SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Mat Sabu & The Gang Kaki Kelentong…. Putar Alam!!

Pakar kelentong, kaki temberang dan putar alam…. mungkin ini kesimpulan yang boleh dibuat selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan rakaman video situasi sebenar perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu bagi menangkis tohmahan terhadap pasukan tersebut.
Dalam rakaman selama 1 jam 30 minit itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid memberi taklimat kepada media dan beberapa NGO berhubung beberapa kejadian yang telah diputar belitkan oleh pihak tertentu dengan tujuan mencemarkan imej PDRM.
Antaranya mengenai tohmahan melibatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa dirinya dilanggar kenderaan polis, tindakan provokasi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua terhadap pihak polis dan peristiwa tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin.
Turut ditayangkan situasi melibatkan peserta perhimpunan, Allahyarham Baharudin Ahmad, 59, yang didakwa meninggal dunia kerana sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata dan rakaman mengenai peserta perhimpunan Bersih, Shuhardi Md. Isa yang didakwa sebagai Baharudin.
Dalam kes melibatkan Mohamad Sabu, rakaman video menunjukkan peta perjalanan Timbalan Presiden Pas itu yang membonceng sebuah motosikal bersama seorang lelaki menggunakan Jalan Maharajalela dari Mandarin Court ke lokasi kejadian di kawasan perumahan Sri Bukit Persekutuan, di sini.
Ia memaparkan motosikal yang dinaiki Mohamad Sabu tidak dilanggar oleh kenderaan polis seperti mana didakwa oleh beliau, sebaliknya beliau terjatuh sendiri selepas membuat pusingan U di kawasan tersebut.
Salleh berkata, hasil siasatan menunjukkan Mat Sabu terjatuh selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan di sebelah kanan jalan.
“Hasil pemeriksaan kesihatan menunjukkan tiada kecederaan serius disebabkan kemalangan dan beliau hanya mendapat rawatan pesakit luar,” katanya ketika menyampaikan taklimat tersebut di Dewan Teater Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Khamis.
Salleh memberitahu, pihaknya sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Shuhardi Md. Isa dipercayai peserta utama yang bertindak membangkitkan provokasi terhadap polis ketika perhimpunan haram itu.
Beliau berkata, terdapat empat tindakan provokasi Shuhardi yang berjaya dirakam pihak polis iaitu mengadakan solat di tengah Jalan Pudu, mengarahkan peserta-peserta perhimpunan supaya duduk dengan dialog “polis tidak datang kita gagal, jika tidak datang kita gagal”, mara ke arah polis ketika diarahkan bersurai dan berlakon sesak nafas yang telah dimanipulasi pihak tertentu sebagai Baharudin.
Tohmahan berhubung kematian Baharudin pula jelas ditunjukkan menerusi rakaman video di bangunan Avenue-K ketika Allahyarham berlari memasuki bangunan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada hari kejadian pada pukul 4.30 petang.
Rakaman itu turut menunjukkan sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.07 petang untuk membawa Allahyarham ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), selepas pihak kecemasan menerima panggilan kira-kira 17 minit sebelum itu.
Menurut Salleh, rakaman dari menara KLCC dan Avenue-K menunjukkan tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Allahyarham meninggal dunia, sebaliknya bantuan awal diberi anggota polis bantuan.
“Hasil bedah siasat menunjukkan Allahyarham tidak mengalami sebarang kecederaan di luaran atau dalaman seperti lebam, calar atau luka serta menjelaskan kematiannya mempunyai kaitan dengan serangan jantung.
“Berikutan itu, ia jelas menafikan tohmahan Allahyarham meninggal dunia akibat dipukul polis dan terkena gas pemedih mata,” katanya lagi.
Dalam kejadian sebenar di Hospital Tung Shin, Salleh berkata, pihaknya mengakui gas pemedih mata dilepaskan bagaimanapun ia dilakukan di lorong tengah antara sebuah bangunan kosong dan hospital berkenaan.
Mengenai situasi di Stesen KL Sentral yang melibatkan Tian Chua, beliau berkata, polis telah mengeluarkan sembilan kali amaran supaya penunjuk perasaan bersurai tetapi mereka berdegil dan terus melakukan provokasi.
”Rakaman video menunjukkan aksi-aksi provokasi Tian Chua terhadap pihak polis,” katanya.
Secara keseluruhan, Salleh menegaskan, tiada sebarang kecederaan serius atau kematian yang dikaitkan secara langsung pada hari perhimpunan haram.
Rakaman itu turut menunjukkan layanan baik polis terhadap pemimpin Bersih termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Zulkifli Ahmad dan Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga,
Sehubungan itu, beliau menasihati mana-mana pihak agar tidak memuat naik sebarang bahan atau artikel yang tidak menggambarkan situasi atau fakta sebenar perhimpunan haram berkenaan.
“Pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyiarkan laporan dan dakwaan palsu.
“Jika terdapat rakaman yang menunjukkan pihak polis melakukan tindakan menyalahi SOP, sila tampil membuat laporan polis dan kita akan siasat. Mana-mana anggota atau pegawai yang melanggar SOP akan dikenakan tindakan sewajarnya,” kata beliau. - UMNO Online

