Laporan Bank Dunia Edisi 2013 yang meletakkan Malaysia di tangga ke
12 (sini) paling berdaya saing bagi perniagaan sekali gus menghumban segala
tuduhan pembangkang konon negara ini akan bangkrap, ke dalam longkang.
Kedudukan ini merupakan lonjakan enam anak tangga berbanding 2011
iaitu lonjakan yang paling tinggi setakat ini. Pada tahun 2010,
Malaysia berada di tangga 23.
Kedudukan ini juga meletakkan Malaysia mengatasi negara seperti
Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan
Switzerland (ke-28).
Laporan Bank Dunia ini adalah berdasarkan kajian ke atas 185 ekonomi
merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan,
kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan
menjalankan perdagangan rentas sempadan.
Malaysia didapati telah memperbaiki kedudukan daya saingnya dalam
lima bidang menjalankan perniagaan, iaitu Kemudahan Bekalan Elektrik
(dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran Hartanah (dari tempat
ke-59 ke tempat ke-33); Pembayaran Cukai (dari tempat ke-41 ke tempat
ke-15); Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke tempat ke-11)
dan Urusan Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
Nampaknya, segala usaha pembangkang untuk menggambarkan kepada rakyat
dan dunia bahawa Malaysia mengalami masalah ekonomi serta mengalami
risiko bangkrap berdasarkan Bajet dan Audit yang baru dibentangkan telah
sekali lagi tidak berjaya.
Dengan laporan Bank Dunia ini, keyakinan pelabur terhadap Malaysia
juga akan melonjak tinggi dan ini bakal membantu negara mencapai sasaran
pengurangan kadar defisit kepada 4.0 peratus daripada KDNK berbanding
4.5 peratus tahun ini.
Golongan peniaga juga dijangkan memberi sokongan yang tidak berbelah
bahagi kepada kerajaan dalam PRU yang akan datang berdasarkan
perkembangan positif yang direkodkan ini.
Sementara itu, pakatan pembangkang dilihat semakin buntu apabila
Bajet yang dibentangkan mereka mendapat kritikan hebat kerana tidak
dibuat berdasarkan realiti dan tegar meneruskan janji-janji yang tidak
masuk akal.
Lebih buruk lagi bagi pembangkang apabila Laporan Audit yang
dibentangkan mendedahkan kelemahan yang ketara di negeri-negeri yang
diperintah mereka sehingga dalam beberapa kes terdapat desakan dari
rakyat agar dilakukan siasatan oleh SPRM.
Ketika BN berjaya membuktikan kecekapan melalui khidmat yang
cemerlang, pembangkang terpaksa bermain politik dengan isu remeh iaitu
kamera AES dan cukai rokok yang sebenarnya membawa kesan yang baik untuk
rakyat.
Pembangkang telah bertindak menyeru rakyat menolak sesuatu yang baik
untuk mereka dengan alasan ia memberi pulangan wang kepada kerajaan dan
cuba menggambarkan bahawa kerajaan terdesak untuk menambah pendapatan
dengan memeras rakyat.
Namun, laporan Bank Dunia ini dengan sendirinya menafikan yang kerajaan buntu untuk menjana kewangan.
Terbukti kerajaan telah berjaya menyediakan persekitaran yang selesa
untuk membolehkan perniagaan berkembang dan pelaburan meningkat bagi
memastikan kewangan negara dapat dijana secara konsisten.
Kini rakyat semakin yakin dengan kerajaan dan pembangkang semakin kehilangan modal untuk berkempen. UMNO Online









