SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Cubaan Berunsur Hasutan Jika Pertikai Perkara 153

KUALA LUMPUR, 29 Dis. – Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun membidas mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan Perkara 153 yang termaktub Perlembagaan Persekutuan sebagai bahan perbincangan.
“Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk ‘entrenched’ yang mana ianya adalah salah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional (NECF), Reverend Dr. Eu Hong Seng ketika berucap pada majlis minum teh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dipetik sebagai berkata, Perkara 153 adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan.
“Apabila beliau memperkatakan tentang hal tersebut ia adalah satu cubaan lemah yang dibuat untuk menggoncangkan kembali kekeliruan dan persefahaman yang wujud selama ini.
“Apabila ada pihak yang memperkatakan tentang Perkara 153, maka ia adalah antara unsur hasutan yang dilakukan bagi mewujudkan ketegangan di kalangan satu-satu kaum dalam negara ini,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya lagi, Perkara153 tersebut adalah tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu hak orang Melayu sama ada berkenaan dengan permit dan juga perkhidmatan; termasuk di dalamnya biasiswa dan sebagainya, adalah hak yang telah dilindungi termaktub.
“Seperti mana yang telah ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu bahawa Perkara 153 tidak boleh diperbincangkan lagi kerana ia telah terpatri mati dan tidak boleh dipertikaikan.”
Selaras dengan itu, beliau menggesa mana-mana pihak agar tampil dan membuat laporan polis berhubung tindakan segelintir individu yang masih terus cuba menjadikan Perkara 153 sebagai bahan perbincangan berbaur hasutan.
“Maka dengan ini satu laporan polis yang mengatakan bahawasanya satu kenyataan berbentuk hasutan telah pun dilakukan iaitu di bawah Akta Hasutan 1948 dan sekiranya wujud bukti-bukti maka ia boleh dibuat pendakwaan di mahkamah.” – MediaUMNO


Pas Kini ‘Pak Turut’ Perjuangan DAP, Gadaikan Perjuangan Islam !

Kebergantungan Pas kepada DAP demi memulihkan imej ekstrem dan pelampau parti itu dari kaca mata bukan Melayu ternyata berjaya, tetapi ia dilaksanakan dengan harga yang cukup mahal iaitu dengan mengorbankan dasar perjuangan parti sendiri.
Pengakuan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad bahawa parti itu banyak bergantung kepada DAP bukan sahaja mengesahkan Pas kini ‘pak turut’ tetapi terhutang budi kepada DAP.
Sebab itu kepimpinan Pas hari ini sanggup menukar perjuangan menubuhkan negara Islam kepada negara kebajikan, berdiam diri dalam soal murtad serta tidak berani menyokong Himpunan Sejuta Umat (Himpun) walaupun perhimpunan itu dilakukan demi menyelamat akidah orang Islam.
Pas bukan sahaja tidak layak mendakwa parti itu bakal menggantikan UMNO bagi memayungi kepentingan orang Melayu, malah tidak lagi relevan untuk menggelar parti tersebut sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan agama Islam.
Pengakuan Khalid itu hanya mengesahkan segala kebimbangan orang Melayu selama ini kerana apabila Pas berkerjasama dengan DAP, parti ini bukan sahaja terhutang budi tetapi sanggup menggadai segala dasar demi menjaga hati DAP, makna kata yang mengatur Pas adalah DAP.
Sebaliknya DAP walaupun Pas sendiri banyak membantu dan bersungguh mahu memulihkan imej cauvinis tetapi mereka tidak menggadaikan dasar parti. DAP tetap dengan dasar cauvinis dan sentiasa lantang memperjuang kepentingan orang Cina serta lantang menolak negara Islam.
Pas pula hanya ghairah mengejar undi bukan Melayu tetapi mereka lupa orang Melayu kini kecewa dan mula menolak parti Pas. Malah pemimpin kanan mereka sendiri mengkritik perkara ini secara terbuka.
Hakikat Khalid mengakui Pas banyak bergantung kepada DAP dalam usaha membantu memulihkan imej parti itu daripada label ekstremis serta pelampau khususnya di kalangan bukan Melayu bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya jelas membuktikan betapa Pas terikat dengan DAP .
Apa yang dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dam Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa adalah tepat kerana Pas kini jauh tersasar.
Hasan menyatakan pandangan berbeza secara tegas membuktikan beliau seorang pemimpin yang ikhlas dan benar-benar berjuang demi Islam serta bukan kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon sebagaimana didakwa Pas Selangor.
Alasan kecewa tidak disenarai alasan lapuk dan ia langsung tidak terpakai ke atas Hasan. Beliau bangkit berjuang bukan kerana pangkat dan darjat tetapi kerana beliau seorang pemimpin yang objektif serta berprinsip, beliau tidak rela Pas dan Islam ditunggang oleh DAP.

