SALAM PERJUANGAN

TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH BLOG YEOP PARIT. KAMI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Kit Siang patut jadi Presiden Pas

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.
Sehubungan itu beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.
“Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.
“Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan rombongan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Umno menegaskan, sekarang pemimpin bukan Islam belajar mengenai agama Islam antaranya boleh memberikan syarahan dengan menggunakan ayat al-Quran.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan Pas bersedia menerima seorang Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Dzulkefly berkata, dalam Islam terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah. Contoh perkara yang boleh berubah ialah perkara politik.
Ditanya mengenai kenyataan Dzulkefly, perpecahan Melayu memberikan hikmah, Mahathir menegaskan perpecahan baik untuk Pas.
“Saya sokong, Pas mesti berpecah. Sudah cukup Melayu berpecah, kita pecah semua parti.
“Pas patut berpecah lagi,” katanya.
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, perpecahan undi di kalangan Melayu dilihat sebagai satu kebaikan dan hikmah malah mampu menjadikan rakyat di negara ini matang dalam membuat pemilihan terbaik pada pilihan raya umum.
Menurutnya, sebelum ini, rata-rata pemimpin politik dan penganalisis mendakwa orang Melayu sudah berpecah kepada tiga kumpulan sejak selepas pilihan raya umum 2008. - Sinar Harian

Isu Israel : Majlis Syura Ulama Pas Tidak Berani Lagi Buka Mulut

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Yusof Hussein percaya bukan setakat sehari, seminggu atau sebulan, malah Majlis Syura Ulama Pas akan terus berdiam diri berhubung sokongan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel seperti yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
Menurut beliau hakikatnya secara tidak langsung isu berkenaan menunjukkan bagaimana betapa kuatnya pengaruh Ketua Pembangkang berkenaan di dalam Pas sepertimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak.
“Justeru saya tidak nampak Majlis Syura Ulama Pas akan membuka mulut selepas keputusan  sebulat suara memberi kata dua kepada Anwar baru-baru ini supaya menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman WSJ bagi membuktikan bahawa beliau tidak menyokong negara berkenaan.
“Ini sekaligus menunjukkan kata dua sebelum ini hanyalah sekadar melepaskan batuk ditangga. Yerlah…paling kurang pun kenalah bersuara takut nanti dipandang tidak manis oleh penyokongnya.
“Mungkin dengan cara itu, mereka ingin tunjukkan kepada penyokong dan ahli serta rakyat negara ini bahawa Pas tidak akan berkompromi dalam isu Israel ini. Sepatutnya kena ada kenyataan lanjut dan bukannya sekadar itu sahaja,“ katanya kepada UMNO-Online.
Sehingga ke hari ini, Majlis Syura Ulama Pas masih menyepi berhubung  tindakan Anwar yang tidak akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung kenyataannya mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel sebagaimana disiarkan pada 26 Januari lalu meskipun Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini menggesa Ketua Pembangkang itu berbuat demikian jika kenyataannya diputar-belitkan oleh media berkenaan.
Anwar mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendengar dan memahami penjelasannya dalam pertemuan selama satu jam baru-baru ini.
Malah Anwar berkata WSJ tidak melakukan kesalahan kerana ia turut menyiarkan kenyataannya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh rejim zionis dalam memenuhi aspirasi rakyat Palestin.
Sambil melahirkan rasa sedihnya terhadap sikap Majlis Syura Ulama Pas itu, Dr Yusof seterusnya menegaskan badan berkenaan perlu tegas dalam usaha mengikis sebagai sebuah parti “pak turut“ di dalam pakatan pembangkang.
Katanya sampai bilakah mereka akan digelar sedemikian dan itu adalah peluang terbaik Pas untuk membuktikan kepada umum bahawa Anwar tidak ada pengaruh tersendiri di dalam parti berkenaan selain menangkis gelaran “pak turut“.
“Jika inilah tindak-tanduk kepimpinan tertinggi Pas, percayalah Anwar akan rasa lebih segala-galanya dan beliau akan merasakan lebih kuat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,“ katanya. -MediaUMNO

Jangan Sokong Parti Banyak Masalah

PENDANG, 25 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat perlu bijak memilih parti yang mementingkan rakyat dan bukannya parti yang banyak masalah.

Perdana Menteri meminta rakyat tidak memberi sokongan kepada parti yang banyak masalah seperti mempunyai ideologi bertentangan.

