SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

118 bekas ahli PAS sertai UMNO Perak

Sokongan dan pengaruh parti PAS di negeri ini semakin merudum dan buktinya seramai 118 ahli dari Bahagian Bukit Gantang hari ini mengumumkan keluar parti itu yang didapati sudah terkeluar dari hala tuju dan landasan perjuangan sebenar.
Salah seorang bekas ahli PAS yang ditemui, Abdul Rahim Ahmad, berkata pemimpin parti itu juga hanya mementingkan diri semata-mata dan meminggirkan perjuangan untuk membela nasib rakyat.
Tegasnya, janji-janji manis yang dilaungkan parti juga hanya angan-angan kosong manakala barisan kepimpinan pula tidak berjaya menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya mengamalkan budaya berpuak-puak dan menabur fitnah sesama mereka.
“Saya mengambil keputusan keluar parti PAS kerana ia semakin menyimpang jauh daripada hala tuju dan perjuangan sebenar.
“Barisan kepimpinan sedia ada juga tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya mereka suka berpuak-puak serta menjadikan parti sebagai hak peribadi sahaja,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang, dekat Taiping, hari ini.
Abdul Rahim berkata lagi, di atas kesedaran itu, beliau bersama ahli PAS yang lain mengambil keputusan keluar parti dan menyertai UMNO.
Selepas mengumumkan keluar parti, semua bekas ahli PAS itu katanya, akan menubuhkan cawangan UMNO baru, iaitu cawangan Titi Gantung.
Terdahulu, ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata perpaduan di kalangan pengundi Melayu adalah formula mujarab dalam menguatkan lagi pengaruh parti Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan datang.
Ujarnya, ini termasuklah di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu yang terdiri 60 peratus pengundi.
Katanya lagi, langkah menyatupadukan ini juga perlu bermula di kalangan ahli UMNO itu sendiri bagi menarik minat rakyat menyertai parti itu.
“Ahli-ahli UMNO perlu memastikan formula perpaduan dan penyatuan dapat memajukan lagi orang Melayu di negara ini.
“Selain itu, parti juga perlu memenangi hati pengundi Cina dan India bagi menguatkan BN di seluruh pelusuk kawasan,” tegasnya lagi.
Menurutnya lagi, tanggungjawab ini bukan hanya digalas pemimpin atasan tetapi juga perlu dipikul sama ahli di peringkat bawahan.
Mereka juga katanya, harus sedar bahawa tanggungjawab yang digalas itu merupakan satu amanah besar dan memerlukan komitmen semua pihak. -Perak Today.

BN tak takut helah DAP mahu pilihan raya berasingan

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional tidak akan terpengaruh dengan hasrat DAP untuk mengadakan pilihan raya berasingan di negeri yang dikuasai pembangkang.
Kata Presiden UMNO itu, apa yang menjadi keutamaan BN sebaliknya adalah apa yang mampu dilakukan oleh parti itu sebagai persediaan menjelang pilihan raya akan datang. - Utusan

Simulasi pilihan raya pertengahan tahun ini - Najib
KUALA LUMPUR 27 Mei - Majlis Tertinggi UMNO hari ini memutuskan simulasi pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang akan dijalankan pada pertengahan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pemimpin parti akan turun padang untuk meninjau perjalanan sepanjang pilihan raya itu berlangsung bagi meningkatkan persediaan secara berterusan menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
"Simulasi (pilihan raya olok-olok) kita akan buat mengikut jadual pada pertengahan tahun ini. Itu (dibuat) berterusan dan akan ditingkatkan dalam usaha kita ke arah PRU-13,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini. - Bernama

Komplot DAP Cetuskan Perselisihan Kaum dan Rusuhan?