  -DATUK MOHD NAKHAIE AHMAD, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia
Bekas Naib Presiden Pas

42 Anggota Parti PAS Bakau Tua Sertai UMNO

Sebanyak 42 anggota PAS di Bakau Tua di sini bertindak keluar dari parti itu dan menyertai Umno selepas kecewa dengan perjuangan PAS yang didakwa semakin tidak menentu setelah bekerjasama dengan DAP.
Mereka mendakwa sepanjang parti itu bekerjasama dengan DAP di Pulau Pinang tiada sebarang perubahan besar dilakukan selain hanya menjadi pengikut DAP sahaja.
Kumpulan itu yang diwakili Muhamad Subhi Yakcob, 50, menyerahkan borang keanggotaan untuk menyertai Umno kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga Datuk Azhar Ibrahim pada satu majlis ringkas di sini.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno.
“Kami juga mengambil keputusan keluar dari PAS adalah demi agama, bangsa dan ingin menyandarkan harapan baru kepada Umno serta Barisan Nasional (BN),” kata Muhamad Subhi kepada pemberita selepas majlis itu.
Beliau berkata tindakan mereka itu juga bukan desakan daripada mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan sendiri. – MediaUMNO


Gambar...klik sini

Pas Sanggup Akomodatif Idealogi Sendiri Demi Perjuangan DAP

Pas bukanlah parti yang mampu memberikan sepenuh komitmen terhadap perjuangan demi agama, bangsa dan negara sebaliknya mereka lebih akomodatif dengan pandangan, tuntutan dan pendapat rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang khususnya DAP.

Penganalisis politik tempatan Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein melihat kemelut dalaman Pas yang semakin terserlah sejak kebelakangan ini bukanlah satu isu besar sebaliknya ia adalah kesan daripada masalah peribadi dalam keanggotaan Pas sebagaimana yang dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Apa yang dinyatakan oleh Hassan Ali adalah berkaitan masalah peribadinya sendiri yang tidak berpuas hati apatah lagi dengan kecenderungannya yang menggunakan politik sebagai tempat ‘cari makan’.

Ujar beliau, Pas sememangnya telah berubah apabila tidak lagi selantang dulu dalam hal-hal membabitkan pendirian dan idealoginya tentang Islam apatah lagi setelah membentuk perikatan dengan pakatan pembangkang.

“Bukan hanya para pemerhati politik atau para pemimpin tetapi juga anggota-anggota Pas sendiri turut mempertikaikan berkaitan sejauhmana idealogi parti terbabit yang menggunakan Islam dalam pendekatannya berpolitik.



“Ramai melihat Pas dan kepimpinan tertingginya seolah-olah takut dan tidak berpendirian kerana mereka hanya berani bersuara apabila tidak bersama dalam pakatan pembangkang sedangkan apabila mereka diberi kata dua atau ada pendapat yang tak selari dengan Islam maka tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan apatah lagi apabila berdepan dengan pemimpin DAP sebagaimana Karpal Singh maka tidak ada ketegasan tentang Islam dibuat.”

