Pas kini ini dilihat sudah kehabisan modal untuk disogokkan kepada masyarakat dalam usaha mengekalkan populariti parti itu setelah melihat Model Negara Berkebajikan tidak mampu untuk melonjakkan sokongan terhadap mereka.
Bekas AJK Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ghazali Ahmad berkata atas dasar itu, Pas terpaksa menggali semula isu Hudud dalam usaha mengekalkan momentum mereka untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.
Soal beliau apakah Pas sedar atau tidak, hudud tidak lagi berada di dalam perjuangan Pas kerana mereka telah menukar konsep perjuangan kepada Negara Berkebajikan baru-baru ini dan perkara itu perlu difahami oleh kepimpinan Pas hari ini.
“Pelaksanaan Hudud itu di atas dasar Negara Islam..Tetapi hari ini bukankah Pas dah tukar kepada Negara Berkebajikan. Sepatutnya isu itu tidak timbul lagi.
“Apa yang patut diutarakan oleh Pas hari ini ialah bagaimana mahu melaksanakan konsep Negara Berkebajikan itu. Apa ciri-ciri serta pelbagai aspek lain yang perlu diberi penekanan. Mungkin mereka menyesal dengan menukar kepada konsep baru yang menyebabkan mereka hilang modal politik,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Kemelut pelaksanaan Hudud timbul kembali hari ini dengan masing-masing mula membidas antara satu sama lain dan kepimpinan pakatan pembangkang dilaporkan menutup isu ini sehinggalah pendirian bersama dicapai 28 September.
Mengulas lebih lanjut, Datuk Ghazali seterusnya menegaskan Pas dan DAP hanya bersandiwara antara satu sama lain kerana mereka hanya mahukan populariti dan bukannya ikhlas dalam memperjuangkan yang diwar-warkan.
“Percayalah Pas dengan agendanya dan DAP pula dengan agendanya…Masing-masing hanya berlakon untuk memastikan undi mereka tidak lari.
“Kita jangan terperangkap dengan mainan politik lama Pas yang hanya menggunakan hudud untuk kepentingan politik mereka. Berhati-hati dalam mebuat kenyataan kerana dikhuatiri akan termasuk di dalam perangkap yang dipasang oleh Pas dan kuncu-kuncunya.
“Namun apa pun saya percaya Pas akan terjerat dengan isu ini dan akan mencari pihak lain untuk dijadikan kambing hitam. Tunggu dan lihatlah episod seterusnya nanti, ” katanya. -MediaUMNO








