SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Polis periksa lokasi kejadian rakaman video seks

KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang mendapat petunjuk awal apabila bilik sebuah hotel di ibu negara yang dikatakan menjadi lokasi rakaman video itu diperiksa.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ghazali Md Amin, berkata siasatan di tempat kejadian itu dijalankan bersama unit forensik PDRM selepas memperoleh maklumat. "Dua individu ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis... kita turut memperoleh beberapa bahan bukti daripada mereka. "Salah seorang daripada individu yang terbabit mendedahkan tempat di mana rakaman perlakuan seks itu berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, disoal siasat selama lima jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis sedang mengenal pasti identiti individu yang kelihatan dalam rakaman video aksi seks terbabit.
Beliau berkata, siasatan kes itu masuk hari ketiga hari ini dan pasukan khas menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana rakaman video itu boleh wujud.
"Kita sendiri hendak tahu apa yang telah berlaku dan banyak isu lagi, justeru hentikan semua spekulasi dan beri peluang kepada pasukan polis untuk jalankan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
Ismail berkata, beliau percaya maklumat dan fakta baru akan diperoleh dalam masa terdekat hasil penyiasatan yang dijalankan.
"Siasatan mungkin berkembang terus dari fakta-fakta yang kita akan jumpa nanti," katanya.
Ketika ditanya sebab trio yang mendedahkan video tersebut tidak ditahan, beliau menjawab, "Atas kesalahan apa? Kalau sampai masa sudah cukup bukti dan sudah disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak ikut undang-undang.
"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya. - BERNAMA

Pendedahan Video Perancangan Kaburi DNA

KUALA LUMPUR 22 Mac – Pendedahan rakaman video sex membabitkan pemimpin tertinggi pembangkang seperti dilaporkan media dan blog adalah suatu perancangan politik dalam usaha mengaburi orang ramai berhubung kes yang sedang dihadapi oleh Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin menyifatkan apa yang berlaku antara usaha Anwar untuk mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap beliau berhubung desakan masyarakat kepadanya supaya menyerahkan DNA untuk dianalisa bagi merungkai kemelut indentiti `Lelaki Y’.
“Apa yang berlaku semacam satu `ploy’ (perancangan), dia (Anwar) begitu cepat tindakannya menafikan rakaman itu, dia sendiri yang menyatakan individu bukan dirinya sedangkan tiada siapa yang mendedahkannya, tindakan ini suatu yang meragukan.
“Dari apa saya kenali, Anwar tak pernah buat laporan polis, tapi dalam hal ini dia sendiri yang buat laporan polis, itu sebab ada keraguan berhubung pendedahan video sex ini,” katanya ketika mengadakan sidang di lobi Parlimen.
Menurutnya, jika benar ingin membersihkan namanya, beliau tidak perlu bersusah payah, hanya perlu serahkan sampel DNA kepada pihak berkuasa dan itu lebih mudah daripada membabitkan rakaman video itu.
“Yang peliknya, dia begitu cepat nafikan pembabitkannya dengan rakaman video itu, sedangkang bila minta DNA tak mahu bagi, mengapa nak menyorok di belakang Karpal Singh. Hanya setitik darah dia mampu bersihkan namanya.
“Yang penting ialah besok, mengenai DNAnya, tetapi kita dikejutkan dengan satu lagi cerita sehinggga cerita mengenai DNA tengelam, isu yang dihadapi oleh Anwar adalah DNA,” katanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku itu mungkin turut membabitkan desakan daripada pemimpin-pemimpin Pas supaya Anwar menyerahkan DNA kepada mahkamah untuk dianalisa.
“Apa yang saya dengari, kepimpinan Pas ada mengadakan pertemuan dengan Anwar dan desak dia serahkan DNAnya, kalau tidak, Pas akan mengkaji semula hubungan mereka dalam Pakatan Rakyat.
“Ini antara sebab yang timbulnya kes video sex, ini semua hendak alihkan perhatian, dia kini berada dalam keadaan tertekan,” katanya.
Zulkifli berkata, dari apa yang berlaku itu ia bagaikan dirancang, bermula dengan pendedahan, kira-kira tiga jam kemudian Anwar buat penafian melalui sidang media dan beliau tidak membuat laporan polis.
Menurutnya, dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa beliau belum lagi melihat rakaman video berkenaan tetapi apa yang peliknya Anwar mengatakan susuk badan individu dalam video berkenaan adalah berbeza dengan dirinya.
“Turutan apa yang berlaku serta yang dinyatakan oleh Anwar ketika sidang media adalah meragukan dan seperti ada perancangan." Kata Zulkifli. -MediaUMNO.

300 ahli PKR Indera Mahkota keluar parti, sertai UMNO

KUANTAN 20 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Indera Mahkota, yang dikenali sebagai kubu kuat parti itu di Pahang, hampir lumpuh apabila 300 ahlinya mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai UMNO hari ini.
Antara yang bertindak keluar parti itu ialah pemangku ketua cabangnya, Ibrahim Sidek; Naib Ketua Wanita PKR Pahang, Izzah Mazlan; dan Setiausaha Wanita PKR, Fadizlah Abd Wahab.
Kesemua mereka kemudian menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof dalam satu majlis ”Sirih Pulang ke Gagang” di sini.
Ibrahim, yang menyertai PKR selama 11 tahun, berkata, keputusan keluar parti itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, hala tuju parti itu kini semakin tidak menentu dan mementingkan kepada perjuangan individu sahaja. – Bernama

Jangan Terlalu Banyak Kelentong Wahai Nizar, Rakyat di Perak Sudah Muak !!