Pembongkaran taktik kotor DAP untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang Melayu dengan meletakkan mereka sebagai calon mewakili DAP pada Pilihan Raya Umum akan datang amat memalukan. Semua pihak menunding jari menyalahkan parti terbabit yang begitu hina ekoran kedangkalannya mempersenda kaum Melayu dan etnik bumiputera tanpa memikirkan sentimen perpaduan yang telah terpasak dalam masyarakat.
Sememangnya, jika diamati dan diimbas dari aspek sejarah dan perjalanan politik tempatan ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. DAP ibarat duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam yang akan mengambil peluang atas kedamaian dan kesejahteraan dalam negara.
Barangkali tentunya para pemimpin DAP ini sedar bahawa perancangan mereka selama ini asyik menghadapi jalan buntu untuk menimbulkan kekacauan termasuklah antaranya mempersendakan agama Islam, menindas golongan bumiputera di negeri yang mereka kuasai dan mempolitikkan Perlembagaan Persekutuan yang terasnya Fasal 152 dan Fasal 153.
Benarlah bahawa ini bukan yang pertama kali dilakukan malah ‘dosa’ paling besar yang tidak mungkin terpadam adalah tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Fakta sejarah tidak pernah menipu malahan secara jelas bahawa tragedi tersebut berlaku ekoran DAP yang lahir daripada serpihan PAP mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu, tanah simpanan orang Melayu, dasar bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan yang secara jelas mendokong dasar “Malaysian Malaysia”.
Pada 29 Julai 1967, DAP telah mengeluarkan “ Setapak Declaration” dan mereka berikrar untuk menuntut: “The ideal of free, democratic and socialist Malaysia, based on the principles of racial equality and social and economic juctice and founded on institutions of parliamentary democracy”
Antara faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa 13 Mei adalah Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969 yang telah disalahguna oleh pembangkang ekoran keterbukaan kerajaan. Ketika ini, parti-parti berkempen dibenarkan berkempen secara terbuka yang kemudiannya dimanipulasi oleh DAP menwujudkan sentimen kebencian dalam masyarakat.
Dalam pilihan raya tersebut, secara teknikal parti pembangkang DAP telah menang besar. Lantaran itu, pada 11 dan 12 Mei 1969 mereka telah meraikan kemenangan dengan berarak di Kuala Lumpur dan Kampung Baru yang didiami lebih 30,000 orang Melayu termasuklah rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Harun Idris.
Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut rujukan oleh Ramlah Adam (dipetik oleh Ramlah Adam dalam Democartic Action Party,1969, Dap General Elactions Manifesto, Out Triple objektif Toward a Malaysian Malaysia), DAP berarak sambil mengeluarkan kata-kata yang menghina orang Melayu seperti Melayu sudah jatuh, Kuala Lumpur sekarang Cina punya, ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu halau semua Melayu.
Dikatakan DAP telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan.
Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan ’menyapu’ (menyingkir) orang-orang Melayu ke laut sementara dalam masyarakat Melayu pula penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Lebih teruk lagi, dilaporkan ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Ekoran tragedi tersebut, bukan hanya darurat diisytuharkan malah angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan selain 211 kenderaan musnah.
Justeru, berdasarkan fenomena hari ini dilihat bahawa DAP mahu mempergunakan orang Melayu dan etnik peribumi demi kepentingan mereka maka secara tidak langsung ia adalah komplot untuk mendapatkan kuasa dan mengembalikan idealogi ‘Malaysian Malaysia.’
Lebih dari itu, dilaporkan juga bahawa terdapat penulis-penulis termasuk wartawan akhbar-akbar Cina yang diupah oleh golongan pembangkang untuk terus menanamkan sentimen kebencian dan menyemarakkan api perkauman agar sikap prajudis terus terpahat dalam masyarakat.
Apa yang pasti, permuafakatan dan kesejahteraan berteraskan perpaduan adalah benteng utama dalam memastikan kelestarian dalam negara. Waspadalah tingkah DAP! - UMNO Online

