurut Harussani, paling mengejutkan ‘perlembagaan baru’ itu dikatakan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga kedudukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut mengesahkan wujudnya ‘perlembagaan baru’ itu dan menyatakan ia adalah perbuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meraih sokongan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang menyelar sikap sebilangan orang Melayu yang bersekongkol dengan kewujudan ‘perlembagaan’ sedemikian dan menyifatkan mereka sebagai ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’.
Ini kerana, katanya, tindakan mereka yang cuba memainkan sentimen penghapusan hak bumiputera dan kedudukan Islam itu adalah tidak bertanggungjawab seolah-olah satu pengkhianatan kepada agama dan bangsa mereka sendiri.
“Orang Melayu dijajah berpunca daripada orang Melayu sendiri sebagaimana Si Kitol dan Raja Mendeliar mengkhianati serta memecahbelahkan orang Melayu sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan penjajah.
“Namun hari ini, dua watak dalam sejarah Melayu ini seolah-olah muncul kembali apabila ada pemimpin Melayu (PKR dan Pas) bersekongkol dengan pihak lain untuk menghapuskan hak bangsa dan kedudukan Islam sendiri hanya kerana mahu berkuasa di Putrajaya,” tegasnya. UMNO Online

Niat Buruk, Rancangan Jahat Pembangkang Gagal -Dr Zambry

IPOH, 4 Ogos – Pakatan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak gagal dalam rancangan mereka untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa pembentangan usul perbekalan tambahan akan menambah jumlah defisit dalam Bajet 2010 sebanyak RM104 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata niat buruk pembangkang yang diketuai Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menghentam kerajaan BN atas alasan Perak akan berada dalam keadaan defisit yang sangat kritikal, tidak kesampaian apabila beliau membuktikan Perak akan mencapai bajet seimbang bagi tahun 2010.
“Mereka terkejut kerana perbelanjaan tambahan itu langsung tidak ‘mengusik’ rizab sebanyak RM800 juta yang dimiliki kerajaan negeri. Oleh itu rancangan mereka untuk menjatuhkan (kredibiliti kerajaan) tidak menjadi kenyataan.
“Maka mereka (pembangkang) terpaksa mengalih perhatian dengan menjadikan sidang DUN semalam sebagai pentas ceramah politik,” katanya kepada pemberita selepasmempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Speaker Datuk R.Ganesan yang mengarah keluar dan menggantung Mohammad Nizar daripada menghadiri sidang DUN semalam kerana mencetuskan kekecohan dan berkelakuan haru-biru.
Zambry berkata sangkaan pembangkang bahawa kerajaan negeri akan menyebabkan Perak mencatatkan rekod defisit tertinggi dalam sejarah ternyata meleset setelah pembentangan sumber perbelanjaan tambahan RM80 juta bagi bajet 2010 dibuat semasa sesi soal jawab.
Katanya kesemua Adun pembangkang dilihat mempamerkan rasa terkejut apabila diberitahu sumber perbelanjaan itu adalah daripada lebihan perolehan hasil sebanyak RM117 juta yang berjaya dikutip kerajaan negeri sehingga 31 Julai lepas.
Beliau meminta wakil rakyat pembangkang supaya tidak sewenang-wenangnya melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri tanpa disokong fakta yang benar.
“Kita tidak berbohong apabila kita bentangkan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan pendapatan sebanyak RM117 juta. Angka ini direkodkan dan ia melibatkan wang rakyat,” katanya.
Zambry berkata selain mengamalkan pengurusan kewangan yang cekap, lebihan pendapatan itu adalah pendapatan luar jangka yang diterima kerajaan negeri hasil bayaran premium tanah oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat.
Ketika membentangkan usul perbekalan tambahan 2010 di sidang DUN semalam, Menteri Besar berkata RM30 juta daripada RM80 juta perbelanjaan tambahan yang dipohon akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat manakala RM50 juta lagi bagi pelaburan menambah hasil negeri.
Perolehan tambahan yang berjaya dikutip itu juga akan digunakan kerajaan negeri untuk menghapuskan RM23.8 juta defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2010. -Bernama

Pembangkang Buat Perangai Lagi Di DUN Perak, Nizar Digantung

IPOH, 3 Ogos – Pakatan pembangkang di Perak ternyata masih terus-terusan cuba menimbulkan kekecohan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang bermula hari ini.
Sekali lagi, mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin melakukan provokasi dan bersikap biadap di dalam Dewan Negeri biarpun telah diberi amaran dan diarah untuk mematuhi perturan persidangan. Ekoran kedegilannya, Speaker Datuk R. Ganesan telah bertindak tegas dengan menggantung penyertaan Nizar hingga selesai sidang kerana engkar arahan Speaker.
Seperti kebiasaannya, pakatan pembangkang menggunakan ruang yang diperuntukkan kepada wakil rakyat sebagai ruang politik melampiaskan pelbagai fitnah dan provokasi.
Sejak dari awal persidangan lagi, pakatan pembangkang telah mula mecetuskan beberapa provokasi dalam Dewan dengan melakukan gangguan dan cuba mencelah terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika membentangkan Rang Undang-undang Pembekalan Tambahan.
Masa untuk membahaskan Rang Undang-undang tersebut yang diberi peruntukkan selama 15 minit kepada wakil rakyat juga gagal dimanfaatkan oleh pakatan pembangkang termasuk Nizar sendiri.
Sebaliknya, masa tersebut hanya dimanfaatkan oleh Nizar untuk bercakap tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan perkara dibahas iaitu melakukan serangan politik kepada kerajaan dan menyuarakan hal-hal berkaitan kepentingan parti mereka.
Biarpun Speaker telah menasihati dan kemudiannya terpaksa memberi arahan, Nizar ingkar malah masa tambahan yang diberikan kepadanya berlarutan hingga ke 30 minit Nizar bukan sahaja tidak mengendahkan arahan Speaker malah turut bersikap biadap dengan hanya memanggil ‘Ganesan’ kepada Speaker.
Turut sama melakukan provokasi ialah ADUN DAP Pantai Remis, Nga Kor Ming yang seakan menjadi batu api kepada Nizar.
Ekoran insiden itu, Ganesan mengambil tindakan tegas dengan menggantung penglibatan Nizar hingga tamat persidangan. Sebagai membantah keputusan tersebut, semua Adunpembangkang bertindak keluar dari Dewan persidangan. – MediaUMNO
Baca juga ...sini