...........Nizar juga faham bahawa sekali berbohong mungkin ada yang termakan, tetapi jika pembohongan itu berulang-ulang, rakyat akhirnya akan tahu siapa diri dia sebenarnya.
Jadi, janganlah terlalu banyak berbohong, wahai Nizar!....Baca selengkapnya di sini

DUN Sarawak bubar Isnin

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan Isnin ini dan beliau akan bertanding pada pilihan raya negeri yang akan diadakan.
Beliau mengumumkan demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, selepas mengiring Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berlepas pulang selepas lawatan sehari ke Sarawak sebentar tadi.
Abdul Taib berkata, beliau sudah menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, untuk memaklumkan perkara itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi dalam masa terdekat. Berita Harian

Alasan Nizar yang melucukan tidak mahu hadir sidang DUN

Pakatan Rakyat tidak perlu berbohong dengan mengatakan polis masih mengawal ketat sekitar dewan dan berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan sebagai alasan tidak mahu menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata alasan yang diberi oleh pihak pembangkang itu sudah terlalu biasa didengar dan masih juga digunakan mereka pada setiap kali sidang DUN mahu diadakan di Bangunan SUK.
“Ahli Parlimen Bukit Gantang yang merangkap Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat kenyataan media di Kuala Lumpur bahawa beliau berkemungkinan tidak hadir pada sidang DUN 5 April ini dengan alasan pihak polis masih lagi mengawal ketat sekitar dewan dan Bangunan SUK.
“Alasan ini sudah terlalu biasa kita dengar setiap kali sidang DUN mahu diadakan dan pihak pembangkang ini akan mencari alasan, hujah atau jalan untuk tidak hadir sidang,”
Dr Zambry berkata, walaupun pihak pembangkang bersangka buruk dengan mengatakan sidang DUN 30 Nov lalu akan berlangsung hanya satu hari, jangkaan itu ternyata meleset sama sekali.
“Sangkaan buruk pembangkang itu meleset sama sekali kerana mereka juga akhirnya duduk bersidang sampai habis,” katanya.
Sebelun ini, Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada kawalan polis.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada sidang media di parlimen  berkata, jaminan itu diminta Pakatan Rakyat ekoran setiap kali berlangsungnya sidang DUN di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April 2011. -- Perak Today

Pembangkang Cuma Tahu Bersandiwara

Pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Pas, Dap dan PKR cuma tahu bersandiwara dalam usaha mereka untuk mencapai agenda bagi mendapatkan kuasa, pangkat dan kedudukan, kata tokoh akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Katanya, pembangkang tidak pernah serius memikirkan masa depan negara sebaliknya apa yang terjangkau dalam pemikiran mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) biarpun ada rakyat yang akan menderita dan tertindas.
“Mereka ini hanya tahu buat kacau saja tidak kiralah di mana mereka berada sedangkan sewajarnya mereka tunjukkan kebolehan untuk menawan hati rakyat termasuklah dengan menandingi apa yang BN lakukan tapi terbukti pembangkang sangat mengecewakan,” katanya.
Jelas beliau lagi, pakatan pembangkang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri-negeri seperti Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang tetapi sehingga hari ini mereka gagal melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan oleh BN.
“Pembangkang ini tidak boleh buat apa-apa biarpun mereka berpakat sesama sendiri kerana bukan hanya idealogi berbeza malahan cara dan pendekatan yang diambil juga seringkali bertentangan, jadi bagaimana untuk mentadbir negara?”
Khoo berkata demikian dalam mengulas berkaitan usaha berterusan pakatan pembangkang yang cuba menghasut rakyat dengan menolak kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
Tindakan sedemikian diinspirasikan oleh pembangkang dengan meniru kebangkitan masyarakat di Timur Tengah seperti yang sedang berlaku di Libya, Mesir, Yaman, Iran dan lain-lain lagi.
“Pembangkang tidak boleh membandingkan negara ini dengan apa yang berlaku di Timur Tengah termasuklah mana-mana negara luar sekalipun kerana Malaysia mempunyai cara dan pendekatan tersendiri.
“Kita mempunyai hubungan kaum dan keharmonian yang akrab, saling memahami dan mampu melahirkan rasa tolak ansur sesama bangsa bagi memastikan kejayaan terus dicapai malahan ia telah dibuktikan melalui persefahaman untuk mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957 lalu,” katanya.
Pakatan pembangkang mula membangkitkan propaganda untuk menumbangkan kerajaan kononnya melalui suara rakyat sejak pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor dan kemudiannya diikuti oleh DUN Kerdau, Pahang dan DUN Merlimau, Melaka.
“Rakyat tahu apa yang berlaku dan walaupun pembangkang cuba untuk menghasut dan melakukan pelbagai fitnah kepada kerajaan tetapi telah terbukti mereka ditolak dengan bukti kemenangan dalam PRK terbabit sebaliknya sokongan pengundi bertambah dengan majoriti lebih besar diperolehi oleh BN.”
Dalam hal ini, katanya telah memberi gambaran jelas kepada pembangkang bahawa keseluruhan rakyat tidak menyokong tindakan radikal apatah lagi untuk mengganggugugat kesejahteraan dalam negara.
“Kalau betul pembangkang ini bersikap matang, maka tunjukkanlah kebolehan dengan idea-idea baru dan bukannya hanya tahu berpura-pura, buat kacau dan mengganggu masyarakat untuk hidup dengan tenang,” katanya. – MediaUMNO