Dari Reformasi Ke Revolusi, Anwar Cuba ‘Mentalibankan’ Malaysia

Tindakan Anwar Ibrahim yang sejak kebelakangan ini mengajak rakyat melakukan revolusi setelah reformasi yang sebelum ini dilaungkan gagal diterjemah adalah salah satu cubaannya untuk membawa Malaysia ke arah kehancuran dan ‘mentalibankan’ rakyat khususnya orang Melayu.
Pengalisis politik tempatan, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussein menyifatkan Anwar adalah seorang pembohong yang penuh dengan kepura-puraan dan sanggup menjerumuskan bangsa dan negaranya sendiri ke lembah kebinasaan.
“Idea revolusi ini adalah manifestasi daripada kehabisan taktik politik setelah pelbagai cara dan kaedah yang sebelum ini diaplikasikan gagal untuk mendapat perhatian dari rakyat,”.
Ujarnya, semasa penubuhan PKR dahulu Anwar melaungkan reformasi dan mengajak rakyat berdemonstrasi tetapi kerajaan dapat membanterasnya maka sekarang taktik sedemikian dilakukan tetapi mengubah kepada revolusi pula.
“Tingkah laku Anwar sekarang sudah tidak karuan ibarat ‘cacing kepanasan’ sehinggakan tergamak melaungkan revolusi yang sepatutnya tidak disebut pun dalam konteks negara demokrasi, masyarakat yang aman dan sejahtera seperti Malaysia hari ini.”
Katanya, laungan revolusi yang dikemukakan Anwar adalah antara taktiknya bagi mengalih perhatian rakyat daripada tertumpu kepada masalah salah laku dan kes mahkamah yang masih berlarutan sehingga kini.
“Revolusi yang dilaungkan Anwar ini adalah satu tuntutan perubahan secara cepat yang menggunakan kekerasan sama ada manusia dan juga senjata bagi menjatuhkan Raja atau kerajaan yang ada sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.
“Kita pernah melaungkan revolusi iaitu revolusi mental yang meminta rakyat melakukan perubahan dengan cepat dari sudut minda dan pemikiran iaitu daripada lembap dan mundur kepada mental yang maju dan berpandangan jauh. Ia berbeza dengan revolusi yang dilaungkan oleh Anwar kerana revolusi yang Anwar mahukan membawa kehancuran,” katanya.
Terangnya, apa yang berlaku di negara-negara luar tidak boleh disamakan dengan Malaysia apatah lagi Timur Tengah yang kebanyakan negaranya tidak ada sistem demokrasi sebaliknya kebanyakan negaranya dipimpin secara diktator.
“Jangan tiru apa yang berlaku di negara luar sama ada di Mesir atau di Medan Tahrir kerana kebobrokan yang berlaku di negara-negara lain tidak sama dengan apa yang berlaku di Malaysia. Rakyat di sana cukup melarat dengan kesusahan bukan saja untuk mendapat kemudahan asas tetapi juga peluang pekerjaan.
“Saya yakin rakyat Malaysia bukan bodoh sehinggakan mahu menyahut seruan revolusi yang dilaungkan Anwar apatah lagi dengan kemakmuran sekarang yang mahu ditukarkan dengan senjata dan pertumpahan darah.”
Tambahnya, rakyat tahu revolusi tidak sesuai dipergunakan di Malaysia malahan Indonesia yang pernah bangkit menerusi revolusi juga tidak mahu lagi mempergunakannya kerana mereka sedar dengan revolusi lalu negara mereka telah ketinggalan lebih 60 tahun ke belakang berbanding Malaysia sendiri. -MediaUMNO

Mat Sabu ditimpa bala kerana kedegilannya

Mat Sabu berkerusi roda raih simpati

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semalam cuba menarik perhatian pemberita dan simpati orang ramai apabila hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan memakai kain pelikat dan berkerusi roda.

