Pas seharusnya mempunyai pendirian berhubung amalan Lesbian, Gay,
Biseksual dan Transgender (LGBT) yang sedang hangat diperkatakan kerana
parti itu mendakwa perjuangan mereka adalah berlandaskan agama.
Pensyarah dan Penganalisa Politik UKM, Prof Madya Dr Samsul Abadi
Mamat berkata dalam setiap parti mereka mempunyai prinsip dan perjuangan
mereka dan perlu ada pendirian terutama membabitkan sesuatu yang
sensitif.
“Di manakah pendirian Pas mengenai LGBT, mereka seharusnya mempunyai
pendirian berhubung perkara itu, Pas tidak boleh berdiam diri, LGBT
adalah isu membabitkan akidah dan sudah seharusnya Pas mempunyai
pendirian kerana Islam menjadi asas perjuangan kepada parti itu.
“Ini bukan masalah peribadi tetap masalah kepada seluruh rakyat dan
perlu dibendung supaya tidak terus berleluasa, mereka tidak boleh
menyatakan kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
berhubung isu berkenaan sebagai kenyataan peribadi.
“Apakah Pas sanggup mengenepikan prinsip dan perjuangan hanya untuk
kepentingan politik demi untuk mendapatkan sokongan dan menjaga hubungan
dengan parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengeulas kenyataan Naib
Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bahawa kenyataan Nasharuddin itu
disifatkan sebagai kenyataan peribadi bukannya kenyataan parti.
Menurutnya, apa yang berlaku itu bukanlah pertama kali bagi Pas untuk
tidak membuat sebarang komen atau pendirian apabila membabitkan sesuatu
isu, Pas terpaksa berdiam diri dan berkecuali kerana ingin menjaga
hubungan dengan kumpulan terbabit yang dilihat mirip kepada pembangkang.
“Kenyataan yang dibuat oleh Mahfuz itu lari jauh daripada topik yang
diperkatakan, Pas dilihat cuba bermain selamat, ini semua kerana politik
dan suasana pilihan raya yang semakin hampir menyebabkan mereka
terpaksa bertindak begitu,” katanya.
Beliau menyifatkan apa yang berlaku menunjukkan Pas terpaksa
mengadaikan prinsip dan perjuangan parti bagi memastikan mereka masih
dapat bersama dengan kumpulan yang menentang kerajaan untuk mendapatkan
sokongan.