DAP Jangan Cuba Perbodohkan Orang Melayu

Bangsa Melayu bukan alat permainan dalam politik sehinggakan boleh diperkotak-katikkan sesuka hati termasuklah untuk memancing undi dan mendapatkan kuasa dari tangan rakyat, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, tindakan DAP yang merancang untuk meletakkan calon-calon Melayu mewakili parti mereka pada pilihan raya umum akan datang menunjukkan kedangkalan mereka dalam menilai kedudukan masyarakat hari ini.
“Siapa DAP yang mahu memperbodohkan orang Melayu sewenang-wenangnya sedangkan secara realitinya rakyat tahu dan sedar bahawa DAP hanyalah topeng yang melakonkan sandiwara untuk mendapatkan kuasa secara total,” katanya kepada UMNO-Online.
Terang beliau, apa yang direncanakan oleh DAP menjadi bukti bagaimana penilaian mereka kepada orang-orang Melayu yang dianggap sebagai batu loncatan mereka untuk meraih kedudukan dan mendapatkan kuasa semata-mata.
“Inilah DAP yang tidak tahu menghargai apatah lagi untuk menghormati kebersamaan dan peranan yang dimainkan oleh semua kaum di negara ini malahan sebaliknya mereka berbuat baik dengan orang-orang Melayu kerana ada agenda tersembunyi.
“DAP ini parti yang tidak ada hala tuju dan mereka akan gunakan apa sahaja cara asalkan dapat mencapai matlamat mereka untuk mendapatkan kuasa.”
Jelasnya lagi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), DAP setuju untuk bersekongkol dalam pakatan pembangkang bersama-sama Pas dan PKR sebelum ini kerana mereka mahu mempergunakan dua parti tersebut sebagai alat bagi mendapatkan kuasa juga.
“Lihatlah sendiri bagaimana tindakan DAP yang mengaut untung daripada perseteruan tersebut sedangkan Pas semakin tenggelam dan PKR pula kucar-kacir. DAP mengukuhkan kuasa tanpa melihat keseimbangan dalam pakatan itu sendiri dan akhirnya tidak hairan jika mereka sendiri yang akan ‘membunuh’ PKR dan memusnahkan Pas,” katanya.
Tegas beliau secara logiknya, DAP tidak akan mengiktiraf orang Melayu sebagaimana idealogi mereka yang mahukan Malaysian Malaysia lantas mana mungkin untuk meletakkan orang Melayu di tempat yang tinggi kecuali mereka ada agenda tersembunyi seperti yang telah terbongkar sekarang.
Katanya lagi, DAP mahukan orang Melayu hanya menjadi ‘pak turut’ yang boleh dicucuk hidung, suruh angguk-angguk dan suruh geleng-geleng sebagaimana yang telah berlaku dalam Kerajaan Perak semasa ditangan pembangkang dan juga di Selangor.
“Lihatlah bagaimana DAP yang tidak pernah menyuarakan sesuatu yang boleh membantu masyarakat kerana mereka tidak mahu rakyat berada dalam keadaan tenteram sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana mereka mahukan kekacauan dan kemudiannya mengguk di air keruh untuk mendapat kuasa,” katanya.
Bidasnya lagi, memang telah nyata bahawa dari awal lagi, DAP sering sahaja menafikan kebenaran dan hakikat yang dihadapi dengan memperlekeh orang lain khususnya bangsa Melayu sebagaimana tindakan mereka mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan menganggap bahawa mereka sahaja yang benar.
Katanya, rakyat perlu sedar dan menilai sendiri bagaimana tingkah DAP yang telah menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat biarpun mereka terpaksa meniru langkah BN dan UMNO sendiri.
“Tujuan DAP adalah untuk menimbulkan kekeliruan pada rakyat, menjadikan rakyat khususnya masyarakat kita yang pelbagai bangsa rasa tercabar dan marah, berlaku prasangka antara kaum dan seterusnya keamanan negara tidak terjamin tetapi ia gagal jadi mereka terpaksa merencanakan alternatif lain iaitu dengan menjadikan orang Melayu pula calon dalam parti mereka.
“Yang sedia ada pun runtuh dan yang bukan-bukan pula direncananya sedangkan untuk menjadikan sebuah negara maju seperti hari ini bukanlah dengan sekelip mata sebagaimana yang cuba dijampi pakatan campuran.”
Katanya janganlah biarkan tingkah sumbang pembangkang yang ibaratnya tikus membaiki labu melata tumbuh mengaburi rakyat. – MediaUMNO