Ujar beliau, apa yang dinyatakan oleh Hasan Ali adalah satu kebiasaan sebagaimana sikapnya yang mahu menunjukkan prestasi dan popularitinya apatah lagi setelah mengetahui bahawa dirinya tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.

“Semua orang sedia maklum berkaitan Pas dan bagaimana pendirian mereka yang seringkali menjanjikan pelbagai kata-kata manis tapi itu semua adatlah kerana belum mendapat kuasa sedangkan apabila diberi mandat telah terbukti tidak ada apa yang boleh dilakukan.”

Tambah beliau lagi, kenyataan dan kritikan Hassan Ali yang dibuat secara terbuka sebenarnya bukan saja menunjukkan kepincangan dalaman Pas tetapi lebih dari itu ia juga telah membuktikan siapa sebenarnya Hassan Ali.

“Hassan Ali bukan pemimpin utama Pas, bukan Presiden atau Mursyidul Amnya yang boleh menyuarakan berkaitan pendirian dan idealogi parti apatah lagi dia sendiri menganggotai Pas hanya pada tahun 1999 sedangkan Presiden dan Mursyidul Amnya telah berpuluh tahun menjadi anggotanya.

“Yang benar-benar riuh adalah Hassan Ali kerana semakin dipinggirkan sedangkan apa yang diperkatakannya tidak mendatangkan kesan atau mampu berubah dengan pendirian Pas yang semakin akomodatif dengan DAP.”MediaUMNO


130 Anggota PKR Permatang Pauh Sertai Umno

BUKIT MERTAJAM, 21 Dis (Bernama) -- Seramai 130 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Parlimen Permatang Pauh Rabu bertindak keluar parti itu dan menyertai Umno setelah kecewa dan hilang kepercayaan dengan kepimpinan PKR.

Kumpulan itu menyerahkan borang keanggotaan untuk menyertai Umno kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dalam satu majlis di Kampung Tanah Liat Mukim 9, di sini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Ketua Cawangan PKR Tanah Liat sebelum ini Abdul Wahab Rahman,70, berkata mereka terpaksa meninggalkan parti yang sekian lama disanjung itu setelah mula melihat kepincangan dalam PKR.

"Sudah lama saya fikir dan perhatikan perjalanan PKR dan selepas 11 tahun ditubuhkan ia kini sudah tidak lagi relevan.

"Mereka (pemimpin PKR) langsung tidak pedulikan masalah rakyat terutama kami di sini, jadi saya rasakan sudah tiba masanya kami berubah haluan dan kembali kepada perjuangan Umno," katanya kepada pemberita.

Mohd Nasir Yob, 40, yang mewakili ranting PKR Bukit Berangan berkata mereka juga sepakat untuk keluar PKR selepas kecewa dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti Datuk Mansor Othman yang didakwa mengabaikan rakyat di Bukit Berangan.

Katanya selepas hampir empat tahun menjadi Adun Penanti, tiada apa yang disumbangkan wakil rakyat itu sama ada daripada segi kebajikan mahupun infrastruktur kepada penduduk, menyebabkan mereka putus asa dan mengambil keputusan menyertai Umno.

Zainal Abidin yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata pihaknya dengan hati terbuka menerima kemasukan bekas anggota PKR itu ke dalam Umno.