UMNO Bahagian Parit Sedia Hadapi PRU-13

Naib Ketua UMNO Bahagian Parit, Nizar Zakaria (gambar) berkata, bahagiannya telah pun bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan pelbagai aktiviti dipergiat melalui kerjasama semua sayap dan parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Program terbaru adalah simulasi PRU yang diadakan di Teluk Senangin. Alhamdulillah, ianya mendapat kerjasama yang baik dari sayap dan parti komponen.
“Selain mengadakan ceramah dan ramah mesra bersama rakyat, kita juga mengadakan program penambahan ahli dan daftar pemilih. Sambutan yang baik di kalangan penduduk di bahagian Parit jelas menunjukkan, mereka telah kembali menyokong UMNO dan BN.
“Program demi program yang dilakukan nampaknya berkesan dan saya yakin kita mampu mempertahankan satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dun di sini,” ujarnya.
Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, di setiap kampung dan cawangan juga telah diarahkan untuk mempergiatkan program mendekati rakyat dan fokusnya adalah PRU-13.
“Saya berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh parti komponen termasuk sayap di kawasan Parit. Hasilnya dapat dilihat apabila statistik pengundi baru berbangsa Cina dan India mencecah 2,000 orang.
“Hasil kerja keras mereka memberi pendedahan kepada bangsa Cina dan India, membolehkan kita memperolehi kepercayaan mereka. PRU akan datang, saya berharap BN akan menang 2/3. Gelombang stunami ketika PRU yang lalu ternyata telah memberi pengajaran yang baik kepada UMNO dan BN.
“Rakyat telah bersuara dan kita mendengarnya dengan baik. Konsep 1 Malaysia yang di bawa oleh Perdana Menteri kita juga membuktikan kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat. Suara rakyat sentiasa kita dengar. Penambah baikkan yang di bawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuatkan rakyat kembali kepada BN,” katanya kepada UMNO-Online. – MediaUMNO

Pas Dicabar Nyatakan Pendirian Isu DNA Anwar

KUALA LUMPUR 16 Mac – Pemimpin Pas hari ini dicabar untuk menyatakan pendirian mereka berhubung cabaran pelbagai pihak supaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi merungkai siapa identiti lelaki ‘Y’ yang meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Pendakwah bebas, Ustaz Jamil Long berkata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk “panglima“ dan “hulubalang“ mereka yang lain perlu ikhlas dalam soal berkenaan kerana ianya melibatkan maruah umat Islam serta institusi parti pembangkang itu sendiri.
Menurut beliau, sebagai sebuan parti yang selalu memperagakan ayat-ayat suci al-Quran di dalam ceramah-ceramah mereka di seluruh negara, kepimpinan Pas seharusnya berpijak di bumi nyata dan bukannya sekadar menjadi “rakan bisu“ kalangan sekutu mereka.
“Inilah masanya untuk Hadi buktikan Pas hari ini sebuah parti yang ada prinsip dan bukannya lalang sepertimana yang dituduh oleh pelbagai pihak. Apakah mereka tidak ada perasaaan dituduh sedemikian rupa.
“Jangan nanti, anak-cucu cicit kita akan mengiyakan apa yang dilemparkan terhadap parti yang melaung-laungkan perjuangan Islam. Bukan susah pun….Mereka hanya sekadar menasihatkan Anwar memberikan kerjasama untuk memberikan sampel DNA untuk mencari kebenaran.
“Kalau tidak betul, bukankah itu mengembalikan maruah serta imej Ketua Pembangkang itu sendiri selain melonjakkan Pas sebagai sebuah parti yang berprinsip dengan menolak kebatilan serta mempertahankan kebenaran, “ katanya.
Beliau mengulas tindakan berdiam diri Pas berhubung gesaaan pelbagai pihak supaya Ketua Pembangkang menyerahkan sampel DNA bagi merungkai siapa identiti lelaki ‘Y’ yang meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Gesaan itu dibuat bagi membantu menyelesaikan misteri lelaki ‘Y’ yang dipercayai meliwat bekas pembantu peribadi Anwar itu.
Ustaz Jamil seterusnya menimbulkan persoalan bagaimana Pas begitu lantang dan cukup berani apabila sesuatu isu menimpa pimpinan UMNO atau BN yang lain, dan hanya berdiam diri dalam soal yang melibatkan perkara yang cukup besar di kalangan pimpinan mereka.
“Kalau sekadar pandai baca ayat-ayat al-quran serta pelbagai dalil daripada hadis ianya tidak bermakna jika tidak diterjemahkan pada tempat yang sepatutnya. Inilah masa dan ketika mereka memperaktikkan apa yang dibaca itu.
“Saya tidak mahu menyebelahi sesiapa tetapi cukup sedih dan kecewa dengan tindak tanduk Pas hari ini yang mungkin sudah termakan janji menjadi sebahagian daripada mimpi menawan Putrajaya,“, katanya. -MediaUMNO

