SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Berpegang Kepada Kontrak Sosial, Fahami Perlembagaan – Majlis Raja-Raja

Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.
“Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.
“Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Okt lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.
Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.
Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha Kerajaan Persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.
Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.
“Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.
“Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.
“Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.
“Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah. Umno Online. 

Pas Dicabar Perjelas Sumbangan RM4 Bilion Yang Masih Jadi Tanda Tanya

GUA MUSANG, 30 Sep - Pas hari ini dicabar untuk segera memberi penjelasan kepada pengundi di Galas berkenaan sumbangan RM4 bilion daripada seorang ahli perniagaan, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Pas negeri yang sehingga kini terus menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak mengenai tujuan utama pemberiannya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata daripada Pas sibuk membuat pelbagai tuduhan terhadap pembangunan yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah lebih baik Pas mencermin diri mereka terlebih dahulu dengan menjawab persoalan tersebut.
Ini kerana tegas beliau wang tersebut diberikan selepas Abdul Rahim yang juga Pengerusi Eksekutif I’DA World Group Sdn. Bhd. (I’DA World) mendakwa syarikatnya telah diberikan kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) bernilai RM1 trilion yang akan dimulakan di Tumpat pada 15 November ini.
“Apabila diberitahu tentang perkara itu beberapa bulan lalu saya terkejut. Apakah itu satu timbal balas ke atas kelulusan-kelulusan yang diberi.
“Adakah itu cara pentadbiran Pas yang sentiasa mendapat timbal balas terhadap syarikat-syarikat yang cuba membangunkan kawasan di sini seperti sebuah syarikat nak taja Nik Aziz sekeluarga ke Mekah”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Perkara ini kata beliau lagi tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan ketelusan kerajaan negeri apatah lagi mendakwa pentadbiran mereka cukup bersih.
“Pas sibuk jaga tepi kain orang tapi kain sendiri tak sedar koyak rabak. Jadi kita tunggu apa jawapan mereka berkenaan perkara ini.
“Rakyat Kelantan termasuk di Galas ini tertanya-tanya tentang kedudukan kes tersebut yang sampai sekarang masih lagi kabur,” tegasnya.
Pada majlis pelancaran projek tersebut di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu baru-baru ini, Abdul Rahim membuat kejutan apabila mengumumkan sumbangan peribadi bernilai RM4 bilion kepada kerajaan negeri.
Replika cek terbabit disampaikan kepada seorang individu dikenali sebagai Nik Din yang mendakwa dirinya adik kepada Nik Abdul Aziz.
Selain menerima replika cek berkenaan, Nik Din turut mewakili kerajaan negeri menandatangani papan simbolik pelancaran projek berkenaan yang tertera nama Nik Abdul Aziz.
Pengerusi I’DA World mendakwa kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) bernilai RM1 trilion tersebut telah diberikan oleh Nik Abdul Aziz kepadanya melalui sepucuk surat rasmi pada petang sebelum pelancarannya.
Laman web I’DA World juga iaitu idaworldgroup.com.my telah memaparkan kepala surat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bertarikh 19 September yang memberikan persetujuan terhadap projek S7.
Surat tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mustafa Salleh. Umno Online