-- BERNAMA

PRU 13 Penentu Nasib Agama Bangsa Tanahair

Pilihan raya umum (PRU) kali ini menjadi penentu apakah yang akan berlaku kepada nasib bangsa, agama dan tanahair bumi tercinta ini. Adakah orang Melayu akan terus layu di tanah air sendiri atau berdiri gagah laksana pahlawan terbilang.
Ambil iktibar PRU lepas, bagaimana nasib orang Melayu ketika BN mengalami kemerosotan paling teruk dalam sejarahnya dan Pakatan pembangkang berjaya menawan 4 negeri.
Pada ketika itu, undi bukan Melayu menjadi kuasa penentu, sebab undi Melayu terbahagi sama rata antara BN dan pakatan pembangkang.
Maka bermula pru 12 banyak usaha dilakukan untuk mendapat undi bukan Melayu. Orang bukan Melayu dianggap berkuasa sebab mereka “king maker” di dalam PRU lepas.
Bermula di Selangor, penternakan babi terbesar diusahakan di Sepang, tempat di mana ramai penduduknya orang-orang Melayu.
Gereja dan kuil dibina walaupun berdekatan dengan pkawasan penempatan orang Melayu. Demikian juga di Pulau Pinang, harga tanah dinaikan sehingga orang Melayu yang sebelum ini mampu tinggal di situ, berpindah keluar dari Pulau Pinang.
Di Perak pula sebelum peralihan kuasa berlaku, usaha dilakukan pakatan pembangkang yang kuasanya dipegang DAP supaya tanah-tanah pajakan 999 tahun diberikan kepada orang bukan Melayu!
PAS juga tanpa rasa berdosa terus tukar matlamat dari perjuangan negara Islam kepada sebuah negara kebajikan. Segala-galanya perjuangan yang berbau Islam digugurkan demi menjaga hati dan perasaan DAP. Malah Pas kini lebih DAP daripada DAP sehingga ada yang kata Pas itu biro agama Dap.
Bukan itu sahaja, pihak tertentu yang kebetulan terdiri dari orang bukan Melayu mempersoalkan wujudkah kontral sosial itu?
Kontrak sosial yang dimaksudkan ialah orang bukan Melayu diberi hak warga negara dan menjadi rakyat negara ini dan sebagai balasan hak-hak istimewa orang Melayu dipertahankan.
Kontrak ini telah tersimpul rapi dalam perlembagaan waima Pakatan menang pun tidak dapat diubah. Sedarlah orang bukan Melayu yang cuba bermain api.
Pada ketika itu, orang bukan Melayu begitu lantang bersuara tentang hak-hak mereka. Tentunya penguasaan mereka dalam ekonomi dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan tidak boleh disentuh sama sekali.
Tetapi hak-hak orang Melayu mereka mahu. Bak kata orang sekarang “What is mine is mine, what is yours is mine”.
Demikianlah nasib orang Melayu selepas kemerosotan teruk BN pada PRU lepas. Terasa hina dan kerdilnya orang Melayu ketika itu. Kerana taksub dengan parti masing-masing, orang Melayu berpecah, sehingga yang menjadi tuan sebenar di negeri orang Melayu ialah orang bukan Melayu.
Pilihanraya-pilihanraya kecil yang ada selepas PRU lepas, menunjukan orang bukan Melayu cuba menunjukan “kuasa” mereka dengan mengundi Pakatan. Akan tetapi orang Melayu yang mula sedar hak mereka semakin terhakis telah mula kembali kepada BN. Maka yang memenangkan BN di pilihanraya kecil selama ini ialah orang Melayu.
Jelas di awal kepimpinan Dato’ Seri Najib, pelbagai usaha dilakukan untuk orang bukan Melayu undi BN semula.
Bagi orang bukan Melayu, mereka masih di awang-awangan bahawa mereka masih ‘king maker”. Sebab itu mereka undi Pakatan. Akan tetapi jangkaan mereka silap, kerana orang Melayu telah mula sedar dan kembali bersatu. Apabila orang Melayu bersatu, hancur punahlah kuasa undi orang bukan Melayu.
Sekarang ini, pada PRU akan datang, jika orang bukan Melayu masih terus mahu undi Pakatan, mereka bakal menghadapi masalah sekiranya BN menjadi kerajaan tetapi MCA dan Gerakan kalah semua kerusi yang ditandingi mereka.
MCA telah bersumpah tidak akan menyertai kerajaan jika gagal mendapat mandat dari pengundi bukan Melayu.
Ada kemungkinan, apa yang menimpa Sarawak di mana semua kerusi kawasan bumiputra dimenangi BN dan semua kerusi bukan bumiputra dikuasa pembangkang, akan terjadi di PRU akan datang jika orang bukan Melayu masih terus mengundi Pakatan. Dengan ini, orang bukan Melayu berdepan situasi mereka tiada wakil dalam kerajaan.
Orang Melayu juga kena fikir sebaik-baiknya siapa mereka akan undi, tersilap langkah, agama, bangsa tanahair terjual.
HAJI Z
KUALA LUMPUR

