Tindakan Presiden dan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyatakan persetujuan penggunaan kalimah
Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam di negara ini dengan
mendahului keputusan Majlis Syura Ulama Pas secara jelas membuktikan bahawa suara Majlis Syura Ulama
Pas tidak lagi dihormati oleh kepimpinan tertinggi Pas sendiri.
Sepatutnya, dalam isu-isu yang melibatkan soal-soal akidah dan dasar
perjuangan parti, Majlis Syura Ulama Pas merupakan suara penting yang
perlu diambil kira oleh kepimpinan tertinggi Pas dalam membuat sebarang
keputusan dan hala tuju parti, demikian menurut bekas Pengarah Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Zainal Abidin Ab Kadir.
“Secara jelas Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menentang
keputusan tersebut. Begitu juga dengan Datuk Harun Din dan ramai
kepimpinan serta ahli-ahli Pas. Tapi malangnya, presiden Pas, Datuk Seri
Hadi Awang terlalu cenderung kepada mahukan sokongan DAP dan bukan
Islam hingga menyebabkan beliau sanggup bersetuju dengan kehendak
mereka.
“Tindakan Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz seolah-olah
mengiktiraf majlis syura Pakatan Pembangkang lebih berkuasa untuk
memutuskan isu penggunaan kalimah Allah ini. Ini merupakan satu gambaran
yang jelas, bahawa Majlis Syura Ulama Pas hanyalah bagaikan patung
bernyawa yang sekadar menjadi perhiasan di dalam parti tersebut.
Jelas beliau lagi, Pas yang satu ketika dulu lantang dengan slogan
kepimpinan ulama hari ini sudah tidak lagi memperdulikan suara
ulama-ulama mereka sendiri, dan lebih mementingkan kehendak dan desakan
kepimpinan Pakatan Pembangkang khususnya berhubung isu kalimah Allah
ini.
“Inilah yang bercelaru di dalam Pas. Satu masa, mereka junjung tinggi
majlis syura ulama di dalam Pas tapi hari ini, dewan ulama Pas
dipandang sebelah mata. Mungkin Presiden Pas, Datuk Haji Hadi lebih
pentingkan apa kata Lim Guan Eng dan Anwar daripada kata-kata dan
pendapat dewan ulama Pas sendiri,”ujarnya.
Tambahnya lagi, keputusan Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz
yang bersetuju membenarkan kalimah Allah diguna pakai oleh orang-orang
bukan Islam di negara ini bersama kepimpinan Pakatan Pembangkang yang
lain, tidak lain tidak bukan hanyalah disebabkan mengejar imbuhan
duniawi semata-mata.
“Apa yang jelas, dua pemimpin Pas itu hanyalah mahukan sokongan DAP
dan bukan Islam untuk menang PRU akan datang, maka dengan sebab itu
mereka sanggup bersekongkol dengan Dap dan PKR untuk membenarkan
penganut agama lain menggunakan nama Allah sebagai Tuhan, sedangkan
hakikatnya perbuatan ini salah serta boleh menimbulkan kesan tidak baik
dan kekeliruan yang besar terhadap masyarakat, khususnya umat Islam di
negara ini,” ujarnya. -MediaUMNO



No comments:
Post a Comment