Anwar tak layak desak rakyat hentikan demonstrasi

Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menganggap Anwar Ibrahim tidak layak untuk mendesak mahkamah mengambil tindakan terhadap rakyat yang berhimpun secara aman di seluruh negara bagi mendesaknya menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, sebelum ini Anwar adalah individu yang paling lantang kononnya memperjuangkan hak kebebasan bersuara untuk rakyat di negara ini.
"Bukankah budaya demonstrasi ini diamalkan oleh Anwar sejak beliau menuntut di Universiti Malaya (UM) lagi?" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan peguam Anwar, Karpal Singh yang memohon kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang mengendalikan perbicaraan liwatnya dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya mereka yang terlibat dalam demonstrasi berkaitan DNA dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Anwar juga memohon supaya dua media tempatan iaitu akhbar New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia dikenakan tindakan mahkamah kerana menyiarkan laporan tentang demonstrasi itu.
Sementara itu, Hamidzun berkata, sikap berat sebelah yang ditunjukkan Anwar itu membuktikan yang beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Pembangkang di negara ini.
"Apabila terkena batang hidungnya sendiri, beliau dengan angkuhnya memarahi rakyat yang bangkit menentangnya," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, tambah Hamidzun, GAPS bersedia untuk menganjurkan demonstrasi berskala besar untuk terus mendesak Anwar supaya beliau tunduk kepada proses perundangan negara. -Utusan

Anwar tidak perlu takut untuk serah DNA kalau dia bukan ‘lelaki Y’

KETUA Pembangkang, Anwar Ibrahim terus menjadi perhatian ramai. Pertama, pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoir beliau yang dilancarkan baru-baru ini.
Rakyat Malaysia tidak harus melepaskan peluang membaca A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir. Panas, menarik dan berani. Pada Awang ia dokumen yang cukup penting untuk dijadikan rujukan.
Antara kandungannya Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa keputusan memecat Anwar pada 1998 adalah tepat. Beliau beri hujah dan paparkan cerita mengapa keputusan itu diambil termasuk salah laku seks bekas timbalannya itu.
Sesungguhnya majoriti rakyat dan pelbagai pihak mengambil keputusan yang tepat untuk tidak menyokong Anwar atas sebab yang sama. Awang sudah lama berpendirian beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri atas faktor integriti dan moral. Puluhan pemimpin dan ribuan ahli PKR yang meninggalkan beliau juga mengambil langkah yang tepat.
Kedua, Anwar sekali lagi menjadi tumpuan dalam kes perbicaraan liwat. Kali ini berkaitan keengganan beliau untuk memberi sampel ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).
Persoalannya mengapa beliau enggan berbuat demikian? Anwar tidak perlu takut kalau beliau bukan ‘lelaki Y’ yang DNAnya dikenalpasti pada Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Malah Anwar akan beruntung kalau DNAnya tidak sepadan dengan ‘lelaki Y’ kerana ia akan memberi peluang bagi membersihkan namanya.
Sepatutnya sudah lama Anwar tampil dengan rela memberikan DNA apatah lagi beliau selalu melaung- laungkan mendukung keadilan dan kebenaran. Taktik beliau memberikan alasan untuk tidak memberikan DNA hanya menebalkan lagi tanggapan bahawa beliau takut kepada kebenaran yang akan terbukti nanti. Malah beberapa bekas pemimpin PKR mendakwa, keengganan Anwar berbuat demikian kerana mahu melindungi rahsia besar yang belum meletup. Ia bukan sahaja melibatkan kes Saiful yang mengadu diliwat tetapi turut mempunyai kaitan hubungannya dengan seorang anggota keluarga pemimpin kanan PKR.
Awang musykil mengapa Anwar yang menggambarkan beliau pemimpin hebat dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, takut untuk diadili sepenuhnya. Bagaimana hendak menjadi Perdana Menteri sekiranya tidak berani bersumpah laknat dan kini mengelak memberikan sampel DNA? Aneh. Kaedah bersumpah cara Islam ditolak, secara saintifik juga dinafikan. Maka memoir Dr. Mahathir dan isu DNA mengukuhkan lagi hakikat siapa sebenarnya Anwar. Insya Allah, apa sekalipun misteri dan rahsia yang disembunyikan, akan terlerai jua akhirnya. - Awang Selamat, Utusan

Usah dengar janji Anwar

TANJUNG MANIS: Rakyat Sarawak tidak harus tertipu dengan pelbagai janji ditabur penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutama menjelang pilihan raya negeri kerana ia hanya pembohongan untuk meraih simpati.
Naib Presiden Kanan I Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata rakyat Sarawak harus sedar Anwar sudah hilang kredibiliti dan ditolak di Semenanjung, tetapi bijak menyembunyikan kelemahannya itu dengan memutar belit pelbagai fakta. Katanya, Anwar juga mendakwa mampu membawa perubahan dengan menubuhkan kerajaan negeri Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang, sedangkan pemimpin pembangkang itu cuba membohongi rakyat Sarawak dengan menunjukkan seolah-olah beliau masih berpengaruh dan mempunyai sokongan padu. “Tidakkah rakyat Sarawak nampak ini semua? Takkan rakyat kita hendak menerima orang yang sudah ditolak di Semenanjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Tanjung Manis dan Penyampaian Cek Pampasan Tanah serta Surat Hak Milik Tanah di Kompleks Industri Perabot, di sini semalam.
Pada majlis itu, RM3.1 juta pampasan diagihkan kepada 212 pemilik tanah yang terbabit dalam pembangunan di sekitar Tanjung Manis.
Awang Tengah mengakui, beliau kesal kerana ada rakyat Sarawak dipengaruhi penyokong kuat Anwar yang sering memutarbelitkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). - Berita Harian