Tolak Kepimpinan Pembangkang, Rakyat Perlu Buka Mata

Rakyat perlu membuka mata dan menolak kepimpinan pembangkang yang diyakini akan ‘merosakkan’ negara jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. 

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, ini berdasarkan sikap beberapa pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah banyak menipu rakyat termasuk dirinya.


”Selama 12 tahun saya bersama dan menjadi penyokong kuat beliau, selama itulah saya kena tipu (dalam banyak perkara). Kes liwat, 16 September dan janjinya kepada beberapa pemimpin pembangkang untuk ditabal sebagai Timbalan Perdana Menteri, semuanya itu membuka mata saya.
”Paling ketara, semuanya bermula pada 8 Mac kerana Mohd. Saiful Bukhari Azlan,” katanya ketika berucap sempena program Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita BN Selangor di pejabat UMNO Bahagian Ampang
Zulkifli berkata, oleh itu, UMNO dan BN perlu memantapkan jentera parti bagi menghadapi ‘peperangan’ PRU13.
”Kena yakinkan jentera. Jika jentera tidak yakin, ia akan jadi lemah apatah lagi jika tidak tahu menjawab serangan.
”Situasinya kini, kebenaran yang berterabur (berselerak) akan kalah dengan batil yang tersusun. Kita di pihak benar tetapi kita berterabur. Patutnya kita yang menyerang sebab kita ada banyak peluru,” tegasnya.
Terdahulu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman dalam ceramah berasingan berkata, kelemahan jentera BN ketika ini adalah kegagalan pemimpinnya dalam mengorek isu-isu berkaitan pemimpin PKR.
”Mereka (pemimpin PKR) jauh lebih teruk. Malangnya, kita (BN) tak korek isu-isu mereka. Jadi, persepsi rakyat khususnya orang muda seperti saya, PKR itu okay. Kita juga terlepas pandang orang muda.
”Mereka cukup penting. Gunakan segala kemudahan yang ada seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), blog, emel untuk salurkan segala maklumat aktiviti kita. Kita juga perlu ada ilmu untuk ‘berperang’,” tegasnya.
Muhamad Rahimi kemudiannya menggunakan platform di majlis itu untuk menceritakan perkara sebenar mengenai apa yang beliau tahu tentang ‘wajah sebenar’ Anwar sepanjang berkhidmat dengan Ketua Pembangkang itu.

Pembangkang Serang Peribadi Bukti Makin Terdesak Raih Undi - Zaim Abu Hasan

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (gambar) berkata, pakatan pembangkang dilihat semakin aktif mengadakan ceramah di negeri Perak kerana menyedari Pilihan Raya Umum (PRU) 13 sudah semakin hampir.