Beliau yang ditemani Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan timbalannya, Khalid Abdul Samad hadir jam 1.30 tengah hari sebelum memanggil pemberita untuk sidang media di lobi DUN.
Pada sidang media yang turut ditemani beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang lain, Mohamad sempat ketawa di depan pemberita sebelum mendakwa cedera ligamen kaki kanan apabila dirempuh kenderaan ketika menunggang motosikal, Sabtu lalu. 

“Pasukan keselamatan merempuh dengan kenderaan ketika menunggang motosikal ketika saya menyertai (perhimpunan haram) BERSIH Sabtu lalu. 

“Polis bertindak kasar dalam perhimpunan itu sehingga saya cedera. Polis sudah jadi samseng bukan menjaga keamanan dan apa yang berlaku menunjukkan tahap keselamatan paling memalukan," katanya. 

Mohamad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan mendapatkan rawatan lanjut dengan menjalani pembedahan untuk memasukkan plat besi pada kakinya. 

Mohamad antara pemimpin pakatan pembangkang yang ditahan ketika menyertai perhimpunan haram BERSIH di ibu negara Sabtu lalu.- BHarian

Klik tajuk Dilanggar Trak : Mat Sabu Cemerlang Belajar Ilmu Temberang Anwar

Bernama nafi hantar SMS mengenai pembubaran Parlimen

KUALA LUMPUR: Bernama hari ini menafikan penghantaran teks pesanan kononnya mengenai pembubaran Parlimen pada Isnin ini.
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong berkata: "Kami kesal kerana beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengambil jalan keluar dengan menggunakan SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk memanipulasi minda rakyat dengan matlamat mewujudkan keadaan huru-hara dan kekeliruan sambil merancang niat tersembunyi mereka."
"Teknologi mempunyai dua maksud dan adalah lebih baik untuk menggunakannya dengan bijaksana. Ini bukanlah kali pertama pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas saluran penyebaran yang meluas dan nama baik Bernama," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
"Kami menggesa mereka yang telahpun menerima SMS kononnya mengaitkan Perdana Menteri dengan dakwaan pembubaran Parlimen pada Isnin ini supaya mengabaikannya sama sekali," katanya.
Yong berkata, Bernama akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebar SMS palsu dan melampau itu. - BERNAMA

Demonstrasi Bersih : Biarkan Mereka Seperti “Anjing Menyalak Bukit”

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan rakyat khususnya ahli-ahli parti agar jangan terpedaya dan terjebak dalam segala bentuk demonstrasi yang hendak dijalankan oleh mana-mana pihak sekalipun apatah lagi terlibat dalam kelompok Bersih.
Katanya, rakyat dan ahli-ahli UMNO tidak perlu mencampuri hal-hal Bersih yang didalangi pembangkang mereka malah usah peduli dan jangan hiraukan apa yang mereka mahu lakukan sebagaimana mereka yang akhirnya akan jadi seperti ‘anjing menyalak bukit’.
“Kerajaan telah putuskan bahawa demonstrasi yang hendak dilaksanakan oleh puak Bersih 2 ini tidak diberi kebenaran dan juga pertubuhan mereka adalah pertubuhan haram dan jangan kita terikut-ikut dengan apa yang telah digembar-gemburkan dalam ‘sms blasting’ yang mereka laksanakan dan juga dalam blog-blog yang mereka kuasai,” katanya.
Tegasnya, kaedah bermuzakarah sentiasa dilaksanakan dengan mereka dan yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersetuju bertemu mereka atas kapasiti rakyat Malaysia.
“Walaupun Baginda Tuanku tahu bahawa mereka ini adalah pertubuhan yang tidak sah tetapi Tuanku beri peluang kerana mereka ini adalah rakyat Malaysia tetapi mereka mengambil kesempatan dan juga mereka membuat pelbagai andaian, pelbagai cerita yang disebarkan melalui SMS dan blog mereka dengan mengatakan bahawa Tuanku kononnya bersimpati terhadap apa yang mereka hendak perjuangkan.
“Inilah persepsi-persepsi yang mereka bawa sedangkan niat mereka mahu lakukan demonstrasi oleh kerana barangkali mereka telah mendapat imbuhan atau ada pihak ketiga yang menjadikan mereka sebagai ‘wayang kulit’ dengan watak ‘wak dogol’ yang dipergunakan oleh orang luar ini bagi memastikan Malaysia kucar-kacir sebagaimana suasana di Timur Tengah.”
Ujarnya lagi, rakyat Malaysia sentiasa inginkan sebuah negara yang aman, sejahtera dan makmur serta sentiasa bersatu dalam kepelbagaian termasuk usaha menentang segala anasir yang hendak mengkucar-kacirkan negara.
“Sepertimana yang telah dinyatakan dalam akhbar-akhbar hari ini jelas menunjukkan bahawa ada pihak yang ketiga masih lagi mendesak golongan Bersih ini untuk mengadakan demonstrasi, barangkali mereka telah termakan budi atau juga imbuhan dan kewangan sehingga mereka sanggup melaksanakannya.”
“Pada pandangan saya, tidak ada masalah dengan apa yang mereka tuntut iaitu kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus sedangkan jika benar SPR tidak telus, maka saya ingin bertanya sekali lagi biarpun sudah berulang kali pertanyaan ini dikemukakan iaitu bagaimana pembangkang boleh menang sehingga empat negeri; Kelantan 20 tahun memerintah dan mereka mempunyai ramai wakil rakyat di Parlimen,” katanya.
Tambah beliau, persoalannya kalau mereka mengatakan SPR tidak telus jadi kita mintalah mereka bubarkan Dewan Undangan Negeri yang mereka kuasai dan ahli-ahli Parlimen pembangkang perlu meletak jawatan sebagai anggota Parlimen.
“Jika benar seperti mana dakwaan mereka maka bermakna bahawa mereka menang dengan cara tak sah dan kalau mereka katakan bahawa SPR ini tidak telus bermakna mereka ini tidak mengikut sebagaimana norma-norma sebagai sebuah negara demokrasi.
“Kita mesti sedar bahawa demokrasi ada baik dan tidak baik iaitu yang tidak baiknya ialah akan ada individu mempergunakan perkataan demokrasi untuk kepentingan diri masing-masing sebagaimana dilaksanakan oleh Bersih sedangkan dengan berpandu kepada demokrasi inilah maka Malaysia dapat menjadi negara yang dikagumi seperti hari ini,” ujarnya. - MediaUMNO