Realitinya Bukan “Pas Ganti UMNO” Tapi “DAP Ganti Pas”

KUALA LUMPUR, 11 Mac – “Hakikat sebenarnya bukan ‘Pas Ganti UMNO’ tapi lebih tepat ‘DAP Ganti Pas’…. Ini bukan rekaan tapi perkara yang berlaku depan mata”, demikian pandangan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Shukor Idrus.
Tegas beliau kedudukan Pas dalam pakatan pun tidak lebih seperti “melukut tepi gantang” dan hanya menjadi budak suruhan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Semua perkara Pas kena rujuk dan perlu dapat persetujuan DAP dulu termasuk yang berkaitan Islam.
“Sebagai contoh sambutan maulidur rasul, Pas pertahan DAP, nak haram judi kena jumpa DAP dulu, masuk tempat solat Pas akur dengan DAP dan banyak lagi malah rampasan arak di Shah Alam pun Pas terpaksa menghalalkan arahan DAP untuk memulangkan arak semula”, katanya kepada UMNO-Online.
Pas juga katanya lagi tidak lagi begitu bersemangat dan ghairah untuk memperjuangkan Islam tetapi lebih berminat untuk menjadi pejuang kepada agenda DAP.
“Perjuangan Islam sudah tidak menjadi keutamaan Pas. Kalau kita lihat kita tidak akan lagi jumpa sepanduk atau laungan untuk menubuhkan negara Islam tetapi lebih kepada kononnya Pas untuk semua.
“Apa yang dilakukan Pas sekarang adalah lakonan menurut skrip DAP bagi membolehkan DAP mendapat sokongan orang Melayu di sebalik kopiah dan jubah pemimpin Pas”, ujarnya.
Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang seterusnya berkata UMNO merupakan parti terbesar dalam komponen Barisan Nasional (BN) dan diberi kepercayaan untuk memimpin BN.
“Inilah pemuafakatan dalam kerjasama utuh BN yang sukar ditiru pakatan pembangkang. Pakatan pembangkang tiada persefahaman… masing-masing ada agenda tersendiri dan dalam soal ini Pas hanyalah budak suruhan bagaimana Pas boleh dakwa boleh ganti UMNO.
“Yang lebih tepat sebenarnya adalah DAP ganti Pas kerana DAP sudah mengambil alih perjuangan Pas hingga Pas sendiri telah mengangkat Lim Guan Eng menjadi khalifah”, katanya. -MediaUMNO

Video of the Earthquake and Tsunami in Japan

Television networks across the world carried dramatic footage, some of it live, of the tsunami that hit northern Japan after a massive 8.9 magnitude earthquake struck off the coast.
The Associated Press posted videos from the Japanese broadcaster NHK on their YouTube channel, the first of which shows the tsunami sweeping away buildings as it carries debris across a vast swath of farmland:



Buku panas Dr Mahathir...keputusan pecat Anwar tak silap sama sekali

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sepanjang 22 tahun mentadbir Malaysia beliau buat banyak silap, tetapi menegaskan keputusan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan satu kesilapan sama sekali.
Bekas Perdana Menteri itu berkata Anwar sepatutnya menjadi pemimpin nombor satu negara kini, tetapi itu tidak berlaku kerana perbuatannya sendiri
Ini dinyatakan beliau dalam memoir bertajuk ‘A doctor in the house’ yang dilancarkan di Kuala Lumpur petang Selasa.
Dr Mahathir menulis dua bab dalam buku itu untuk menjelaskan tentang isu Anwar.Buku setebal 816 muka surat itu keseluruhan terbahagi kepada 62 bab.
Bab pertama mengenai kemasukan Anwar ke dalam UMNO, dan yang kedua –yang paling ditunggu-tunggu, mengenai pemecatan Anwar dan pembabitan bekas timbalan perdana menteri itu dalam aktiviti seks luar tabii.
Tulis Dr Mahathir, dalam bab ke 53 bertajuk ‘Anwar’s Challenge’ beliau pertama kali dimaklumkan oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berhubung dakwaan yang mengaitkan Anwar dengan aktiviti homoseksual.
Kemudian, pada 1997, beliau menerima surat dari perempuan bernama Ummi Hafilda Ali, yang kata Dr Mahathir “Isinya menganggu saya kerana lebih spesifik dan lengkap mengenai dakwaan liwat membabitkan Anwar’.
Pun begitu, kata Dr Mahathir, tuduhan itu seperti tidak masuk akal, jika dakwaan membabitkan Anwar mempunyai ‘hubungan’ dengan perempuan, “Saya tidak begitu terkejut, tetapi bagaimana orang yang kelihatan alim ini berkemungkinan terlibat dengan aktiviti homoseksual?”
Pada mulanya, Dr Mahathir tidak mengambil serius surat Ummi, tetapi sebulan kemudian, Ummi hantar lagi satu surat, yang memaklumkan beliau menarik semua tuduhannya sebelum ini.
“Saya hairan kenapa dia nafi apa yang dia kata sebelum ini,” tulis Dr Mahathir.
Beliau hanya memandang kes tersebut secara serius apabila bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor dan pegawai peyiasat ( ketika itu) Tan Sri Musa Hassan menunjukkan bukti “termasuk gambar dan pengakuan mereka yang terlibat. Saya sedar saya tidak boleh mengabaikan maklumat ini”
Kata Dr Mahathir, beliau mahu bertemu dengan saksi dan bercakap sendiri dengan mereka secara peribadi.
“Saya bertemu mereka secara persendirian, di rumah rasmi saya di Sri Perdana, saya beritahu mereka bahawa perbualan ini adalah sulit dan saya hanya mahu mendengar cerita mereka untuk diri saya sendiri,”katanya.
Antara yang beliau temui Azizan Abu Bakar, iaitu bekas pemandu isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Polis beritahu Azizan banyak kali diliwat Anwar. Saya tanya Azizan mengenai dakwaan tersebut, dan sudah tentulah beliau takut kerana Anwar merupakan timbalan perdana menteri.
“Ketika perjumpaan itu, Azizan gementar dan tidak selesa. Azizan menceritakan pada saya secara teliti bila kali pertama kejadian itu berlaku. Dia kata dia takut sebab Anwar begitu berpengaruh, dan boleh menyebabkan banyak masalah kepadanya, sebab itulah kata dia tidak melawan,”.
“Saya tahu betapa susah untuk ingat tarikh dan waktu sebenar bila ia berlaku, jadi saya tidak beri perhatian kepada perkara-perkara tersebut. Tapi pertemuan itu cukup untuk menyakinkan saya bahawa dia (Azizan) bercakap benar.
“Dalam mahkamah, tarikh dan masa sebenar kejadian adalah perkara penting, dan mencukupi untuk mensabit atau menbebaskan seseorang, tapi saya ragu sekalipun hakim atau peguam dapat mengingati secara tepat apa yang mereka lakukan setahun lalu.
“Ada orang simpan diari, tetapi tidak ada siapapun yang rekod semua yang dilakukannya setiap hari,” kata beliau.
Dr Mahathir berkata beliau juga menyoal empat wanita yang memberitahunya bahawa mereka telah dibawa untuk mengadakan hubungan seks dengan ‘seseorang yang berpengaruh”.
Dr Mahathir menulis bahawa mereka dipujuk agar berbuat demikian oleh seorang lelaki India bersama Nalla.
“Dia telah membawa setiap perempuan secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills (Bukit Tunku). Di sana mereka bertemu dengan seorang yang (mereka) kenalinya sebagai timbalan perdana menteri.
“Mereka telah diminta menanggalkan pakaian untuk tujuan mengadakan hubungan seks,” tulis Dr Mahathir.
“Dua daripada mereka enggan (mengadakan hubungan seks) tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka sudi untuk bercakap kepada polis dan kepada saya tetapi berkeras tidak mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan,” tulis Dr Mahathir.
Mengenai dakwaan beliau melakukan konspirasi politik, kata Dr Mahathir,
“Bagaimana orang boleh mempercayai ini (teori konspirasi), kalau hendak berkonspirasi melawan Anwar, saya perlu menggunakan polis, Peguam negara dan pendakwaraya, saksi-saksi, hakim, pakar makmal forensic, dan ramai lagi sebagai rakan subahat saya”
“Sudah pasti, seseorang dari yang ramai itu membocorkan perkara yang kami rancangkan kepada umum. Tetapi tidak ada siapa yang muncul dan mendakwa bahawa saya memaksa beliau untuk menipu bagi menyokong dakwaan saya (terhadap Anwar).
Dr Mahathir turut memuatkan sebahagian dari penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar dari tuduhan liwat.
Dalam penghakiman tersebut hakim-hakim membuat kesimpulan bahawa aktiviti homoseksual berlaku tetapi kerana masalah teknikal maka kes tersebut digugurkan.
Kata Dr Mahathir, biasanya beliau seorang yang pemaaf dan biasa memberi peluang kedua kepada mereka yang pernah ‘lawan’ beliau secara politik.
“Bahkan seorang dari mereka saya namakan sebagaikan penganti selepas Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri, tapi saya susah untuk memafkan Anwar kerana merosakkan nama baik saya di mata dunia,” katanya.
Beliau menutup bab tersebut dengan menulis bahawa Anwar sepatutnya menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini, tetapi perkara itu tidak berlaku kerana tindakannya sendiri.
“Pilihan yang saya ada hanyalah memecat beliau dan saya lakukan apa yang saya fikir terbaik untuk negara ini. Saya mungkin buat banyak silap, tetapi memecat Anwar bukan satu kesilapan sama sekali,”katanya.
Memoir tersebut dijual dengan harga RM100 setiap naskah dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama seluruh negara.-
Oleh: HELME HANAFI - AgendaDaily