Suburnya budaya Taqlid buta dalam PAS

Bermula dari tahun 1951 sehinggalah sekarang, antara taktik dan teknik PAS untuk menguasai dan meluaskan pengaruhnya adalah dengan menggunakan isu-isu agama. Pada masa yang sama, PAS turut menggunakan kaedah pendewaan terhadap para pemimpin mereka, terutama yang dianggap berjenama seperti Burhanuddin Helmi, Dr.Zulkifli Ahmad, Amaluddin Darus dan kini Nik Abdul Aziz. Pendewaan adalah perlu bagi memastikan kewujudan perasaan taksub dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap PAS.
Dalam apa juga majlis ilmu, terlalu jarang ada penceramah dari kalangan pemimpin PAS yang mengingatkan tentang bahayanya budaya taqlid dan taksub. Sebaliknya mereka yang banyak menyuburkan budaya tersebut sebagai jaminan penguasaan PAS di kalangan orang awam.
Agak malang kerana meskipun generasi muda lebih terdidik dengan pelajaran agama, bahkan terdedah dengan pelbagai maklumat, mereka tidak mengendahkan langsung tentang bahaya taqlid buta. Bahkan sebahagian besar daripada mereka membuta tuli mempercayai golongan yang mereka gelarkan sebagai ulama. Jikalau anda rajin masuk ke Facebook, Twitter dan blog, anda akan dapat melihat sendiri bagaimana suburnya budaya taqlid buta di kalangan generasi muda yang menyokong PAS.
Dalam hal ini sebenarnya Allah Taala telah pun memperingatkan umat manusia agar tidak bertaqlid buta seperti dalam salah satu firman-Nya yang bermaksud:
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.” (maksud ayat 36 Surah Al-Israa’)
Antara contoh paling jelas tentang taqlid buta ialah sokongan terhadap Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak yang merupakan boneka Ngah-Ngeh bersepupu. Jumlah umat Islam yang bertaqlid buta dan beranggapan bahawa jawatan Menteri Besar sebagai satu jawatan dalam agama, dan sistem demokrasi rom sebagai salah satu daripada sistem Islam, benar-benar mengecewakan. Lebih malang lagi apabila ada dari kalangan mereka yang datang dari sekolah-sekolah pondok di seluruh Perak.
Dek kerana bertaqlid buta, kebanyakan daripada mereka gagal memahami sistem pentadbiran dan pemerintahan dalam Islam. Malah lebih daripada itu, mereka gagal melihat bahawa pemerintah sebenar yang berkuasa di Perak adalah KDYMM Seri Paduka Sultan Perak. Perlantikan Menteri Besar dan barisan Exco negeri adalah terletak di bawah budi bicara baginda. Kelompok pentaqlid buta ini juga gagal melihat peristiwa sebelum itu iaitu bagaimana baginda menggunakan kuasanya untuk menolak kehendak Ngeh Kor Ham agar Menteri Besar Perak dilantik dari kalangan orang Cina memandangkan di dalam Pakatan Rakyat, DAP adalah pemegang konsensi terbesar meskipun secara keseluruhan, UMNO sebenarnya yang lebih layak.
Gerakan untuk membuatkan rakyat, terutama orang Melayu bertaqlid kepada para pemimpin PAS berterusan dan berlaku di mana-mana. Mereka tidak sekadar menyerang kampung-kampung Melayu tradisional dengan masjid, surau dan madrasah sebagai sasaran, sebaliknya turut menyerang institusi pengajian sekular, terutama dari kalangan pelajar-pelajar yang dianggap aset PAS pada masa hadapan.
UMNO sebenarnya sudah terlalu lama leka dan tidak menghiraukan apa yang dilakukan oleh PAS dalam menyesatkan umat. Menyuburkan budaya taqlid merupakan acara penyesatan yang sangat merbahaya dan seharusnya dikekang dari awal lagi. Malangnya UMNO selaku penguasa, langsung tidak menghiraukan ancaman yang sebenarnya jauh lebih merbahaya berbanding ancaman subversif pengganas KOMUNIS.
Hari ini, sebarang kecaman terhadap kesalahan laku yang dibuat oleh para pemimpin PAS akan dibela habis-habisan oleh para penyokong mereka yang mengamalkan taqlid buta. Biarpun Nik Abdul Aziz dalam banyak keadaan, melakukan kesalahan dan jenayah agama, namun sebarang kecaman terhadapnya, seolah-olah melantun semula.
Yang aku takuti terhadap umatku adalah pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Yang aku takuti terhadap umatku ada tiga perbuatan, iaitu kesalahan seorang ulama, hukum yang zalim dan hawa nafsu yang diperturutkan.” (Hadis riwayat Assyihaab)
Celaka atas umatku daripada ulama yang buruk.” (Hadis riwayat al Hakim)
Orang yang paling pedih seksannya pad ahari kiamat ialah seorang alim yang Allah menjadikan ilmunya tidak bermanfaat.” (Hadis riwayat al Baihaqi)
Apabila kamu melihat seorang ulama bergaul erat dengan penguasa, maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang PENCURI.” (Hadis riwayat Ad-Dailami)
Itu adalah sebahagian daripada maksud hadis-hadis peringatan daripada Rasulullah s.a.w kepada umatnya tentang taqlid buta terhadap golongan yang bergelar ulama. Maka seharusnya setiap individu yang bergelar Muslim perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu agama selayaknya bagi mengelakkan daripada berlaku taqlid buta terhadap mana-mana orang yang mengaku mereka adalah ulama.
Dan kalaulah itu yang berlaku, PAS akan hilang punca. Selama ini, mereka sangat bergantung kepada kejahilan, kebodohan dan ketololan umat Islam untuk parti mereka terus hidup. Seandainya umat Islam tahu dan sedar tentang bahaya taqlid kepada akidah dan iman, kemudian berusaha mendalami ajaran Islam serentak dengan peningkatan kualiti amalan masing-masing, PAS tidak akan wujud lagi di muka bumi ini!
Penulis: Rosli Mohd Sah untuk Perak Today

Pas Tidak Amal Akhlak Islam, Lempar Fitnah!

