30.12.11

Cubaan Berunsur Hasutan Jika Pertikai Perkara 153

KUALA LUMPUR, 29 Dis. – Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun membidas mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan Perkara 153 yang termaktub Perlembagaan Persekutuan sebagai bahan perbincangan.
“Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk ‘entrenched’ yang mana ianya adalah salah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional (NECF), Reverend Dr. Eu Hong Seng ketika berucap pada majlis minum teh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dipetik sebagai berkata, Perkara 153 adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan.
“Apabila beliau memperkatakan tentang hal tersebut ia adalah satu cubaan lemah yang dibuat untuk menggoncangkan kembali kekeliruan dan persefahaman yang wujud selama ini.
“Apabila ada pihak yang memperkatakan tentang Perkara 153, maka ia adalah antara unsur hasutan yang dilakukan bagi mewujudkan ketegangan di kalangan satu-satu kaum dalam negara ini,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya lagi, Perkara153 tersebut adalah tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu hak orang Melayu sama ada berkenaan dengan permit dan juga perkhidmatan; termasuk di dalamnya biasiswa dan sebagainya, adalah hak yang telah dilindungi termaktub.
“Seperti mana yang telah ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu bahawa Perkara 153 tidak boleh diperbincangkan lagi kerana ia telah terpatri mati dan tidak boleh dipertikaikan.”
Selaras dengan itu, beliau menggesa mana-mana pihak agar tampil dan membuat laporan polis berhubung tindakan segelintir individu yang masih terus cuba menjadikan Perkara 153 sebagai bahan perbincangan berbaur hasutan.
“Maka dengan ini satu laporan polis yang mengatakan bahawasanya satu kenyataan berbentuk hasutan telah pun dilakukan iaitu di bawah Akta Hasutan 1948 dan sekiranya wujud bukti-bukti maka ia boleh dibuat pendakwaan di mahkamah.” – MediaUMNO


0 ulasan:

Post a Comment