Namun, apa yang dikesalkan katanya, intipati ceramah pakatan pembangkang yang diadakan menyerang peribadi pemimpin UMNO termasuklah menyerang peribadi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Selain itu, isu pemberian wang bantuan RM500 turut menjadi mangsa fitnah mereka.
“Kami UMNO Bahagian Parit sentiasa memantau secara dekat setiap isu yang dibangkitkan di dalam ceramah pakatan pembangkang. Namun apa yang saya kesalkan apabila mereka menyerang peribadi orang termasuklah Datin Sri Rosmah Mansor. Mereka menfitnah kononnya isteri Perdana Menteri itu membeli pakaian dalam berharga RM25 juta.
“Saya kesal dengan cara mereka untuk mempengaruhi rakyat semata-mata untuk meraih undi. Seharusnya mereka membentangkan perancangan mereka untuk membela nasinb rakyat dan membangunkan Negara. Bukannya menabur fitnah. Nampak sangat mereka ini sudah ketandusan isu untuk mencari kelemahan UMNO,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Menurut Zaim, UMNO bahagian Parit sendiri akan sentiasa memberikan perhatian terhadap segala tohmahan yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang menerusi ceramah-ceramah mereka. Melalui program-program yang diaturkan, UMNO akan terus menjawab dan memberi penerangan terhadap segala isu fitnah yang dibangkitkan oleh pakatan pembangkang termasuklah isu pemberian wang bantuan RM500.
“Saya amat yakin, rakyat sekarang amat bijak dan tahu membezakan kebenaran dan fitnah. Dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, sudah pasti rakyat sedar betapa kerajaan sentiasa berusaha membantu meringankan masalah rakyat.
“Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah pembangkang kerana mereka hanya mahu memperolehi kuasa dan bukannya membela nasib rakyat. Rakyat khususnya di Parlimen Parit harus bijak mentafsir segala perangkap busuk pembangkang demi meraih undi. Disebabkan terdesak kerana PRU 13 semakin hampir, mereka sanggup menggunakan cara kotor semata-mata untuk mempengaruhi rakyat.
“Ini bukan budaya UMNO. UMNO dan BN menunjukkan kerihatinan kita kepada rakyat dengan cara yang betul. Sebab itulah rakyat boleh melihat segala janji yang telah kita buat, ditunaikan dengan baik. Kita tidak hanya membela nasib rakyat di waktu musim pilihan raya tetapi kita membela nasib rakat sepanjang masa,” terangnya lagi.
Ketika ditanya mengenai gerak kerja untuk menghadapi PRU, Zaim menjelaskan, setiap cawangan telah diarahkan untuk mewujudkan bilik gerakan malah dalam masa terdekat ini, peruntukan akan diberikan termasuk bendera dan keperluan lain untuk memastikan bilik gerakan diadakan.
“Saya yakin, UMNO akan terus bertapak dan menjadi pemerintah di negeri Perak. Pakatan pembangkang hanya boleh terus berangan untuk merampas negeri ini. Kami tidak akan benarkan Perak dikuasai oleh mereka,” jelas Zaim seterusnya. -MediaUMNO

