Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa UMNO
dan komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersedia bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13, tetapi mengakui masih ada lagi ruang
yang perlu ditambahbaik selagi PRU belum diumumkan.
Katanya, ahli-ahli UMNO khususnya di peringkat akar umbi perlu
memainkan peranan dengan memahami penekanan mengaplikasikan betapa
pentingnya pelaksanaan kerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga.
“Kita bukan saja perlu mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua
keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah
parti pembangkang dan bukanlah sesama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Umno-Online
di pejabatnya sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-66.
Najib menegaskan, dalam suasana berhadapan dengan pilihan raya ini,
setiap anggota mestilah memastikan bahawa persengketaan sesama ahli
diketepikan dan menjurus perhatian sepenuhnya kepada usaha untuk
memastikan bahawa jentera UMNO berpadu dan boleh bergerak lancar dan
sentiasa bersemangat.
“Kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga mind set
anggota-anggota parti kita yang berjumlah 3.3 juta menumpu kepada usaha
yang boleh dilakukan setiap daripada kita, tidak semestinya kita ini
merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian
tapi kita sebagai ahli biasa mempunyai nilai undi pada kita, sebab ada
kalanya ada juga ahli UMNO yang tidak mengundi waktu pilihan raya, jadi
kita mesti pastikan bahawa setiap daripada 3.3 juta ahli UMNO ada
peranan masing-masing.
“UMNO sebenarnya sudah berjaya sebab kalau kita lihat pada peringkat
awal semangat untuk menentang Malayan Union, semangat untuk memerdekakan
negara kita, masa itu tidak ada sesiapa persoalkan tentang kelemahan
UMNO ataupun permasalahan dalaman UMNO sebab perjuangan kita satu saja,
kita nak bagaimanapun UMNO mesti merupakan pelopor kepada kemerdekaan
negara kita,” katanya.
Katanya, peringkat awal perjuangan UMNO berpandu kepada satu matlamat
saja tapi bila sistem nilai telah dicampuraduk dengan soal kepentingan
untuk merebut jawatan dan sedikit sebanyak soal politik wang melanda
parti kerana persaingan bertambah sengit dan sebagai sebuah parti telah
berjaya membangunkan negara, maka matlamat itu telah dicampuraduk dengan
soal kepentingan diri dan sebagainya.
“Inilah yang mesti kita hindari kerana sebagai sebuah parti yang
telah lama wujud, terlalu besar nilai dan jasanya, tapi pengundi hari
ini tidak akan melihat kepada kegemilangan dalam sejarah tetapi mereka
nak tahu apa perjuangan kita masa kini dan akan datang. Oleh itu kita
tak boleh bersandar kepada nilai sejarah sahaja tapi kita mesti melihat
UMNO kepada konteks masa kini dan akan datang.
“Inilah yang saya nak tekankan supaya setiap pemimpin UMNO mesti
menghayati dan mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh
rakyat, dengan itu rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada UMNO
dan BN.”
Dalam masa yang sama, beliau turut membidas pakatan pembangkang yang
hanya pandai menaburkan janji-janji manis kepada rakyat untuk
mendapatkan kuasa sebagaimana dalam kempen PRU ke-12 lalu dan ini memang
berbeza dengan apa yang direalitikan oleh BN.
“Kita kena sedar bahawa pembangkang cuba mengelirukan rakyat dan
perkara ini sedang dilakukan dengan begitu hebat. Mereka akan cuba putar
apa-apa isu kita, mereka akan cuba buat spinning negative, malah pembohongan akan mereka lakukan untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Umpamanya apabila kita buat BR1M yang begitu popular, maka mereka
kata ‘duit ini kita gunakan wang yang dipinjam dari luar negara’, itu
satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Sebab itu
merupakan satu dakwaan palsu sedangkan kejayaan kita melaksanakan BR1M
adalah kerana kita berjaya menambahkan hasil negara sebanyak 26 bilion
dalam masa setahun saja yang merupakan pencapaian tertinggi oleh
kerajaan tapi pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi
penghargaan oleh mereka.”
“BN merupakan satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat.
Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara
yang besar yang dilakukan oleh pembangkang sehingga ke hari ini walaupun
empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi membentuk shadow cabinet dalam pembangkang walaupun mereka war-warkan nak wujudkan two party system dalam negara kita tetapi mereka gagal untuk memaparkan kepada rakyat satu kabinet bayangan.”
Berkaitan dengan ulang tahun UMNO yang disambut secara besar-besaran,
katanya, hari jadi UMNO yang ke-66 ini satu ketika yang amat sesuai
kerana parti tersebut sudah lama tidak mengadakan perhimpunan raksasa
sedemikian.
“Saya melihat Hari UMNO, hari jadi UMNO yang ke-66 ini maknanya
timely, masanya sesuai untuk kita dan semua orang tahu bahawa pilihan
raya tak lama lagi jadi eloklah kita paparkan kepada rakyat apakah jasa
UMNO selama ini, kekuatan kepada UMNO itu mestilah kita perlihatkan dan
kita mesti menunjukkan bahawa kita buat satu perhimpunan dalam keadaan
yang aman.
“Kita menghormati undang-undang negara kita walaupun ribuan ahli UMNO
akan berhimpun tetapi ia tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada
orang lain, kepada negara kita. UMNO akan bersikap menjunjung prinsip
undang-undang negara kita ini, keluhuran Perlembagaan dan
undang-undang.”
Beliau turut mengingatkan kepada anggota parti bahawa UMNO bahawa
adalah satu parti keramat orang Melayu yang mesti terus diingati dan
bangga menjadi sebahagian daripadanya.
“Kita mesti ada rasa kebanggaan tentang UMNO kerana kita menjadi ahli
kepada keluarga sebuah parti yang terbesar dalam negara kita, jangan
kita rasa terhina, jangan kita rasa tertekan bahawa segala-gala yang
dikecapi oleh negara ini bahawa pada hakikatnya adalah jasa yang
disumbangkan oleh UMNO, oleh pemimpin-pemimpin UMNO, besar dan kecil
selama ini.
“Kita mesti menganggap bahawa perhimpunan raksasa ini adalah
perhimpunan ini adalah tanda kekuatan kita dan kita akan mara ke hadapan
dengan satu barisan yang ampuh, dengan komitmen yang jitu dan
insya-Allah berbekalkan semangat yang baru ini kita akan mencapai
kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang,” tegasnya lagi. -MediaUMNO