Nik Aziz Macam Budak-budak Apabila Kalah

KUALA LUMPUR 8 Mac – Seperti biasa Pas akan memberikan pelbagai alasan setiap kali mereka kalah dalam mana-mana pilihan raya kecil, sebaliknya nada itu akan berubah apabila mereka berjaya memenanginya.
Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Idris Haron berkata bukan sahaja Pas, malah parti pembangkang yang lain juga akan membuat kenyataan serupa kerana mereka tidak dapat menerima kenyataan kekalahan parti mereka setiap kali pilihan raya kecil diadakan.
“Ini perkara biasa kepada pembangkang, `rumah siap pahat berbunyi’ apa sahaja yang kita lakukan, mereka akan cakap apa sahaja tanda tidak puas hati, ini pula bila kalah dalam pilihan raya.
“Mereka akan tuduh dengan pelbagai tuduhan, itu sikap pembangkang yang tidak dapat menerima kenyataan, mereka seharusnya sedar dengan apa yang berlaku dan muhasabah diri bukannya mencari alasan untuk tutup kelemahan,”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan jentera kerajaan ketika pilihan raya kecil DUN Kerdau dan Merlimau, baru-baru ini.
Dakwaannya, kekalahan Pas di kedua-dua pilihan raya kecil itu disebabkan pembangkang bukannya berhadapan dengan BN, sebaliknya menghadapi jentera Kerajaan Pusat dan mencabul sistem demokrasi di negara ini.
Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, menyifat apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz itu membuktikan bahawa Pas dan juga parti pembangkang lain tidak dapat menerima kenyataan bahawa rakyat kini sudah sedar dan bijak untuk memilih siapa yang patut mewakili mereka.
“Kenyataan Nik Aziz itu macam budak-budak, bila kalah beri pelbagai alasan nak tutup malu, buat tuduhan kita tak betul dan bermacam-macam lagi tanda tidak puas hati,” katanya..
Menurutnya, Menteri Besar Kelantan itu tiada hak untuk menentukan sama ada perkara itu halal atau haram dan dosa atau pahala kerana yang berhak dan mengetahui perkara sebenarnya adalah Allah bukannya Nik Aziz. -MediaUMNO.

BN Kekal di Merlimau dan Kerdau, PAS Semakin Lemau


KEPUTUSAN RASMI

DUN KERDAU
BN : 5,060
PAS : 2,336
MAJORITI : 2,724

DUN MERLIMAU
BN : 5,962
PAS : 2,316
MAJORITI : 3,643
---------------------------------------------

BN Menang Bergaya Di DUN Kerdau
TEMERLOH: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan bergaya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dengan majoriti 2, 724 undi.
BN yang diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau berjaya memperolehi 5,060 undi sekaligus menewasakan calon PAS, Hassanuddin Salim yang mendapat 2,336undi.
Kekalahan ini merupakan kali kedua bagi Hassanuddin yang sebelum ini turut bertanding di kawasan yang sama pada pilihan raya umum ke-12.
Pada pilihan raya umum 2008, BN yang diwakili Allahyarham Datuk ZaharuddinAbu Kassim memenangi kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi.

BN Menang Dengan Majoriti Lebih Besar di Merlimau
JASIN: Seperti yang dijangkakan, calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad berjaya menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Ahad dengan majoriti lebih besar. Majoriti yang diperoleh Roslan 3,643.
Roslan, 44, memperoleh 5,962 sementara Yuhaizad sekadar menerima 2,319.
Pada Pilihan Raya Umum 2008 BN hanya memperoleh majoriti sebanyak 2,154 undi.

Guna Kuasa Undi Dengan Bijak, Pilih Calon BN

JASIN, 5 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat perlu bijak membuat pilihan pada dua pilihan raya kecil esok, dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) kerana parti pemerintah telah terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya membawa keamanan dan ketenteraman kepada negara ini.
Beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan pembohongan yang dilakukan pembangkang semasa berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan kerana kerajaan telah melakukan pelbagai dasar termasuk dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata sikap pembangkang yang gemar menabur fitnah serta menghasut rakyat untuk membenci Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan membuktikan mereka berniat jahat dengan tidak menghargai kesejahteraan dan perpaduan negara.
“Jangan sokong mereka dan jangan undi…mereka tidak dapat membantu anda-anda sekalian,” katanya ketika berucap di majlis jalinan mesra rakyat dan mesra pengguna di Taman Air Merbau di sini, hari ini.
Menurutnya, pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap dasar yang dilaksanakan, membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan rakyat dan negara agar terus maju.
“Saya yakin pengundi dapat menerima baik pendekatan dan penjelasan yang diberikan mengenai situasi politik negara, mereka harus tidak salah memilih serta keluar mengundi, menyokong calon BN,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sebuah negara aman tanpa peperangan mahupun permusuhan sepertimana yang berlaku di luar negara malahan tiada rakyat yang kebuluran.
“Apabila kita ke luar negara semua orang tahu Malaysia adalah sebuah negara yang baik dan kita harus bersyukur negara kita tiada malapetaka dan bencana alam yang besar dan kerajaan akan membantu membuat yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Hina Sesama Manusia, Pas Harus Tanggung Implikasi Dunia Akhirat