Tidak Letak Hudud Dalam Manifesto, Sah!! DAP Kiblat Baru Pas

Hukum hudud hanyalah gimik politik Pas yang sememangnya telah diguna pakai oleh parti tersebut sejak dari awal penubuhan mereka sebagai tarikan kepada orang Islam sendiri bagi memberikan sokongan kepada parti terbabit.
Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Madya Datuk Dr. Baharudin Putih berkata  situasi Pas dalam pakatan pembangkang sekarang dilihat sudah semakin kendur ekoran ketidakmampuan mereka mempertahankan hudud apatah lagi untuk dimuatkan dalam manifesto pembangkang.
“Dulu mereka menyebut tentang hudud untuk tarik undi dari orang-orang Melayu kerana waktu itu mereka tidak menyangka akan dapat mentadbir negeri dan hari ini apabila mereka ada dalam pakatan pembangkang maka mereka menjadi serba salah,” 
Jelas beliau, para pemimpin Pas sudah serba salah lantaran sekiranya hukum dudud tidak disebut sebagai salah satu daripada gimik politik mereka khususnya dalam sesi ceramah maka tentunya pengundi Melayu tidak akan memberikan sokongan kepada mereka kerana telah terbukti itu satu penipuan.
“Begitu juga sekiranya hukum hudud terus dimainkan dalam polemik ceramah politik mereka lantaran hari ini mereka dalam pakatan pembangkang maka tentunya undi rakyat terhadap pakatan tersebut juga dikhuatiri berkurang kerana keinginan untuk melaksanakan hudud.
“Ini ditambah lagi dengan tentangan yang dibuat terang-terangan oleh pemimpin DAP yang sememangnya menolak pelaksanaan hukum hudud apatah lagi untuk dimasukkan dalam manifesto pakatan pembangkang, maka jadilah hari ini Pas seakan parti caca merba yang tidak ada pendirian dan semakin hilang keyakinan pada ideologi sendiri,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menempelak pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang seringkali menggunakan hudud sebagai salah satu alat bagi menarik undi orang Melayu kononnya atas nama Islam.
“Dalam dunia hari ini, negara Islam manakah yang benar-benar melaksanakan hukum hudud secara total waima Arab Saudi juga amat jarang sekali mempraktikkannya dalam pentadbiran mereka.
“Inilah sebenarnya pemalsuan tentang Islam yang dilakukan oleh Pas iaitu menggunakan hudud sebagai cara menunjukkan keseluruhan Islam sedangkan sebenarnya ia adalah gimik atau sandiiwara dalam lakonan politik demi kepentingan mereka semata-mata.”
Tegasnya lagi, sekiranya benar Pas adalah sebuah parti politik yang berjuang demi menegakkan hukum Islam maka kenapa tidak saja tinggalkan perjuangan dalam pakatan pembangkang yang menolak pelaksanaan negara Islam dan kemudiannya bergabung bersama UMNO atas nama perpaduan bangsa Melayu.
“Fikirkanlah apa peranan DAP dalam pakatan pembangkang yang sehingga hari ini dilihat semakin menjinakkan Pas dalam urusan-urusan berkaitan Islam sehinggakan idealoginya juga boleh diubah begitu saja.
“Bayangkanlah, adakah parti sedemikian yang mahu diletakkan sebagai jaminan untuk masa depan negara dan generasi akan datang sedangkan parti terbabit tidak pernah memikirkan sesuatu yang terbaik buat rakyat.”
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa rakyat memikirkan kembali peranan UMNO yang sentiasa berusaha memperjuangkan agama, bangsa dan negara sehinggakan Malaysia dikenali dan dikagumi dimata dunia.
“Gambaran kepimpinan bangsa Melayu dengan Islam sebagai agama rasmi Malaysia telah terkenal di peringkat antarabangsa sehinggakan bukan hanya negara-negara Islam termasuk di Timur Tengah kagum malahan negara-negara maju seperti Amerika, Britain, Jepun dan China hormat dan menjadikan negara kita sebagai model contoh yang sentiasa dalam perhatian mereka.
“Janganlah kita mahu menjadikan bangsa kita sebagai korban kerana kerakusan terhadap kuasa dan politik serta mempraktikkan Islam dengan fikiran jumud yang akhirnya akan merugikan bangsa kita sendiri ekoran tiada perpaduan dan berpecah-belah.” MediaUMNO

Rakyat Perlu Terus Sokong Kerajaan BN – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR 11 Nov – Rakyat perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia telah membuktikan kemampuannya dalam memenuhi keperluan rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan BN memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum sejak dari zaman selepas merdeka lagi.
“Apa sebabnya kita nak tukar kepada parti lain? Ada orang suruh tukar sebab kononnya BN ini jahat, pencuri, penyangak, korupsi dan sebagainya tetapi mereka (parti lain) belum diuji macam kita (BN).
Ada pepatah Inggeris kata, kita jangan sesekali cuba baiki sesuatu perkara yang sudah berjalan dengan baik kerana kalau salah baiki, nanti lain jadinya. Begitu juga dengan sokongan kepada BN… dasar pemerintahan BN yang seimbang untuk semua kaum dilihat sudah cukup baik.
“Jadi tidak perlulah tukar kepada kerajaan yang belum tentu lagi mampu membela nasib rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Umno bahagian Ampang di Dewan Datuk Setia Mufti Suib hari ini.
Dr Mahathir berkata rakyat perlu memberi sokongan berterusan kepada BN kerana ia dapat membantu dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan mampu berkhidmat demi kebaikan seluruh rakyat serta membina negara yang berjaya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, beliau berkata akta itu diwujudkan demi menjaga kepentingan pelajar Melayu.
“Pada zaman itu, lebih ramai pelajar Melayu yang aktif berpolitik berbanding kaum lain. Akta itu diwujudkan untuk memastikan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran, dan seterusnya berjaya.
“Orang Melayu, sudahlah tidak ramai yang terpelajar, bila masuk universiti sibuk berpolitik pula, bila masa nak belajar? Saya sendiri aktif berpolitik masa muda dulu, tapi apabila melanjutkan pelajaran, saya tinggalkan dunia politik hampir enam tahun dan belajar sahaja,” katanya.
Pada 24 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan meminda AUKU bagi membenarkan mahasiswa menjadi anggota parti politik.