"Ada kata itu, ada kata ini. Ada yang sokong Israel dan ada yang banyak masalah peribadi. Kita tak boleh pakai parti banyak masalah ini," katanya pada Karnival Kasih Perdana Menteri Bersama Masyarakat Siam Kedah dan Perlis di Wat Nanai, Kampung Tok Set dekat sini Sabtu.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Anggota Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam Senator Boon Som Inong.

Najib berkata rakyat perlu menyokong Barisan Nasional (BN) kerana BN adalah kerajaan yang membela rakyat.

"Kita tak main politik. Kita tak janji bulan, bintang dan cakerawala. Kita tak janji tetapi kita buat. Kita dah buat sejak tiga tahun ini... beri kita lima tahun lagi dan kita akan ubah landskap sosio-ekonomi negara ini.

"Kita akan capai wawasan kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Tapi untuk laksanakannya kita perlukan sokongan rakyat," tegas Perdana Menteri.

-- BERNAMA

Isu Israel : PAS Seperti “Tupai Membaiki Labu”.


Jelas isu sokong keselamatan Israel makin celaru dan terbelit-belit.  Pas yang kononnya cuba menyelamatkan keadaan sudah seperti “tupai membaiki labu”.
Pertemuan dua mata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz baru-baru ini menimbulkan tanda tanya sama ada Nik Aziz faham, puas hati atau menyokong tindakan songsang Anwar itu.
Nik Aziz sekadar memaklumkan beliau faham dengan penjelasan Anwar. Apakah yang dimaksudkan faham bagi Datuk Nik Aziz? Kami sebagai rakyat terutama beragama Islam masih lagi keliru dan bertambah serabut. Rakyat tidak sama sekali menyokong perbuatannya, lantaran itu sebagai pemimpin parti beliau tidak sewajarnya bertindak sedemikian untuk menarik perhatian dan sokongan negara haram Israel itu.
Faham bukan noktah atas pertemuan Anwar bersama Nik Aziz, kami sebagai rakyat mahukan penjelasan dan kenyataan yang memuaskan hati kerana ianya membabitkan maruah, agama dan bangsa.
Biarpun Pas sekadar akur dan faham dengan tindakan Anwar, kami masih tidak puas hati kenyataan Anwar menyokong negara haram itu.  Pas perlu tampil dengan alasan yang munasabah kerana “Faham” dengan penjelasan Anwar. Kami mahukan penjelasan yang benar. Usah jadi seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Tetapi hakikatnya beliau sendiri tidak betul.
Sedarlah bahawa tidak semua rakyat buta mata, buta hati, buta telinga dengan putar belit Anwar. Tindakan Pas belum tentu dapat menyelamatkan Anwar kerana rakyat sendiri boleh menilai siapa yang sedang “putar belit” pemikiran rakyat.
Berjuanglah dijalan benar.
Julie, Gombak

Dr. Hassan Ali Akan Gegarkan Manjung

Bai'ah Pas Adalah Bai'ah Palsu

KOTA BHARU 23 Feb. - Tokoh agama yang juga pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah menyifatkan, bai'ah Pas adalah bai'ah palsu dan sekiranya dilanggar tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
Beliau berkata, ini kerana bai'ah itu hanya bermotifkan politik dan dilakukan kerana pemimpin Pas takut kehilangan kuasa apabila ada dalam kalangan wakil rakyat mereka berkemungkinan lompat parti selepas pilihan raya umum nanti.
Katanya, Pas kini semakin tertekan melihat sokongan rakyat semakin meningkat kepada UMNO yang dilihat lebih komited dalam menegak dan mempertahankan kedudukan agama Islam di negara ini.
"Mereka membuat bai'ah kerana menganggap mereka betul dan benar. Bai'ah Pas bai'ah palsu dan kata-kata celaka dunia akhirat sekiranya melanggar adalah kata-kata kosong, tidak memudaratkan dan tidak perlu gusar.
"Pas membuat bai'ah kerana mereka tertekan sokongan terhadap UMNO semakin gagah (kuat) dan Pas takut UMNO menang, maka akan ada wakil rakyat Pas lompat parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, benar bai'ah dibenarkan dalam Islam dan para sahabat Rasulullah SAW juga pernah berbai'ah kepada nabi kerana baginda jelas memperjuangkan kemuliaan agama Islam.
"Apa yang perlu dibuat ialah Pas dan UMNO kena berbai'ah untuk mempertahankan kemuliaan Islam dan orang Islam," katanya.- Utusan

Rakyat Beri Isyarat Untuk Kembali Sokong BN


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata BN yakin untuk menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang ekoran berlakunya gelombang kesedaran baru di kalangan rakyat yang kembali menyokong gagasan itu.
 Katanya antara petanda gelombang baru kesedaran itu ialah rakyat sering bertanya bilakah pilihan raya umum kerana mereka tidak sabar untuk memberi undi kepada BN.