KERDAU, 4 Mac – Calon BN di DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, sedikitpun tidak berasa hati dengan gelagat Pas yang menghina gelaran Syed.
Katanya, Pas semakin mencerminkan rupa sebenar mereka dan rakyat akan mampu menilai sikap parti ini yang kononnya memperjuang dan mempertabatkan agama Islam.
“Dalam agama Islam, sesiapa sahaja dilarang untuk menghina sesama manusia bahkan Nabi sendiri ada menyatakan dalam hadithnya, jangan menghina satu benda yang baik.
“Allah s.w.t juga pernah berfirman, bercakaplah dengan Firaun wahai kamu Musa dengan perkataan yang lembut. Ini jelas menunjukkan, kita ditegah untuk memandang rendah dan menghina sesama kita,” terangnya.
Menurut Syed Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Syed Ibra, sekiranya Pas mahu terus menghina, itu terserah kepada hak masing-masing.
“Secara tidak langsung, sikap parti itu mencerminkan peribadi dan cara pembawakan Pas. Rakyat akan menilai sikap mereka ini kerana Islam tidak pernah mengajar atau menyuruh kita memandang hina sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa,” terang Syed Ibra.
Beliau turut menjelaskan, Pas harus bertanggungjawab di dunia hingga akhirat atas implikasi daripada sikap mereka yang menyebabkan masyarakat akan memandang rendah terhadap agama Islam.
“Di dunia maksudnya dari segi kemasyarakatan yang menyebabkan orang Islam lain terpaksa membayar hutang yang sama terhadap hutang mereka buat. Orang akan pandang umat Islam itu dengan pandangan yang jahat dan serong disebabkan tingkah laku mereka.
“Oleh kerana itu, orang Islam yang lain terkena tempias dek akibat sikap Pas, maka mereka harus mananggung beban tersebut,” katanya kepada UMNO-Online.
Syed Ibra turut berpesan agar pemimpin-pemimpin Pas yang jelas mengetahui ajaran Islam dengan mendalam agar mendalami serta menghayati apa yang diajar oleh agama Islam sebenarnya.
“Jangan kerana politik, mereka buat-buat tidak tahu apa yang mereka tahu,” ujarnya. -MediaUMNO

Prinsip Pas Berubah-ubah Buatkan PKR, DAP Dan Pengundi Mula Cuak

KUALA KRAU, 1 Mac – Rakyat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau diharap dapat melihat dan meneliti secara mendalam perubahan prinsip Pas yang berubah-ubah mengikut keadaan demi masa depan mereka.
Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ibrahim berkata pendirian serta prinsip bermusim Pas itu turut memberi kesan terhadap rakan gabungan mereka di dalam pakatan pembangkang yang dilihat mulan sangsi dan “cuak” dengan parti yang menonjolkan perjuangan Islam.
Menurut beliau atas dasar berkenaan, DAP hari ini seolah-olah tidak turun padang secara besar-besaran untuk turun berkempen membantu calon Pas, Hassanuddin Salim di Kerdau yang hari berkempen masuk hari ketiga hari ini.
“DAP perlu membuat penilaian dan rakyat boleh nampak mereka hanya buat kenyataan bergantung kepada suasana semasa dan mereka berubah-ubah. Dan apa pendirian DAP dalam isu badan gabungan mereka yang sudah mula bertukar arah.
“ Yang ini pada saya akan lebih memecahbelahkan suasana keharmonian mereka yang sudahpun terpecah. Di Kerdau kita nampak DAP tidak turun pun secara besaran untuk berkempen membantu Pas dan Pas kena faham.
“Berbanding dengan BN, mana juga pilihan raya kita akan nampak semua parti turun membantu tidak kira pengundi daripada majoriti yang mana berada di kawasan berkenaan,” katanya.
Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah kempen suram pembangkang di Kerdau hari ini membuktikan rakyat sebenarnya sudah sedar dan faham perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang hanyalah isu lapuk.
“Sebenarnya tidak ada satu perkara yang benar-benar berlaku disebabkan kelemahan kerajaan BN. Dan selama ini banyak perkara sengaja ditimbulkan, yang kecil dibesar-besarkan akhirnya mereka sendiri ketandusan idea.
“Dan saya percaya di Malaysia ini tidak seperti tempat lain, kerajaan sentiasa memikirkan kesejahteraan rakyat secara adil sebab itu kalau mereka ingin wujudkan satu perasaan tidak puas hati biasanya tidak akan berjaya kerana yang diperlukan oleh BN adalah masa,” katanya.
Beliau seterusnya menambah masa sebenarnya memihak kepada BN yang menyebabkan pembangkang ketandusan isu untuk dimanipulasikan.
“Sebab itu saya katakan tadi masa memihak kepada kita dan pembangkang akhirnya ketandusan isu Sebab itu dikerdau ini tidak banyak isu dan yang kedua mereka seringkali bermain isu perkauman walaupun UMNO dan BN dituduh sebagai rasis tetapi sebenarnya mereka bermain isu perkauman.
“Kalau Pas sebelum ini mengatakan bahawa mereka ingin menghapuskan hak keistimewaan Melayu, PKR pun sama tetapi melihat kepada pengundi di DUN Kerdau yang 87 peratus pengundi Melayu akhirnya mereka sudah kehilangan arah. Sebab itu sejak akhir-akhir ini mereka mula bermain isu kemelayuan dan sebagainya.
“Jadi atas demi masa dan kerana masa yang diruangkan kepada BN itu mencukupi akhirnya rakyat mula sedar bahwa hanya BN yang benar-benar dapat jaga masa depan negara,” katanya. – MediaUMNO