Tahniah dan syabas di atas pengakuan Exco Kerajaan Kedah PAS yang mengakui bahawa pusat-pusat hiburan termasuk rumah urut memang bercambah di Alor Setar, Sungai Petani dan beberapa bandar di Kedah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir merakamkan ucapan tahniah kepada slogan Negara Berkebajikan dan Kedah Sejahtera kerana mungkin atas berkat kedua-dua slogan ini telah melahirkan lebih banyak pusat hiburan dan rumah urut semenjak tiga tahun yang lalu.
Apa pun, pertambahan mendadak pusat-pusat hiburan di sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan beberapa bandar di Kedah ketika ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan bagi sesebuah kerajaan yang melaungkan slogan seperti ini.
“Persoalannya, kenapa pentadbiran PAS hanya mengakui wujudnya pusat-pusat hiburan yang disyaki menawarkan khidmat tidak bermoral, setelah ianya didedahkan kepada pengetahuan umum? Apakah PAS akan mendiamkan saja isu ini dari pengetahuan rakyat Kedah yang majoritinya Melayu-Islam, jika tiada pihak yang mendedahkannya?
“Walaupun wakil Kerajaan PAS memberi alasan pusat hiburan ini tidak berlesen, ianya tidak sekali-kali melepaskan mereka dari tanggungjawab bagi membanteras kegiatan kotor ini. Kenapa tindakan tidak diambil terhadap pusat-pusat hiburan yang tidak berlesen? Ke mana hilangnya sistem penguatkuasaan Majlis Kerajaan Tempatan di bawah pentadbir PAS hingga sesiapa juga bebas untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral secara haram ini?,”
Ujar beliau lagi, persoalan yang lebih menimbulkan kemusykilan kita ialah, apakah faktor yang menyumbang di sebalik kegagalan pemimpin PAS untuk membendung pertumbuhan pusat-pusat hiburan ini, sehingga mereka dilihat seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk mengekang gejala ini dari berleluasa?
Lebih menarik lagi ialah, apabila rakyat melihat bagaimana gelagat tokoh PAS Kedah tarik brek kecemasan dan “go-stan” keputusan awal mereka yang tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan, setelah menerima tekanan DAP yang turut disokong oleh PKR. Pernahkah para pemimpin atasan PAS merujuk kepada ahli akar umbinya dalam perkara ini?
”Saya tidak percaya penyokong PAS yang alim akan menerima penjelasan dan justifikasi pemimpin atasan mereka dalam isu ini. Adakah kebenaran “flip-flop” ini dikhususkan hanya untuk pelanggan bukan Islam? Melihat kepada percambahan ketara pusat hiburan yang paling dibenci oleh PAS sewaktu partinya memperjuangkan hukum Islam, ia seolah-olah menggambarkan penduduk bukan Islam telah bertambah berkali ganda sejak Kedah ditadbir di bawah PAS, walaupun ini sebenarnya tidak berlaku.
“Adakah pakatan ‘Three Stooges’ DAP-PKR-PAS berpendirian begini kerana mereka memikirkan bahawa budaya melanggan rumah-rumah urut, beli arak, berjudi dan lain-lain kerja tidak bermoral ini memang menjadi budaya penganut bukan Islam? Dan, adakah kegiatan ini dianggap suatu hak keistimewaan yang tidak boleh ditarik balik?,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerlun. Baca seterusnya
sini