"Gelombang kesedaran baru sudah ada dan rakyat mahu masa depan yang lebih terjamin, sokongan dari kaum India, Cina dan Melayu kepada BN kini semakin meningkat, lebih kukuh dan lebih baik," katanya pada majlis kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, Balik Pulau di sini hari ini.

Muhyiddin berkata asas kepada gelombang kesedaran itu ialah rakyat telah mula menyambut baik pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghargai pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya BN bertindak untuk kepentingan rakyat bagi jangka panjang dan mengambil perhatian keperluan rakyat. - BERNAMA- 18 Feb. 2012

Sokong Israel : Anwar Gagal Buktikan Beliau Bukan Kaki Putar Belit

KUALA LUMPUR 9 Feb – Apa yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membuat kenyataan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel baru-baru ini, adalah bukti  jelas sikap pemimpin pembangkang itu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politiknya.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai seorang yang tidak berpendirian kerana boleh berubah bila-bila masa untuk kepentingan peribadi sedangkan suatu ketika dahulu beliau antara pemimpin yang menentang penjajahan Israel di Palestin.
 “Orang seperti ini yang hendak kita pilih untuk jadi pemimpin , pemimpin yang tidak punyai pendirian, sanggup lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita peribadi, tidak tahulah apa akan terjadi kepada negara ini jika dia menjadi pemimpinnya.
“Dahulu, Anwarlah antara pemimpin NGO  yang lantang mengutuk Israel, malah ketika dalam kerajaan, dia turut mengutuk negara zionis itu, tapi sekarang semua sudah berubah hanya untuk kepentingan politik,” katanya.
Sehingga kini, masih tiada penjelasan yang dibuat oleh Anwar berhubung perkara itu, malah mengatakan perkara itu diputar belit oleh pihak media untuk mencemarkan namanya dan dijadikan modal politik oleh musuh-musuhnya.
Hamidah berkata, rakyat perlu sedar dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Anwar, ini bukanlah pertama kali dia membuat kenyataan kontroversi , apa yang menarik kenyataan sebegini dibuat ketika berada di luar negara.
“Anwar menggunakan pentas di luar negara untuk membuat kenyataan sebegitu, tetapi bila berceramah di sini, lain pula nadanya, pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Barisan Nasional dan UMNO.
“Walaupun ada beberapa pemimpin pembangkang yang tidak bersetuju dengan Anwar, namun sehingga kini tiada sebarang komen atau ulasan yang didengari dari pemimpin utama Pas dan PKR berhubung itu,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku itu jelas menunjukkan pendirian serta sikap pemimpin pembangkang, mereka hanya memikirkan kepentingan  peribadi.  -MediaUMNO

Tolak Pembangkang, Selamatkan MALAYSIA !!



AYUH … SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA PEMBANGKANG. TOLAK PEMBANGKANG DALAM PRU -13 SEBELUM MALAYSIA HANCUR MUSNAH. PERCAYALAH, PEMBANGKANG WAJIB DITOLAK KERANA MEREKA…

1.   Merelakan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain, khususnya agama Kristian untuk  membantu dakwah mereka kepada orang Islam.

2.  Merelakan Islam disamatarafkan dengan agama lain atau mempromosi pemikiran pluralisma Islam.

3.  Menentang sebarang perpaduan sesama Muslim demi menolak sebarang usaha untuk menjaga dan mempertahankan akidah umat Islam dan kepentingan Islam di negara ini.

4.   Mengagung-agungkan penjenayah dan pengganas komunis sebagai hero.

5.   Menyamakan tokoh-tokoh mereka dengan tokoh-tokoh Islam yang lampau dan akan datang demi mengaburi/mengelirukan umat dan demi politik.

6.   Memandang sinis usaha membenteras gejala murtad, seperti yang dilakukan JAIS di bawah kerajaan negeri Selangor terhadap DUMC, walaupun usaha berkenaan dilakukan oleh pihak-pihak mereka sendiri.