DAP Eksploitasi Bangsa Melayu

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Tindakan DAP yang dikatakan akan meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang dilihat sebagai salah satu daripada strategi mereka untuk mendapatkan kuasa iaitu dengan cara mengeklsploitasi bangsa Melayu.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat melihat bahawa DAP melakukan satu pertentangan dengan realiti yang sering mereka lakukan sebelum ini.
“Ini adalah sebagai satu strategi bagi menarik perhatian masyarakat Melayu ke dalam dunia politik DAP itu sendiri selain cuba untuk mewujudkan persepsi bahawa DAP itu adalah parti untuk semua kaum,” katanya kepada UMNO-Online.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Zahid Hamidi telah mendedahkan bahawa DAP akan meletakkan calon Melayu bagi memastikan wakil parti itu boleh menjadi Menteri Besar jika mereka memperolehi jumlah kerusi melebihi parti lain seperti apa yang berlaku di Perak pada PRU lalu.
“Sebagaimana di Perak, DAP tidak layak untuk menjadi Menteri Besar biarpun mereka mempunyai kelebihan kerusi berbanding dengan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang kerana ia telah termaktub dalam Undang-undang Tubuh negeri itu sendiri, jadi dengan adanya wakil Melayu maka mereka akan dapat mengekalkan kuasa dalam DAP sendiri,” katanya.
Jelasnya, orang Melayu hanya menjadi mangsa dalam percaturan politik DAP dengan cara dieksploitasikan sebagaimana perancangan mereka asal saja mereka dapat kuasa.
“Ini adalah agenda ‘ada udang di sebalik mee’ kerana kalau dilihat parti-parti politik di Malaysia kebanyakannya adalah berteraskan kepada idealogi bangsa.”
Ujarnya lagi, tentunya DAP akan menafikan apa yang dibongkarkan berkaitan perancangan mereka untuk meletakkan calon menjelang PRU- 13 atas alasan keahlian dalam DAP terbuka kepada semua kaum dan mereka tidak bersifat rasis.
“Mereka tentunya tidak ada masalah untuk meletakkan kaum Melayu tetapi mereka gunakan kaedah ini untuk ubah persepsi rakyat terhadap DAP kerana selama ini parti tersebut hanya didominasi oleh bangsa lain.
“Implikasi dari perancangan mereka ini dapat dilihat bahawa DAP menggunakan bangsa Melayu dalam parti mereka kerana ada sesuatu yang lain atau sebagai batu loncatan atas apa yang mereka cita-citakan.”
Dilaporkan, DAP sedang mengenalpasti orang Melayu yang sesuai untuk dijadikan calon bagi bertanding kerusi DUN terutama di Perak, Melaka dan Negeri Sembilan, calon-calon yang dipilih itu adalah mereka yang boleh diterima orang ramai. - MediaUMNO

Anwar diperintah bela diri

KUALA LUMPUR 16 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian selepas mendapati keterangan Mohd. Saiful Bukhari boleh dipercayai, kejadian liwat itu benar-benar berlaku dan tiada apa yang disoal ketika soal balas boleh menunjukkan bahawa dakwaan liwat tidak boleh dibuktikan. - Utusan

PAS GANTI UMNO DI PERAK...KAH..KAH..KAH... MENANG PUN 6 KERUSI

Kalau bab cakap besar, serah sajalah kepada PAS. Dan kalau dengar cakap PAS, harus terbalik dunia kalau tidak pun terlungkup langit dibuatnya. Kalau tak pernah tahu politik Malaysia, kemudian bersembang pula dengan orang PAS, apa yang wujud dalam kepala selepas itu ialah, PAS sebenarnya adalah puak yang menang atau sedang diambang kemenangan.
Misbahul Munir, Setiausaha PAS Perak yang juga merupakan bekas SETPOL Nizar Jamaluddin sewaktu si meroyan itu jadi MB Perak, berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘PAS Ganti UMNO’ pada 14-15 Mei di Zon Utara Perak iaitu di Padang Rengas, dan 28-29 Mei di Zon Selatan membabitkan Pasir Salak.
Kononnya Himpunan Kebangkitan Rakyat itu adalah usaha bersungguh-sungguh PAS untuk menggantikan UMNO memerintah Perak!
Entah dari mana datangnya idea ini, Misbahul Munir yang pernah dikaitkan dengan tandatangan kompartment balak dan tanah lombong ketika Nizar Jamaluddin jadi MB dulu, bercakap seolah-olah PAS akan bertanding di kesemua kawasan yang ditandingi oleh UMNO.
Berdasarkan pilihanraya umum yang lepas, ketika PAS menaruh keyakinan, isu Anwar Ibrahim akan membuatkan mereka menang besar, PAS sekadar mampu menang 6 kerusi. Hanya kerana DAP adalah chauvinist dan calon MB DAP adalah seorang Cina, maka PAS akhirnya berjaya menumpang tuah apabila Nizar Jamaluddin yang sebelum itu bukan siapa-siapa, dilantik oleh Paduka Seri Sultan Perak sebagai Menteri Besar. Itu pun, DAP berkokok dan memulaukan majlis berkenaan membuatkan perlantikan Nizar tertangguh lebih seminggu.
Sembang PAS memang besar. PAS nak ganti UMNO. Dari 6 kerusi, PAS ingin mendapatkan 26 kerusi lagi bagi menyamai penguasaan UMNO dalam Barisan Nasional Perak.
Barangkali inilah yang dikatakan, ilmu tak cukup, amal sangat berkurang, tetapi berharap dapat masuk syurga dengan hanya berdoa dan berjuang di dalam parti.
Perkasakan PAS Perak dahulu wahai Setiausaha PAS Perk. Tak payahlah sembang besar sangat. Tak payahlah sibuk nak berslogan nak gantikan UMNO kononnya. PAS sendiri sebenarnya mampu ke tidak menepis cubaan tunjuk kuasa PKR dalam pembahagian kerusi nanti di Perak.
Yang tu jawab dulu. Selesaikan dahulu bab tu.
Tak guna kalau Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘PAS Ganti UMNO’ dibuat hari-hari dan menarik puluhan ribu orang Melayu sekalipun, tetapi akhirnya PAS tetap juga terpaksa tunduk kepada PKR sebagaimana yang berlaku di Sarawak baru-baru ini.
Apatah lagi PAS Perak sebenarnya TIDAK PERNAH ada keberanian pun untuk menyanggah DAP dan PKR… setakat beretorik seperti Negara Islam dan hudud serta qisas, mungkin PAS sangat hebat… tetapi dalam bab buat kerja, PAS yang pandai hanyalah mengutip duit derma daripada para penonton yang datang ke tapak ceramah.
PAS Ganti UMNO kononnnn… piiiiraaaahhhh… sekali kena jegil dengan Ngeh Kor Ham dan Ngah Kor Meng, tercirit-birit Misbahul Munir ni pi cari pil chi kit tek aun cap burung rajawali dan menara kuil!!!- Perak Today