GUA MUSANG 29 Okt. – Tindakan Pas yang sengaja melemparkan fitnah terhadap UMNO dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, jelas membuktikan parti itu gagal mengamalkan akhlak Islam.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussein berkata, malah tidak keterlaluan sekiranya Pas dianggap sebagai parti yang sarat dengan emosi hingga ke peringkat sanggup mengetepikan ajaran Islam asalkan cita-cita politik mereka tercapai.
Bagi beliau, Pas kini lebih mementingkan untung rugi politik daripada segala-galanya walaupun mereka sedar sesetengah perbuatan itu bertentangan dengan Islam.
“Mereka menuduh UMNO tidak mengamalkan Islam. Mereka tuduh UMNO tidak bela Islam. Mereka menuduh UMNO tidak memperjuangkan Islam meskipun mereka sedar langkah kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan rakyat ini adalah kehendak Islam.
“Saya yakin mereka faham dan mereka tahu. Namun disebabkan untung rugi politik mereka sanggup mengetepikan semua ini. Atas sebab itu mereka sanggup melakukan fitnah dan dakwaan tidak berasas demi meraih sokongan rakyat,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Pas yang disiarkan di dalam risalah kempen parti itu bagi bilangan keempat yang diedarkan kepada orang ramai, semalam.
Antaranya di bawah tajuk Kenapa jangan sokong UMNO, Pas menuduh UMNO menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan parti berkenaan.
Pas turut menuduh UMNO tidak membela agama kerana gagal menangani masalah murtad serta peranan ulamanya yang hanya ditugaskan untuk melawan Pas.
Menurut risalah itu, ulama di dalam UMNO juga ditugaskan membaca doa, tahlil dan marhaban.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Yusof berkata, sekiranya benar UMNO tidak mahu menjalankan kerja-kerja agama sudah tentu Islam tidak berkembang seperti sekarang.
Justeru beliau berkata, Pas tidak sewajarnya menuduh UMNO gagal memartabatkan Islam kerana jelas ia merupakan dakwaan tidak berasas.
Beliau yang juga Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan dalam pada itu turut menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan ucapan pemimpin-pemimpin Pas.
“UMNO sepanjang pemerhatian saya telah berusaha sedaya upaya untuk membawa kemajuan kepada negara ini sama ada dalam bentuk duniawi mahupun ukhrawi iaitu dengan berbelanja berbilion ringgit bagi membangunkan Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Seorang lagi tokoh agama, Syed Ibrahim Syed Ahmad turut senada dengan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.
Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Pahang itu berkata, fitnah yang dilakukan oleh Pas itu disebabkan oleh emosi serta kegagalan mereka menghayati akhlak yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
“Ini yang mengecewakan saya kerana apa yang dilakukan oleh Pas ini memberi gambaran yang buruk kepada orang lain sedangkan Rasulullah tidak pernah sesekali mengajar umatnya melakukan kerja-kerja seperti ini.
“Sepatutnya sebagai seorang Islam kita menunjukkan akhlak yang baik serta tingkah laku yang benar-benar mencerminkan kita merupakan umat Islam yang akhirnya boleh dijadikan contoh dan ikutan kepada pihak lain,” katanya. Umno Online.