7.   Mengakui memperjuangkan Islam, tetapi sedikit demi sedikit pihak yang menyokong ulama diketepikan dan mengangkat orang yang kurang akhlaknya seperti Mat Sabu sebagai pemimpin mereka.

8. Mengharap situasi huru hara dan ketidakstabilan seperti di Timur Tengah berlaku di Malaysia bagi membuka peluang mereka untuk merampas kuasa secara haram.

9.   Mendapat kuasa lebih penting dari kesusahan yang bakal dihadapi oleh rakyat jelata.

10. Melakukan sabotaj sekerap mungkin tanpa mengira mahu mengurangkan beban hidup rakyat.

11. Menyetujui hak-hak kebebasan beragama dalam kalangan umat Islam disekat seperti melarang bacaan Al Quran menggunakan pembesar suara, mempertikaikan ibadat qurban dalam kalangan umat Islam

12. Mempergunakan mahasiswa yang belum matang dan mudah ditipu helah untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan negara.

13.Mempergunakan sistem perundangan untuk kepentingan politik melalui majlis-majlis dan badan-badan tertentu dengan pembohongan mengenai mempertahankan hak asasi manusia.

14. Jika sistem perundangan tidak menyebelahi mereka, mereka akan tuduh sistem berkenaan tidak adil dan mengheret kes ke kancah jalanan.

15. Meneruskan kesanggupan untuk guling di jalan bagi menentang pemerintahan yang sekarang ini yang ditunjangi oleh orang Islam. Ketika diberi peluang memerintah di peringkat negeri sahaja, tidak menunjukkan kemampuan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

16. Dan terkini, beria-ia meruntuhkan Madrasah yang terletak di atas tanah wakaf khas tanpa sebab melainkan untuk kepentingan komersil kroni Lim Guan Eng sedangkan rumah ibadat lain di sekitarnya naik dengan megahnya.

Dan banyak lagi yang akan menyusul……….

Sumber...MyKMU

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Ng. Perak, di Parit

Lebih 3,000 rakyat jelata di sekitar kawasan Parit tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Bainun meraikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak, pagi ini.
Keberangkatan Tuanku turut diiringi oleh Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Besar, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama ke majlis berkenaan adalah Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Turut memeriahkan majlis, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Maulidur Rasul kali ini disambut di perkarangan Masjid Raudhatul Mardhiah yang terletak di pekan Parit.
Sultan Perak dalam titahnya menasihati pemimpin negeri supaya tidak mementingkan kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok dalam pemerintahan.
Baginda bertitah, sikap pemimpin yang sedemikian akan menunjukkan imej buruk selain menyebabkan kemiskinan ummah menjadi lebih teruk.
“Kekayaan material yang diperolehi secara mendadak lagi mencurigakan akan melahirkan individu kaya yang palsu dan bersifat sementara,” titah Baginda lagi.
Titahnya, harta material yang diperoleh tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani boleh dianggap sebagai kekayaan palsu yang hanya akan melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah dan pembaziran semata-mata.
“Disebabkan perilaku yang sedemikian, maka berlakulah ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, kadar pengangguran, penghijrahan, penyeludupan dan jenayah yang tinggi dituruti pula dengan pelbagai penyakit sosial.
“Perkara itu akhirnya akan menjejaskan ketenteraman awam selain menggugat kestabilan politik serta meningkatkan perbelanjaan keselamatan dan pertahanan negara.
“Akibatnya ummah akan bertambah derita kerana telah terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan,” titah Sultan Azlan lagi.
Baginda bertitah lagi, kesejahteraan sesuatu bangsa dan sebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin.
“Sekiranya khazanah negara diurus secara telus, sumber negara diagih secara saksama dan kekayaan negara tidak dibazirkan sekiranya pemimpin mengutamakan kepentingan majoriti ummah.
“Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya pemusatan himpunan kekayaan secara melampau di kalangan kumpulan kecil tertentu hingga mengakibatkan menjelma secara mendadak individu yang terlalu kaya bagai pulau-pulau kecil yang terapung di tengah-tengah lautan kemiskinan.
“Setiap usaha untuk membina kekayaan ummah perlu dilaksanakan berasaskan saluran yang halal bersandarkan formula kesaksamaan bagi menjamin kesejahteraan majoriti umat Islam secara menyeluruh,” titah Baginda lagi. --Perak Today