PKR tolak desakan baru minta Anwar lakukan ujian poligraf

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan pihaknya tidak akan melayan desakan terbaru “Datuk T” yang mahu ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan ujian poligraf berhubung rakaman video seks yang didedahkan Mac lalu.
Sambil menyifatkan cadangan tersebut tidak perlu dilayan, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, ketiga-tiga “Datuk T” itu seharusnya didakwa di mahkamah syariah dan dikenakan hukuman qazaf kerana membuat tuduhan fitnah.
“Ini bukan soal siapa bohong siapa tidak, tetapi sepatutnya ia kena ikut hukum qazaf dan syariat Islam sebab kesalahan fitnah itu tergolong dalam hukum qazaf.
“Jadi saya ingin tegaskan kita perlu laksanakan hukum qazaf dan ikut prinsip syariat Islam yang telah ditetapkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Justeru kata Ahli Parlimen Gombak itu, pihaknya tidak akan tunduk kepada desakan terbaru yang dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.
“Kita tidak akan tunduk kepada desakan terbaru ini, ini bukan yang sepatutnya.
“Kita mahu qazaf dilakukan dan kita mahu ia dilakukan prinsip dan syariat Islam, kita juga mahu Datuk T ini didakwa di mahkamah syariah,” katanya.
Semalam Shazryl, salah seorang “Datuk T” berkata beliau bersedia untuk melakukan ujian poligraf bagi membuktikan kebenaran berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.
Bagaimanapun tegas Shazryl, Anwar yang juga Ketua Umum PKR perlu melakukan ujian poligraf selain proses itu perlu disiarkan secara langsung di televisyen.
Ini kerana beliau berkata, tujuan mengenakan dua syarat itu bagi mengelakkan sebarang penipuan dan konspirasi yang mungkin akan timbul jika ujian poligraf itu dilakukan.
Dua lagi “Datuk T”, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Jumaat lalu, Shazryl melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru al-As walaupun cuba dihalang penyokong PKR.
Terdahulu pada sidang media, Azmin mendakwa seorang pegawai kanan polis mendalangi agenda fitnah Umno terhadap Anwar dan cuba menghasut warga pendidik atas nama seminar keselamatan negara.
Jelas beliau, seminar yang diadakan di Kelantan itu dengan menggunakan tajuk “Seminar Isu-isu Keselamatan Negara Masa Kini” sebaliknya menjurus kepada isu video seks dan kes liwat Anwar.
“Saya dimaklumkan empat siri seminar ini dijalankan dengan membabitkan 2,000 pengetua dan guru-guru dari seluruh Kelantan dan setiap sekolah diwajibkan menghantar pengetua dan lapan orang guru.
“Pembentangan pegawai kanan polis ini bukan tertumpu kepada isu keselamatan negara sebaliknya menjadi ejen Umno dengan mengupas isu-isu seks dan lucah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim… pegawai kanan polis ini telah menghukum Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah sebagai peliwat dan juga pelanggan pelacur,” katanya.
Oleh demikian beliau mempersoalkan penglibatan polis dalam isu rakaman video seks dan menuntut Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail memberi jaminan badan kerajaan itu tidak disalahgunakan untuk kepentingan Umno-Barisan Nasional (BN).
“Mengapa seorang pegawai kanan polis terlibat menyampaikan ceramah politik yang mengulangi propaganda murahan Umno-BN? Bagaimana polis dapat menjalankan siasatan yang telus dan profesional dalam isu video seks jika pegawai pegawai tertinggi terlibat dalam agenda fitnah dan keji ini? Mengapakan institusi polis disalahgunakan?
“Saya menuntut ketua polis negara menjawab persoalan-persoalan ini dengan jujur agar kita dapat hentikan penyalahgunaan jentera kerajaan khususnya polis dan jabatan pendidikan untuk tujuan agenda fitnah Umno-BN,” katanya sambil menyifatkan Umno-BN semakin terdesak.- Perak Today