Pas Terdesak, Bakar Bendera BN, Kain Rentang Dirosakkan

GUA MUSANG, 28 Okt – Mungkin mula berasa terdesak, kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang selama dua hari ini berlangsung dalam keadaan tenang mula dicemari perbuatan khianat apabila berlaku kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Kampung Lembaga di sini, hari ini.
Setelah dua hari kempen bermula ternyata bahang kempen mula terasa dengan aktiviti ceramah dan menaikkan bendera serta poster calon bertanding.
Sehingga semalam ternyata jentera BN mendominasi pemasangan bendera dan poster calon di merata tempat berbanding Pas yang dilihat lebih tertumpu kepada ceramah-ceramah umum.
Malangnya suasana tenang selama dua hari mula dicemari perbuatan khianat pihak tertentu apabila terdapat beberapa bendera BN dan UMNO yang digantung di Kampung Lembaga, dibakar pada awal pagi oleh individu dipercayai daripada parti pembangkang.
Selain itu, terdapat kain rentang BN di Kampung Baru di sini yang disimbah bahan peluntur untuk melunturkan gambar pada kain rentang itu yang memaparkan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa pemimpin BN lain.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap kejadian membakar bendera UMNO dan BN itu ditangani dengan baik.
“Dalam pilihan raya kadang-kadang ada satu dua insiden yang tak dapat dielakkan. Saya harap selesaikan masalah yang timbul ini dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Gua Musang di sini, hari ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Tegas beliau pihaknya kesal dengan sikap jentera kempen Pas yang datang dari luar dengan mengambil tindakan terdesak dan agresif terhadap BN sedangkan jentera BN bersikap profesional dan beretika semasa berkempen.
“Saya melihat jentera tempatan dan penyokong tempatan tak ada masalah. Mereka tak ada yang ketara sangat antara UMNO dan Pas di Gua Musang ini.
“Di sesetengah tempat mungkin ada ketegangan… pulau memulau, tapi di sini tak ada masalah, kita salam bersalaman, sembang malah boleh minum sekali”, katanya.
Justeru beliau percaya perbuatan khianat tersebut bukan dilakukan jentera Pas tempatan tetapi jentera Pas dari luar.
“ Mungkin mereka sendiri tak tahu sensitiviti dan tatasusila politik tempatan. Mereka terbawa-bawa dengan cara agresif di tempat lain,” ujarnya. - UMNO-Online


Usah Layan Pas, Ku Li Nafi Dakwaan Boikot Calon BN

Pengarah jentera pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata tiada gunanya mendengar dan melayan pelbagai dakwaan Pas yang hanya bertujuan memburukkan Barisan Nasional (BN).
Sambil menafikan dakwaan kononnya tidak senang dengan calon BN, beliau menjelaskan ketidakhadirannya untuk bersama calon ke tempat penamaan calon kerana mahu bersama penyokong BN yang mengiringi calon BN.
“Kenapa kita nak dengar sangat kritikan Pas. Lagi pun saya bukanlah budak kecil yang masih mentah…kalau nak saya merajuk kerana perkara seumpama ini.
“Saya tak pergi ke dewan kerana yang pertamanya kita semua tak berhak bersama calon, hanya pencadang dan penyokong dibenar mengiringi calon ke tempat penamaan calon tapi orang lain, orang kenamaan diizinkan untuk berada di situ.
“Saya dulu pun masa jadi calon saya tak masuk dewan saya suruh pencadang dan penyokong saya bawa borang pencalonan. Saya sengaja untuk bersama pekerja kita, penyokong kita yang ramai datang..jadi kalau kita tinggal mereka tak elok juga…jadi saya rasa bila dah ramai dah ikut calon kita jadi lebih baik saya bersama penyokong-penyokong kita…itu saja.. tiada perkara yang luar biasa”, katanya.
Jelas beliau lagi pemilihan calon BN iaitu Abdul Aziz Yusof dibuat secara pilihan ramai oleh jawatankuasa bahagian dalam satu mesyuarat.
“Calon kita sebenarnya dipilih oleh jawatankuasa UMNO bahagian. Abdul Aziz selain menjadi ahli jawatankuasa bahagian juga setiausaha bahagian yang bekerja dengan penuh dedikasi dan dalam pengundian untuk melihat siapa yang disokong untu menjadi calon BN, dia mendapat suara yang terbanyak.
“….dan itulah yang dikemukakan kepada Datuk Seri Najib untuk buat pemilihan…saya yang telah kemukakan walaupun Najib kata saya yang tentukan tapi saya ikut perlembagaan UMNO. Selepas kita buat mesyuarat dengan bahagian saya bawa perkara ini kepada presiden dan timbalan presiden parti…apa pula saya merajuk”, ujarnya.
Mengenai tindakan Pas memperlekehkan latar belakang pendidikan calon BN pula, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi bahan cemuhan.
“Siapa yang ada pendidikan tinggi … ramai juga di kalangan kita yang berkhidmat sekarang sama di belah Pas mahu pun UMNO ataupun parti-parti lain tak mempunyai kelulusan tinggi dalam pendidikan.
“Saya pun tak berkelulusan tinggi tapi ia bersandar kepada keikhlasan seseorang itu , intergriti seseorang yang nak jadi pemimpin dan saya nampak calon BN seseorang yang mempunyai perwatakan yang baik, ianya orang yang bersih dan seorang yang telah pun diuji sebelum menjadi pemimpin dan sememangnya prihatin terhadap masalah rakyat setempat. Saya percaya dia boleh menunaikan tanggungjawabnya dengan baik dan berkesan untuk rakyat dan untuk parti”, ujarnya.
Pada masa yang sama beliau turut percaya BN mempunyai peluang yang cukup cerah untuk merampas kembali kerusi DUN Galas dari tangan Pas.
“Peluang BN baik sebab itu tidak ada krisis di antara jentera atau pemimpin di peringkat bahagian walaupun ada macam-macam cerita tapi segalanya berjalan dengan baik…jentera di peti undi nampaknya senamangatnya tinggi dan bersepadu”, katanya. -MediaUMNO