Bara Gelombang Merah : 2,800 Ahli Pas Sertai UMNO

PASIR PUTEH, 2 Julai – Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat Kelantan kini mula kembali menyokong Barisan Nasional (BN) setelah 2,800 ahli Pas menyertai UMNO di daerah Pasir Puteh.
Beliau berkata penyertaan mereka membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Pas semakin berkurangan.
Katanya keyakinan itu juga bersandarkan seramai lebih 20,000 rakyat hadir pada majlis perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik, di sini.
“Seramai 2,800 ahli tinggalkan Pas dan pengundi Pasir Puteh sudah hilang keyakinan kepada Pas,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama rakyat itu, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Bekas anggota Pas berkenaan turut hadir pada majlis itu.
Najib berkata antara ahli-ahli Pas yang menyertai UMNO itu ialah saudara kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu, Raja Abdullah Raja Mahmud.
Perdana Menteri turut meminta Raja Abdullah naik ke pentas bagi hadirin mengenalinya, yang disambut dengan sorakan para hadirin beserta laungan dan teriakan “Gelombang Merah”, iaitu gelombang perubahan untuk rakyat, cetusan UMNO Kelantan.
Ketika ditemui pemberita Raja Abdullah, 57, berkata beliau sudah serik ditipu kepimpinan Pas kerana tidak pernah tetap pendirian dalam perjuangan parti.
“Kalau dahulu, Pas kata wanita tidak boleh dicalonkan kerana ia bercanggah dengan Islam tetapi kini Pas membenarkannya demi perjuangan Islam,” kata bapa kepada 11 orang anak itu.
Beliau juga kesal apabila Pas sebelum ini menolak kerjasama dengan orang bukan Islam kerana kerjasama itu bercanggah dengan agama seperti yang dilakukan oleh BN dengan membentuk kerjasama dengan parti kaum Cina, MCA dan kaum India, MIC.
“Sekarang atas alasan untuk menjelaskan Islam, kini golongan yang Pas panggil  ‘kafir’ itu (dan) kerjasama dengan bukan Islam dibenarkan iaitu dengan DAP,” kata bekas tentera itu yang mengakui beliau tidak pernah mengundi UMNO-Barisan Nasional kerana menyokong Pas sepenuh hati sebelum ini.
Keyakinan Raja Abdullah terhadap Pas hilang apabila parti itu meninggalkan penubuhan negara Islam dan memperjuangkan negara berkebajikan yang jelas membuktikan Pas mudah tunduk kepada DAP.
Ditanya apakah pertalian saudara antara beliau dengan Mursyidul Am Pas itu, Raja Abdullah berkata : “Ayah saya saudara rapat kepada Nik Abdul Aziz kerana kami berketurunan Raja Jembal, iaitu keturunan kerabat Raja Kelantan lama yang banyak menggunakan Nik dalam nama keluarga.”-UMNO Online

Demo Aman Menentang Bersih di Ipoh