Pas Perlu Sedar Sandiwara Dap Dalam Pakatan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Pas perlu sedar bahawa mereka hanyalah alat dalam sandiwara politik pakatan pembangkang dengan Dap mendapat keuntungan sepenuhnya hasil daripada permainan yang direncanakan mereka iaitu memecahkan muafakat orang Melayu di negara ini.
Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata demikian dalam mengulas berkaitan pelawaan kepimpinan tertinggi UMNO terhadap Pas.
“Apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib adalah satu seruan yang sangat baik kepada Pas apatah lagi sejak kebelakangan ini terbukti hanya Dap yang mendapat untung termasuklah dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri secara terbuka telah mempelawa Pas untuk menyertai Barisan Nasional (BN) dalam usaha memperjuangan agenda bangsa, agama dan negara dan meninggalkan Dap yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
“Percaturan politik Pas perlu tepat dan betul kerana kesilapan mereka hanya akan menguntungkan pihak lain malahan mereka perlu sedar agar jangan sampai bangsa sendiri terkorban ekoran tindakan mereka yang hanya sia-sia,” jelasnya.
Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata bahawa Dap bukan hanya mempergunakan pakatan pembangkang tetapi Pas telah menjadi alat utama bagi merosakkan kesepakatan dalam bangsa Melayu yang menjadi teras dalam negara ini.
“Orang Melayu perlu terus kukuh dan berpadu kerana ini akan menyukarkan pihak lain memperkotak-katikkan ketuanan Melayu itu sendiri dan ini secara tidak langsung telah mendaulatkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dengan ketua negara ilah Yang Dipertuan Agung,” ujarnya.
Tambahnya lagi, hal-hal yang menyebabkan berlakunya golongan lain mempertikaikan ketuanan Melayu termasuk mencaci Yang Dipertuan Agung dan mempersoalkan hak bimuputera adalah kerana bangsa Melayu itu sendiri dilihat lemah oleh pihak lain.
“Pas tidak ada pilihan lain kecuali bersatu dengan UMNO demi mempertahankan kepentingan bangsa Melayu, terus memperjuangkan Islam dan demi kedaulatan tanah air sendiri.
“Di negara ini Melayu adalah Islam dan sekiranya bangsa Melayu bersatu padu maka agama Islam akan lebih mantap dengan dapat menggerakkan setiap individu bersama-sama dalam mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan berkaitan dengan orang Melayu,” katanya.
Jelasnya, inilah masanya untuk Pas belajar dari kesilapan dan membetulkan keadaan dengan melihat kepada kepentingan keseluruhan tanpa melibatkan agenda peribadi atau politik semata-mata.
“Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan masih ada masa lagi untuk Pas membuat keputusan agar martabat agama, bangsa dan negara tidak dipermainkan oleh pihak yang suka mengambil kesempatan khususnya Dap.
“Lihatlah bagaimana pentadbiran orang Melayu yang telah pun menerajui negara ini sejak merdeka 54 tahun lalu iaitu tidak menyentuh berkaitan konotasi atau rasisme langsung sebaliknya semangat kerjasama dan bersatu padu dititikberatkan.” - MediaUMNO

AS bunuh Osama bin Laden: Obama

WASHINGTON: Pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden terbunuh dalam serangan yang dilakukan tentera Amerika Syarikat (AS), kata Presiden AS, Barack Obama dalam satu pengumuman menerusi televisyen negara itu - AFP
Berita Penuh..Klik sini