'PKR di ambang kehancuran'- Zulkifli Noordin

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya memberi peluang kepada parti pembangkang lain seperti Parti Maju Sabah (SAPP) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, 4 November ini, bukannya berlawan sesama mereka.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, PKR bukan sahaja menghadapi masalah dalaman yang serius di Sabah malah parti itu kini sedang berada di ambang kehancuran.
"Saya rasa parti pembangkang yang patut bertanding di Batu Sapi adalah SAPP kerana ia parti tempatan dan lebih mengetahui masalah penduduk di situ berbanding PKR.
"Tambahan pula di Sabah, PKR menghadapi masalah dalaman yang serius dan kita dapat lihat semalam, apabila hampir setengah ahli PKR keluar daripada dewan kerana tidak setuju dengan calon yang diumumkan.
"PKR merupakan parti yang hendak mati, yang hendak hancur. Jadi berilah peluang kepada parti lain untuk bertanding,"
Beliau mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi yang akan melibatkan pertembungan dua parti pembangkang iaitu PKR dan SAPP menentang Barisan Nasional (BN).
Pilihan raya kecil itu diadakan 4 November ini ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Ir. Edmund Chong Ket Wah, 54, baru-baru ini.
Secara menyindir Zulkifli berkata, beliau secara peribadinya berpendapat Pas juga perlu bertanding di Batu Sapi.
"Saya teringat kata-kata bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Allahyarham Mansor Din bahawa Pas menyertai pilihan raya bukan untuk menang tetapi kerana mahu berdakwah, kalau menang itu bonus," katanya. - Utusan.

Hanya UMNO Tempat Bergantung, Melayu Tak Punya Pilihan – Dr Mahathir

Orang Melayu tidak mempunyai pilihan dan hanya UMNO sahaja tempat bergantung harap untuk memperjuangkan nasib bangsa, mereka yang mengelar diri sebagai pembela hanya menggunakan untuk mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kelemahan orang Melayu bukanlah kerana diserang oleh bangsa lain tetapi disebabkan orang Melayu sudah tidak lagi faham bahawa kekuatan sesuatu bangsa datangnya dari perpaduan,
“Perjuangan Melayu sekarang adalah perjuangan untuk nikmat persendirian bukan lagi untuk bangsa. itulah perjuangan mereka sekarang, bukan lagi perjuangan orang Melayu, tidak dapat satu saluran, mereka cari saluran lain.
“Sebab itu kita dapati ada yang meninggal UMNO untuk menubuh parti lain atau menyokong parti lain , ada kecewa tak dapat tempat dan cari tempat lain dengan menarik sebahagian ahli UMNO dan kita dapati perpecahan terus terjadi,”
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta merujuk kepada perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu yang bermula sejak penubuhan Pas, Semangat 46 dan kini perkara yang dilakukan oleh Keadilan.
Menurutnya, aliran perpecahan itu semakin kuat berbanding dengan usaha untuk mengembalikan perpaduan Melayu, ini disebabkan sikap segelintir pemimpin politik yang lebih menjurus kepada agenda peribadi masing-masing.
“Konflik perpecahan ini jika tidak ditangani akan menjadi negara tidak stabil, kemungkinan kepimpinan Melayu akan berkurangan dan kedudukan mereka akan terhakis, kita perhati dari zaman dahulu hingga kini, hakisan itu berlaku.
“Kita sudah kehilangan (kesuntukan) masa, sebab orang Melayu tidak faham betul-betul akan nasib masa depan mereka,” katanya.
Menurutnya, ketiadaan perpaduan serta kelemahan yang berlaku di kalangan orang Melayu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan sehingga mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila lemah, semua orang bertubi-tubi hendak ambil apa yang boleh, dia nampak kerajaan lemah dia tuntut bukan-bukan, mana ada tuntutan macam ini selama 40 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, untuk memastikan bangsa Melayu tidak terus terpinggir, perpaduan di kalangan orang Melayu perlu dikembalikan.- MediaUMNO.