Perhimpunan Agung UMNO 2011 Capai Objektif – Najib

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2011, yang berakhir hari ini, mencapai empat objektif yang ditetapkan dan meletakkan anggota parti dalam keadaan siapsiaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dalam ucapan penggulungannya, Perdana Menteri berkata para perwakilan telah mengarap dengan baik empat objektif yang ditetapkan beliau pada permulaan perhimpunan itu.
Objektif pertama ialah beliau mahukan perhimpunan itu menggambarkan UMNO satu parti yang ampuh dan bersatu serta menyakinkan berjuta rakyat dan pengundi bahawa UMNO adalah sebuah keluarga dan sebuah organisasi politik serta teras politik tanah air dalam keadaan kukuh dan padu.
Objektif kedua pula, beliau mahukan perhimpunan itu membuktikan UMNO sebagai sebuah parti bermaruah dan berada dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.
“Objektif ketiga, saya ingin supaya melalui perhimpunan ini kerajaan mendapat sokongan gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai pelan transformasi nasional,” katanya.
Katanya tujuan perhimpunan itu juga adalah bagi mendapat mandat sepenuhnya daripada perwakilan untuk menjayakan pelan transformasi berkenaan.
Dalam objektif keempatnya, beliau mahukan perhimpunan itu menjadi pengisian dan memberi isyarat serta mesej yang jelas bahawa 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyatMalaysiaboleh meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara dan rakyatnya ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Najib berkata perhimpunan kali ini juga telah mencipta satu sejarah apabila ia diakhiri dengan satu ikrar atau bai’ah yang diketuai oleh timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk sumpah setia dan taat kepada parti dan pemimpin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kekalahan UMNO pada pilihan raya lepas adalah disebabkan oleh anggota yang mengkhianati parti.
“Seperti yang disebut dalam ucapan Muhyiddin, kita perlu ada semangat berpasukan sebab bila kita analisa kekalahan dulu (pilihan raya umum 2008) kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati partinya sendiri, betul tak?”, kata beliau dan disambut laungan daripada semua perwakilan dan pemerhati yang mengiyakan kata-katanya itu .
Beliau berkata jika semua anggota UMNO taat dan setia kepada parti, BN akan menang pada bila-bila masa kerana kekuatan dan perpaduan anggotanya.
“Bila balik ke kawasan kelak, janganlah meluat tengok muka Ketua Bahagian dan Ketua Bahagian pun bila tengok muka timbalannya, jangan pula ingat dia nak ambil jawatan ketua bahagian,” katanya.
Najib berkata semua anggota parti haruslah insaf dan sedar bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana jika UMNO tewas dan tersungkur, maruah agama dan bangsa juga turut binasa.
“Ini tanda transformasi besar parti telah bermula, pada detik saat ini, ketika bersejarah ini dalam dewan ini, ambillah seruan Allah (swt).
“Hendaklah kita bersiap sedia dengan segala kekuatan yang ada, lengkap diri masing-masing,  turun kemedanjuang sebagai satu saf yang padu, pasukan yang kukuh, barisan yang kuat dan jemaah yang ampuh”, katanya.-UMNO Online