10.2.12

Sokong Israel : Anwar Gagal Buktikan Beliau Bukan Kaki Putar Belit

KUALA LUMPUR 9 Feb – Apa yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membuat kenyataan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel baru-baru ini, adalah bukti  jelas sikap pemimpin pembangkang itu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politiknya.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai seorang yang tidak berpendirian kerana boleh berubah bila-bila masa untuk kepentingan peribadi sedangkan suatu ketika dahulu beliau antara pemimpin yang menentang penjajahan Israel di Palestin.
 “Orang seperti ini yang hendak kita pilih untuk jadi pemimpin , pemimpin yang tidak punyai pendirian, sanggup lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita peribadi, tidak tahulah apa akan terjadi kepada negara ini jika dia menjadi pemimpinnya.
“Dahulu, Anwarlah antara pemimpin NGO  yang lantang mengutuk Israel, malah ketika dalam kerajaan, dia turut mengutuk negara zionis itu, tapi sekarang semua sudah berubah hanya untuk kepentingan politik,” katanya.
Sehingga kini, masih tiada penjelasan yang dibuat oleh Anwar berhubung perkara itu, malah mengatakan perkara itu diputar belit oleh pihak media untuk mencemarkan namanya dan dijadikan modal politik oleh musuh-musuhnya.
Hamidah berkata, rakyat perlu sedar dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Anwar, ini bukanlah pertama kali dia membuat kenyataan kontroversi , apa yang menarik kenyataan sebegini dibuat ketika berada di luar negara.
“Anwar menggunakan pentas di luar negara untuk membuat kenyataan sebegitu, tetapi bila berceramah di sini, lain pula nadanya, pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Barisan Nasional dan UMNO.
“Walaupun ada beberapa pemimpin pembangkang yang tidak bersetuju dengan Anwar, namun sehingga kini tiada sebarang komen atau ulasan yang didengari dari pemimpin utama Pas dan PKR berhubung itu,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku itu jelas menunjukkan pendirian serta sikap pemimpin pembangkang, mereka hanya memikirkan kepentingan  peribadi.  -MediaUMNO

0 ulasan:

Post a Comment