Pembangkang Caca-Marba, PenglipurLara Dongengkan Cerita – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengibaratkan parti-parti pembangkang sebagai caca-marba dan mudah melupakan matlamat asal parti masing-masing semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara.
Timbalan Presiden UMNO menegaskan, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.
‘‘Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipurlara yang mendongengkan cerita.
‘‘Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,’’ tegasnya.
‘‘Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,’’ tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC di sini malam ini.
Turut hadir pemimpin tiga sayap iaitu Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Muhyiddin berkata, ada kalangan parti politik pembangkang yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka.
Mereka katanya, berbuat demikian kerana takut kehilangan sokongan rakan dan penyokong yang baru.
‘‘Malah mereka sanggup berdolak-dalik. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain.
‘‘Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja.
‘‘Malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan. Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat,’’ tegasnya.
Menurut beliau lagi, parti politik ini juga berlumba-lumba membongkar korpus-korpus perbendaharaan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy- persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar.
Mereka kata Muhyiddin, menggunakan kaedah sirr iaitu merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan serta prinsip maslahah siasah iaitu melakukan sesuatu demi kepentingan politik.
‘‘Ada pula yang sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah, berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai.
‘‘Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam,’’ tegasnya.
Muhyiddin turut melontarkan beberapa pertanyaan antaranya apakah tindakan yang dilakukan oleh parti politik itu akan menyebabkan rakan-rakan baru mereka mengubah prinsip dan mula menyokong matlamat parti mereka dan adakah mereka benar-benar ikhlas untuk bersahabat.
‘‘Jawapannya kita semua tahu, tidak sama sekali. Jauh panggang dari api.
‘‘Rakan-rakan baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dukung dahulu, masih tegar menolak syariat Islam, masih kuat memusuhi negara Islam, masih alergik dengan perkataan dakwah Islam, masih tebal faham sekularisme, masih sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat.
‘‘Tetapi mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini? Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya,’’ tegas beliau lagi.
Permainan politik ini kata Timbalan Perdana Menteri, tidak akan membawa apa-apa keuntungan.
Katanya, kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain.
Lama kelamaan kata beliau, penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dukung, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka.
‘‘Parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna. Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa, ‘’ kata beliau.
Bagaimanapun kata Timbalan Presiden UMNO, UMNO tidak sedemikian dan sentiasa istiqamah dengan sumpah perjuangan.
UMNO tegas beliau, tidak pernah tergelincir daripada landasannya.
Beliau menegaskan sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu yang ada pada UMNO menjadikan ia parti yang tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain. Umno Online

Lagi laporan polis terhadap Anwar

SHAH ALAM 13 Okt. - Seorang lagi bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis hari ini, atas dakwaan beliau telah dipaksa menandatangani satu akuan bersumpah pada Jun 2008.
Mohd. Rasid Mohd. Rosdi, 31 (Gambar), membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada pukul 12.30 tengah hari dan dipercayai ada kaitan dengan kes liwat membabitkan Anwar dengan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Dia turut membuat akuan bersumpah untuk menarik balik akuan terdahulu yang menceritakan hubungannya dengan Anwar dan bagaimana ia disediakan oleh peguam Anwar.
Sebelum ini, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman, 25, membuat laporan polis berhubung dua akuan bersumpah yang dibuatnya berkaitan kes itu dan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohd. Rasid dalam akuan bersumpah itu yang diedarkan kepada media mendakwa mengenali Anwar ketika menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh pada 2001 selama setahun atas kesalahan cubaan samun bersenjata di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Semasa di dalam penjara, dia mendakwa, telah diberikan kerja untuk menjaga kebersihan bilik Anwar, menghantar pakaian ke dobi dan mengambil makanannya dari dapur.
Dakwanya, dia juga menemankan Anwar untuk membuat senaman ringan di sebelah petang dan menyediakan air panas ketika pintu sel hendak dikunci.
''Selepas keluar dari penjara, atas cadangan Anwar saya diberikan kerja sebagai penghantar surat di pejabat peguam beliau, Sankara Nair selama setahun. Selepas Anwar dibebaskan pada 2004, saya dipanggil untuk bekerja dengan beliau sendiri sebagai pembantu di kediamannya di Bukit Damansara.
''Selepas bekerja lebih kurang tiga tahun di kediamannya, saya berhenti seketika dan kemudiannya menyambung kembali tugasan di pejabat peribadi Anwar di Petaling Jaya selepas Pilihan Raya Umum 2008,'' dakwanya dalam akuan bersumpah itu. – UtusanBaca seterusnya

