Katanya, biarpun pakatan pembangkang cuba berselindung di sebalik nama-nama tertentu untuk mengadakan demonstrasi tetapi ianya tidak akan dapat disembunyikan apatah lagi telah nyata bahawa ada di kalangan ahli Parlimen pembangkang yang terang-terangan menyokong Bersih.
“Apa yang mahu dilakukan oleh mereka ini adalah salah satu cara untuk mendapatkan populariti dan pengaruh kerana mereka tahu dengan taktik demikian maka media massa akan memberi tumpaun penuh pada apa yang mereka lakukan,” terangnya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online ketika mengulas berkaitan penganjuran Bersih yang dirancang pada 9 Julai hadapan dengan dipengerusikan oleh bekas Pengerusi Bar Council, Datuk Ambiga Sreenevasan sementara Timbalannya ialah Timbalan Presiden Pas Mohamed Sabu.
“Sebenarnya demonstrasi ini digunakan oleh pembangkang sebagai cara untuk menutup kelemahan mereka sama ada dalam PKR yang dibayangi oleh kes salah laku moral Penasihatnya, Anwar Ibrahim; Pas dengan slogan Negara Berkebajikan yang ditempelak dan ditolak masyarakat manakala DAP yang tenggelam punca ekoran rasisnya mereka dalam memperkudakan bangsa Melayu sendiri.
“Apabila Bersih dilaksanakan maka harapan mereka adalah untuk mengalihkan tumpuan daripada kelemahan-kelemahan mereka yang telah ‘dilondehkan’ kepada hal berkaitan demonstrasi semata-mata,” katanya.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pembangkang tidak menggunakan kewarasan akal fikiran dalam politik sehinggakan sanggup membabitkan orang awam dan mengganggu aktiviti-aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan terbabit.
“Mereka menggunakan ‘mob politics’ dalam melaksanakan agenda mereka iaitu cuba mengaplikasikan kuasa media agar bertumpu kepada apa yang mereka lakukan; dengan berdemonstrasi maka tentunya bukan hanya media tempatan malah media asing juga akan memberikan ‘highlight’ pada mereka sedangkan agenda sebenar mereka tidak ada.”
Terangnya lagi, apa yang cuba disuarakan oleh kumpulan terbabit dengan menggunakan nama Bersih adalah sesuatu yang tidak wajar apatah lagi mereka mengaitkannya dengan pilihan raya sedangkan mereka turut mendapat manfaat daripada apa yang dilaksanakan.
“Alasan mereka kononnya kerajaan tidak mengamalkan demokrasi sedangkan realitinya demokrasi yang dilaungkan mereka diperkudakan kerana demonstrasi bukanlah satu unsur penting dalam demokrasi.
“Jika benar sepertimana dakwaan mereka kononnya pilihan raya yang dijalankan tidak telus maka ia perlu bersandarkan kepada bukti dan biarlah mahkamah yang memutuskan sama ada ia benar-benar telus dan bersih, apatah lagi pembangkang turut mendapat kuasa dan menang di beberapa negeri menerusi pilihan raya lalu,” tegasnya.
Ujar beliau lagi, demokrasi sebenar ada salurannya dan bukannya terus kepada melakukan demonstrasi jalanan yang biarpun kononnya akan dilakukan secara aman tetapi sejarah membuktikan bahawa ia akan membabitkan emosi dan pemikiran yang tidak dapat dikawal lantas menimbulkan kekacauan.
“Pakatan pembangkang sebenarnya sengaja mencabar kerajaan untuk melakukan tindakan pada mereka setelah pelbagai usaha untuk ‘memerangkap’ dan menjatuhkan BN tidak berjaya lantas dengan demonstrasi tentunya mereka boleh melakukan manipulasi kononnya kerajaan zalim apabila ada tindakan-tindakan berlandaskan keselamatan dibuat.
“Inilah taktik kotor mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan sedangkan realitinya mereka perlu memikirkan keselamatan awam dan nama baik negara,” tegasnya lagi. – MediaUMNO.