Tak Habis-Habis Anwar Jual Temberang Di Luar Negara!

JAKARTA 12 Okt. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjungi Indonesia hari ini mendakwa pertikaian dan masalah Malaysia-Indonesia boleh diselesaikan segera jika beliau menjadi Perdana Menteri.
Dakwanya, beliau hanya memerlukan beberapa minggu sahaja untuk mencari jalan penyelesaian terhadap segala kemelut yang berlaku melibatkan kedua-dua negara.
Dalam wawancara dengan stesen televisyen TVOne, Anwar berkata, tujuannya ke Indonesia adalah bagi menyatakan tidak ada sentimen memusuhi dan menghina negara itu, melainkan kalangan mereka yang jahil, dangkal atau sombong.
Anwar juga dengan angkuh mendakwa beliau lebih memahami sistem pemerintah di Indonesia kerana mendukung demokrasi, berbanding pihak pemerintah Malaysia.
Selain itu, Anwar yang dilihat berang dengan tindakan media Malaysia mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam PKR mengambil kesempatan ketika wawancara tersebut untuk melabelkan media di Malaysia sebagai menjijikkan kerana menjadi alat propaganda kepada kerajaan.
Difahamkan, Anwar berada di Indonesia sejak semalam, bagaimanapun tidak diketahui apa tujuan kunjungan berkenaan yang merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
Sementara itu, Anwar pada sidang akhbarnya selepas pertemuan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Indonesia, Priyo Budi Santosa, berang apabila ditanya mengapa beliau tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat di Malaysia, sebaliknya sibuk mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Indonesia.
Tanpa menjawab pertanyaan itu beliau terus menyerang wartawan Utusan Malaysia sebagai berniat jahat.
“Akhbar ini milik UMNO kerja mereka hanya serang saya dan tidak pernah beri ruang bebas, kehadiran saya di sini juga tidak disenangi dan diserang sebagai tidak setia kepada negara,” katanya.
Anwar juga menuduh Utusan Malaysia tidak pernah melaporkan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang tidak hadir pada sidang yang sama kerana akhbar berkenaan dikawal oleh UMNO.
Sedangkan kata Anwar, semalam beliau hadir di Dewan Rakyat dan bertanyakan soalan kedua sebelum bertolak ke Indonesia pada sebelah petangnya.
“Kepada Utusan Malaysia saya ingin nasihat, Indonesia itu tidak semuanya tenaga kerja (TKI), tidak semua kongsi, tidak semua reformasi huru-hara, akhbar di sini beri liputan lebih adil, reformasi sangat bererti untuk mematangkan demokrasi, pertumbuhan ekonomi Indonesia jauh lebih baik daripada Malaysia dan pelaburan Indonesia juga jauh lebih baik,” kata Anwar yang sering menggambarkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja. – utusan

Penjelasan Penuh Rahimi Dipaksa Anwar Berbohong

Selepas membuat laporan polis Rabu lalu berkaitan dakwaan dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada 2008 termasuk membabitkan kes liwat Anwar Ibrahim, bekas setiausaha sulit Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut, Muhamad Rahimi Osman telah tampil menjelaskan mengenai tindakannya itu.
Satu lagi akuan bersumpah yang didakwanya telah dipaksa ditandatangani adalah melibatkan kes fitnah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Berikut adalah teks penuh penjelasan beliau yang dihantar menerusi e-mel kepada media di sini:
1. Mengapa perlu ada gangguan ketika saya hendak bercakap di sidang media? Kenapa ada pihak yang takut dengan apa yang saya nak cakap? Mereka boleh buat sidang akhbar, tiada siapa yang nak ganggu. Kalau saya diberi peluang pun saya tak akan ganggu, itu hak mereka untuk mengatakan apa yang mereka mahu. Tapi bila saya nak buat sidang akhbar, saya telah diganggu? Mana kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh PKR selama ini? Walau bagaimanapun, saya tidak ingin menuduh mana-mana pihak sebagai dalang insiden buruk yang berlaku kelmarin.
2. Saya juga amat gembira dan berbangga, masih ada lagi pemimpin PKR seperti Datuk Zaid Ibrahim yang benar-benar mendokong perjuangan parti. Zaid bersikap lebih terbuka dan menghormati undang-undang dan hak saya sebagai rakyat Malaysia. Sikap inilah yang harus dipegang oleh pemimpin PKR dan juga ahli jika mahu PKR maju ke hadapan dan digeruni. Bukannya tak habis-habis menuduh orang yang tidak bersetuju dengan mereka, dibayar dan dibeli. Setiap manusia mempunyai maruah diri, bukan mudah semua orang nak dibayar dan dibeli. Anwar bukan maksum, begitu juga dengan pemimpin yang lain. Maka, sesiapa sahaja berhak untuk mengkritik atau menegakkan kebenaran. Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat atau dendam kepada PKR dan ahli-ahlinya. Dan saya masih lagi memegang kuat dan menghormati perjuangan parti.
3. Saya juga berpendapat, jika benar dakwaan mereka bahawa orang yang membuat kacau sewaktu sidang media itu bukan dihantar oleh mereka, maka PKR sebagai sebuah parti yang mendokong kebenaran, hak asasi, kebebasan bersuara dan keadilan harus mengambil tindakan kepada ahli-ahli parti yang bertindak seperti itu. Ini memandangkan ada pihak yang melaporkan salah seorang dari mereka yang membuat kacau adalah calon Naib Presiden PKR.
4. Saya tidak boleh mendedahkan kandungan SD (akuan bersumpah) terbaru yang saya buat, saya tidak mahu menganggu perjalanan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah. Cuma yang saya nak tekankan di sini, saya langsung tidak mempunyai hak untuk mengatakan sama ada Anwar bersalah atau Saiful membuat tuduhan palsu. Bagi saya, sehingga keputusan mahkamah dibuat, masih tiada pihak yang boleh dituduh bersalah.
5. Saya tidak berminat untuk sebarang permainan atau percaturan politik mana-mana pihak. Saya cuma membuat laporan ini bagi membetulkan kesilapan yang pernah berlaku dahulu. Saya juga risau jika akuan bersumpah yang saya buat sebelum ini akan digunakan untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri. Baik atau buruk Perdana Menteri, kita tidak boleh menuduh apa yang dia tidak lakukan. Kita tidak boleh menuduh seorang yang baik seperti imam contohnya, melakukan sesuatu yang tidak dilakukan, begitu juga kalau seorang pencuri, walaupun dia pencuri, tetapi dia tidak merogol, maka kita tidak boleh menuduh dia merogol.
6. Saya mengaku bahawa saya mengambil masa yang lama untuk membuat laporan. Ini kerana pertamanya, saya menunggu keputusan kes rayuan Anwar bagi menggugurkan kes beliau yang mana keputusannya baru sahaja dapat baru-baru ini. Keduanya, saya mengambil masa yang lama untuk memikirkan perkara ini memandangkan keadaan huru-hara dan ancaman yang akan saya terima daripada pelbagai pihak. Ketiganya, apabila saya diberitahu oleh Latheefa Koya (peguam) pada beberapa bulan lalu bahawa SD sebelum ini telah hilang dan dia meminta saya untuk menandatangani SD yang baru, saya mengambil peluang ini untuk tidak mengulangi perkara dahulu.
7. Saya juga menghormati hak mana-mana pihak yang ingin mengemukakan saman kepada saya. Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, maka setiap rakyat mempunyai hak itu. Saya bersedia untuk memberi kerjasama dan bercakap benar.
8. Saya harap, apa yang saya lakukan boleh memberikan keadilan kepada semua pihak. Dan saya tidak mahu isu ini terus menjadi alat politik mana-mana pihak. Umno online

Tun Dr Mahathir Sihat dan Selamat Kembali ke Tanah Air

Syukur Alhamdulillah !! Tun Dr. Mahathir sihat dan telah selamat kembali ke tanah air.